Followers

Monday, February 20, 2012

Cinta Tak Kenal Siapa


“Sarah, tunggu dulu. Please, jangan tinggalkan saya.” Azlan menarik tangan Sarah. Gadis yang dicintainya sejak dua tahun lalu.

“Sudahlah, Lan. Saya dah letih menunggu. Saya sudah tidak mahu menaruh harapan lagi pada awak. Kita berpisah saja. Ianya baik untuk kita berdua. Tapi kita tetap berkawan. Saