Followers

Friday, July 9, 2010

Jangan Kau Pergi 3

Elman menunggu Hafiya di hadapan rumah kayu tersebut sambil bersandar ditepi kereta. Matanya liar memerhati sekeliling rumah yang bersih dan nampak kemas. Di tempat dia berteduh pula terdapat sepohon pokok mangga yang rendang. Di tepi rumah pula terdapat pokok rambutan. Elman merasa damai seketika bila melihat sekitar rumah yang nampak teratur itu. Kemudian matanya merenung sayu rumah papan yang sederhana itu. Nampak terlalu usang dan seperti sudah lama tidak dibaiki. Elman berpaling bila mendengar suara gelak ketawa seorang perempuan dan kanak-kanak. Hafiya tersentak. Mati langkahnya bila terpandang seorang lelaki sedang merenungnya. Nurina dan Alif hairan.

“Encik ni nak cari siapa?” Hafiya bertanya perlahan. Nurina tarik baju Hafiya. Hafiya pandang wajah lelaki tersebut yang jelas terkejut mendengar soalannya.

“Ibu, inikan cikgu kat sekolah Ina,” Nurina mendongak memandang wajah ibunya. Hafiya kerutkan kening sambil memandang wajah Nurina.

“Ina ada buat salah kat sekolah?” Hafiya bertanya sambil merenung wajah anaknya. Nurina geleng kepala.

“Saya nak jumpa awak sekejap,” Hafiya termanggu. ‘Apasal pulak cikgu ni nak jumpa aku ye,’ Dalam hati Hafiya bertanya.

“Ina, bawak adik naik ke atas. Ibu ada hal sekejap ye,” Nurina angguk kepala. Hafiya dan Elman duduk di bangku yang berada di bawah pokok mangga. Hafiya tersenyum pada lelaki tersebut.

“Cikgu, cikgu ni apa nama? Anak saya ada buat salah ke?” Hafiya bertanya ramah. Elman masih merenung wajah Hafiya sehingga membuatkan Hafiya rasa tidak selesa. ‘Kenapa cikgu ni asyik sangat tengok aku ni? Ada apa-apa yang tak kena dengan muka aku ke?’ Hafiya geleng kepala. Tangannya menyentuh pipi kemudian melihat baju yang dipakai.

“Awak tak ingat saya?” Elman bertanya pelik. Hafiya kerutkan dahi.

“Maksud awak?” Hafiya tidak faham.

“Betul awak tak ingat saya?” Elman berdiri tegak. Hafiya mendongak wajah lelaki tersebut yang tiba-tiba naik angin. Hafiya garu kepala.

“Saya tak kenal sangat guru-guru Nurina ni. Yang selalu saya jumpa, guru kelas dia je. Awak mengajar subjek apa?” Elman semakin bengang. Wajahnya merah menahan marah. Hafiya masih berwajah pelik sambil cuba mengingati wajah tersebut. ‘Rasa macam pernah jumpa, tapi kat mana ye?’ Hafiya garu kepala.

“Jadi awak lupa yang awak dah kahwin?” Hafiya tersentak. ‘Kahwin?’ Hafiya sekali lagi menggaru kepala.

“Kahwin?” Soalnya pada lelaki tersebut. Elman geleng kepala kemudian dia menarik nafas dan perlahan menghembusnya. Tiba-tiba Hafiya baru teringat sesuatu dan dia terus berdiri berhadapan dengan Elman.

“Errr….awak?” Hafiya terkejut. Lidahnya kelu. Sungguh dia tidak menyangka Elman akan datang ke rumahnya petang itu. Hampir sebulan sudah berlalu, semenjak orang tua Elman datang kerumahnya. Nama Elman memang dia ingat, tapi, wajah lelaki itu, dia tidak dapat mengingatinya.

“Huh!!!” Elman kembali duduk. Hafiya masih berdiri. Tidak sanggup rasanya hendak berhadapan dengan lelaki itu.

“Esok saya nak pindah ke rumah ni.” Elman tiba-tiba bersuara. Hafiya membulatkan matanya sambil ternganga.

“Pindah? Kenapa?” Hafiya bertanya bodoh. Apa pulak yang anak-anaknya akan cakap? Hafiya geleng kepala.

“Tak boleh,” Elman tersentak.

“Kenapa pulak tak boleh? Daripada saya menyewa, buang duit je, lebih baik saya tinggal dengan awak. Kita dah kahwin kan? Lagipun, ada jugak orang yang tolong uruskan makan pakai saya,” Sekali lagi Hafiya tersentak. Elman tersenyum sinis.

“Saya nak awak kemaskan sebuah bilik untuk saya. Saya nak bilik yang kemas dan bersih,” Hafiya tidak mampu berkata apa-apa lagi. Elman berjalan selamba menghampiri tangga rumah tersebut. Perlahan dia menaiki tangga yang seperti hampir roboh itu. Hafiya hanya mengekori langkah Elman dengan pandangan matanya. Perlahan Hafiya turut sama naik kerumahnya.

Elman kagum melihat dalam rumah yang kemas dan teratur itu. Hanya luaran saja yang nampak usang. Tetapi di dalam rumah, keadaannya jauh berbeza. Walaupun kecil tetapi lengkap. 2 buah bilik tidur, ruang tamu sederhana dan bahagian dapur pula hanya besar sebuah bilik. Elman membuka pintu bilik tidur.

“Jangan buka. Ini bilik saya,” Hafiya berdiri di hadapan pintu biliknya. Elman menjeling sekilas wajah merah Hafiya. Seketika kemudian, dia menolak tubuh kecil itu. Hafiya berdengus kasar. Dengan selamba, Elman masuk ke dalam bilik tersebut sambil memerhati sekeliling bilik. Sebuah almari kayu 2 pintu. Tempat menyidai kain telekung di tepi tingkap. Tiada katil dan hanya terdapat tilam nipis. Bilik tersebut kemas dan yang penting sejuk.

“Saya nak tidur kat bilik ni.” Elman dengan selamba berkata. Dia menghampiri tingkap dan membukanya. Perlahan angin pagi masuk ke dalam bilik tersebut. Hafiya berlalu dalam keadaan marah. Dia mengutuk Elman sehabis-habisan. Elman leka seketika berada di dalam bilik tersebut. Perlahan dia berbaring di atas tilam sambil merenung siling. Fikirannya melayang entah ke mana. Yang pasti dia perlu fikirkan sesuatu untuk masa depannya.

Sementara itu, di luar bilik, Hafiya merungut. Sakit hati kerana permintaan lelaki tersebut. Dia tidak kisah jika Elman tidak mengendahkannya, tetapi untuk tinggal berdua dengan lelaki itu, rasanya sangat susah hendak di terima. Terutama anak-anaknya. Bagaimana dia hendak menyatakan pada mereka. ‘Huhhhh…pening. Ya Allah ya Tuhanku, berikanlah kekuatan padaku untuk menghadapi ujian ini,’ Hafiya berdoa di dalam hati.

“Ibu, kenapa cikgu datang ke rumah kita ni?” Nurina bertanya sambil memandang wajah Hafiya. Hafiya tersenyum manis pada anaknya.

“Cikgu akan tinggal dengan kita,” Nurina tersenyum.

“Betul?” Hafiya angguk kepala.

“Bolehlah Ina belajar dengan cikgu. Betulkan, bu?” Nurina berkata riang. Hafiya angguk kepala. Kemudian dia mengeluh lega. ‘Satu hal lagi. Mana aku nak cari tilam untuk Alif dan Ina? Aku sendiri tak kisahlah tidur atas lantai, budak dua orang tu? Takkan nak biar mereka tidur atas lantai?’ Hafiya mengeluh. Perlahan dia menuju ke dapur. Alif berjalan perlahan menuju ke pintu bilik di mana Elman sedang berada. Perlahan dia menjenguk ke dalam bilik. Elman sedang berbaring menelentang. Alif leka merenung Elman. Perlahan dia menghampiri Elman dan duduk di sebelah Elman sambil tangannya menompang dagu. Elman merasa tidak selesa. Dia berpaling merenung wajah bersih anak kecil itu. Elman tersenyum dan segera duduk mengadap muka kanak-kanak tersebut.

“Adik siapa nama?” Elman bertanya ramah. Kanak-kanak tersebut hanya tersenyum. Elman garu kepala. Perlahan Elman menarik tangan Alif dan Alif pula tanpa segan silu duduk di dalam pangkuan Elman. Elman mencium pipi Alif dan dagunya terkena pipi Alif menyebabkan kanak-kanak tersebut ketawa. Alif tolak pipi Elman. Elman sentuh dagunya dan dia tersenyum. ‘Dia geli dengan bulu halus tapi tajam ni kot,’ Bisiknya dalam hati. Sekali lagi menggosok dagunya ke pipi Alif. Alif tergelak besar. Mereka bergurau senda. Hafiya yang sedang menyediakan air untuk Elman berlari ke depan. Pintu bilik di mana Elman berada terbuka dan suara Alif kedengaran dari bilik tersebut. Suara garau Elman juga kedengaran. Hafiya mengintai dari celah pintu. Dia tersenyum melihat Alif dan Elman sedang bergumpal. ‘Mungkin Alif rindukan abahnya,’ Hafiya kesat airmata. Perlahan dia kembali ke dapur. Hafiya termenung panjang. Fikirannya melayang.

“Abang nak kahwin dengan Salimah.” Hafiya terkejut. Wajahnya pucat.

“Fiya dengar tak?” Arif bersuara perlahan sambil menyentuh tangan Hafiya. Hafiya pandang wajah Arif.

“Abang kasihan pada Fiya. Mungkin Fiya nak cari kebahagian sendiri kan? Dan, abang akan lepaskan Fiya. Abang tak nak menyeksa perasaan Fiya dengan perkahwinan kita ni,” Hafiya terasa ada batu besar menghempap kepalanya. Dia tidak tahu, sama ada mahu ketawa atau menangis. Betul. Dia keliru.

“Habis, anak-anak tu? Saya tak boleh hidup kalau mereka takde,” Hafiya bersuara perlahan. Menahan sebak. Arif mengeluh.

“Fiya boleh bawa mereka pergi. Salimah belum bersedia nak terima mereka. Lagipun, takde siapa nak jaga mereka. Mereka pun tak biasa berjauhan dari Fiya,” Hafiya angguk kepala. ‘Airmata janganlah mengalir saat ini. Aku mesti kuat,’ Hafiya tersenyum.

“Bila kita nak ke selesaikan perkara ni. Lagi cepat lagi baik.” Hafiya bersuara tenang. Baru 6 bulan bergelar isteri, kini dia bakal mendapat gelaran janda pulak. Hafiya tiba-tiba tergelak. Arif hairan.

“Kenapa?” Arif bertanya bodoh. Hafiya tersenyum kelat.

“Takde apa-apa. Tiba-tiba rasa nak tergelak. Abang buatlah apa yang patut. Fiya ikut je,” Hafiya berdiri bersedia untuk beredar.

“Fiya akan bawa mereka balik ke kampung. Fiya nak usahakan tanah ayah kat kampung. Tentang belanja budak-budak tu, abang kena ingat.” Arif angguk kepala.

“Tentang perbelanjaan mereka, abang akan tanggung.” Hafiya angguk kepala.

Hafiya tersentak bila mendengar suara garau menegurnya.

“Apa yang bau hangit ni? Awak memasak atau berangan?” Elman menjenguk ke dalam kuali. Ikan kembong yang digoreng oleh Hafiya sudah hitam. Hafiya berdiri di sebelah Elman.

“Alamak,” Hafiya tepuk dahi. ‘Itulah. Siapa suruh berangan? Tak pasal-pasal kena tegur leh mamat ni,’ Hafiya geleng kepala dan mengangkat ikan tersebut.

“Awak makan kat sini hari ni?” Hafiya bertanya sambil pandang wajah Elman yang sedang menuang air ke dalam gelas.

“Kenapa tanya soalan macam tu? Tentulah saya makan kat sini.” Hafiya mencebik. ‘Suka hati dia je. Orang tak masak untuk awaklah,’ Bentaknya dalam hati. Elman berlalu ke depan. ‘Boringnya. Takde tv. Macamana dia boleh hidup tanpa hiburan ye,’ Elman geleng kepala. Elman berjalan disekitar rumah tersebut. Melihat dinding rumah yang sudah usang. ‘Nampaknya, aku kena baiki dulu rumah ni.’ Bisiknya sendirian sambil berjalan menuju ke bilik kosong bersebelahan dengan bilik Hafiya. Perlahan pintu ditolak. Walaupun nampak usang, tetapi kemas. Hanya terdapat sebuah almari kecil dan sebuah meja study serta beberapa biji bantal tersusun kemas di dalam bilik tersebut. Elman geleng kepala. Elman menarik laci meja. Dia terpandang sebuah album di dalam laci tersebut. Perlahan tangannya menarik album tersebut. Satu persatu gambar dibeleknya. ‘Gambar kahwin dia. Cantiknya,’ Tanpa sedar Elman memuji gambar tersebut. Dan yang paling menarik perhatiannya, sekeping gambar keluarga. Elman terpandang seraut wajah yang cantik tersenyum manis disisi pengantin perempuan. Wajah mereka hampir sama. ‘Adik dia kot,’ Elman usap perlahan gambar tersebut. ‘Kenapa aku rasa sangat dekat dengan dia?’ Elman sentuh lagi wajah yang tersenyum manis itu. Bunyi pintu ditolak membuatkan Elman terkejut.

“Cikgu, ibu suruh panggil makan.” Elman berpaling dan mengangguk kepala. Perlahan album tersebut diletakkan kembali ke dalam laci.

Hafiya menghidangkan lauk pauk. Elman mengambil tempat disebelah Alif yang sedang leka menikmati nasi dengan kicap. Elman pandang lauk pauk yang terhidang di depan matanya. Sayur kangkung tumis sambal belacan. Ikan kembong goreng. Dan sup telur serta ulam-ulaman.

“Maaflah. Ini saja yang mampu saya sediakan.” Elman pandang wajah Hafiya. Dan tanpa banyak bicara, dia terus mengambil pinggan yang sudah di isi nasi. Walaupun, makanan tersebut ringkas, tetapi nampak menyelerakan. Elman telan liur bila melihat ulam kangkung itu. Hafiya hanya memerhati Elman yang sedang makan tanpa menghiraukan keadaan sekeliling. Hafiya menyuap Alif.

“Kenapa tak bagi ikan tu kat Alif?” Elman bertanya bila melihat Alif hanya makan nasi putih dan kicap.

“Dia tak nak. Dia suka makan macam tu.” Hafiya menjawab perlahan sambil menyapu nasi yang melekat dimulut Alif. Nurina juga begitu berselera sekali menikmati nasi dan kicap sahaja.

“Jimatlah awak, kalau macam ni?” Elman pandang wajah Hafiya.

“Mereka dah biasa. Budak-budak memang macam tu. Nanti tahulah mereka ubah selera,” Hafiya tersenyum bila melihat Alif tersenyum padanya. Alif meniup nasi tersebut sehingga terkena muka Hafiya.

“Alif!!!! Jangan nakal sayang. Makan elok-elok,” Hafiya pukul tangan Alif perlahan. Alif tetap tersenyum tetapi menghentikan perbuatannya. Elman tersenyum melihat keperihatinan Hafiya melayan kerenah Alif.

“Awak tak makan?” Elman bertanya bila melihat nasi isterinya langsung tidak disentuh.

“Kejap lagi. Ni masih melayan Alif. Bila dia dah makan, baru saya dapat makan,” Hafiya menjawab tenang tanpa memandang wajah Elman. Seketika kemudian, Alif geleng kepala bila Hafiya menyuapnya.

“Ok. Cuci tangan. Mulut,” Hafiya membawa Alif ke sinki. Setelah kenyang, Nurina dan Alif beredar ke ruang tamu. Hafiya menyuap perlahan nasi ke dalam mulutnya. Tidak tertelan rasanya. Sesekali Elman memandang wajah Hafiya yang tunduk sambil tangannya menguis perlahan nasi di dalam pinggan. Elman masih belum habis makan. sengaja dia menanti Hafiya makan.

“Kalau awak dah makan, tinggal je kat situ. Nanti saya kemas. Awak berehat kat sana,” Hafiya merasa tidak selesa bila Elman memerhati dia yang sedang makan.

“Saya masih makan lagi ni.” Elman meninggi suara. Hafiya mengeluh.

“Mana ayah budak-budak tu?” Elman bertanya perlahan. Hafiya tersentak bila mendengar soalan tersebut. Hafiya meneguk air suamnya.

“Errr…kenapa awak nak tahu?” Hafiya bertanya kelam kabut. Tidak senang mendengar soalan tersebut. Apatah lagi bila orang yang bertanya itu adalah Elman.

“Saja.” Jawabnya sepatah. Hafiya mencebik.

“Dia dah kahwin lain.” Hafiya menjawab selamba. Elman terbatuk. Nasi yang dimakannya tersembur keluar. Hafiya menjeling tajam. Kemudian dia menuang air suam ke dalam gelas lalu diserahkan kepada Elman.

“Dah kahwin lain?” Elman bertanya lagi bila batuknya sudah berhenti. Hafiya angguk kepala. Elman mendiamkan diri. Terasa bersalah pulak bertanya soalan tersebut.

Selepas makan, Elman membawa Hafiya dan anak-anak pergi ke pekan untuk membeli keperluan dalam rumah tersebut. Walau sudah dihalang, namun Elman tetap berkeras hendak membeli perabut tersebut.

“Awak, tak payahlah.” Hafiya menolak bila Elman hendak membeli sebuah televisyen. Elman buat muka selamba. Kemudian mereka pergi ke kedai perabot. Setelah tawar menawar, akhirnya mereka sedia untuk beredar.

“Kenapa perlu beli semua tu. Mana nak letak barang-barang tu nanti?” Hafiya berpeluk tubuh. Matanya terus memandang ke hadapan. Elman senyap. Nurina sudah tertidur di kerusi belakang kerana terlalu letih berjalan. Alif juga sudah lena di dalam pangkuan Hafiya.

“Suka hati akulah. Duit aku. Yang kau sibuk tu kenapa? Ikut jelah. Dah orang nak belanja, bising pulak dia.” Elman menjawab selamba. Hafiya menoleh ke arah Elman. Wajah selamba suaminya menjadi tatapan matanya.

“Apa pulak? Saya tak minta pun awak berbelanja untuk saya. Saya tak kisah pun tinggal kat rumah tu. Kalau awak rasa tak selesa, kenapa nak juga berpindah ke situ?” Hafiya bertanya marah. Elman tersenyum sinis. Malas hendak menjawab soalan Hafiya itu.

*********************************

Selama 2 hari cuti, Elman mengupah orang kampung untuk membaiki rumah Hafiya. Dalam masa yang singkat, rumah papan yang usang itu berubah menjadi baru. Elman tersenyum puas bila melihat kerja-kerja pembaikpulih rumah tersebut sudah selesai.

“Ni baru nampak macam rumah,” Elman berdiri di beranda. Hafiya berpeluk tubuh. Hendak marah, rasanya menghabiskan air liur je. Mamat tu bukannya faham. Semua nak kena ikut telunjuk dia.

Elman tahu Hafiya marah padanya. Namun wanita itu hanya mendiamkan diri. Suara riang Alif dan Nurina menerima katil baru membuatkan Hafiya berpaling dan bergerak ke bilik tidurnya.

“Alif, jangan melompat sayang.” Hafiya tarik tangan halus yang asyik melompat di atas tilam tebal itu.

“Seronok ye,” Ujarnya sambil menggeletek perut Alif. Ketawa riang si anak bila si ibu turut sama bergurau dengannya. Nurina turut sama. Mereka bertiga bergumpal dan ketawa riang sehingga terlupa Elman sedang memerhati gelegat mereka bertiga.

“Ehem..awak dah masak? Saya lapar ni,” Hafiya tersentak dan berpaling. Wajahnya merona merah bila melihat Elman sedang berpeluk tubuh di pintu bilik. Perlahan Hafiya membetulkan rambutnya dan turun dari katil. Menonong je dia berjalan ke dapur. Beberapa minit kemudian, terdengar pula suara kasar Elman ketawa dan diikuti suara Alif dan Nurina.

‘Kita disuruhnya memasak. Dia pulak bergurau dengan Alif dan Ina. Tak patut betul,’ Hafiya membebel. Tangannya lincah sekali menyediakan bahan-bahan untuk memasak ikan sembilang.

**********************

5 catatan:

Anonymous said...

besss..bia diorg bhagea

hana_aniz said...

suka cerita ni!! hihihi.. =D

elman yg bossy, hafiya yg menurut. secocok, sepadan, serasi!
sweet juga! huhuhu...

sambung cepat2 ye?

Anonymous said...

menarik..
laen dri yg laen..
ehheheeh..
merungut pn diikutkan gak..
klaka...

MaY_LiN said...

kemain elman tu yea

nursya said...

amboi2...
suka yek si elman dpt kenakan si fiya tuh..
xpatut btl la...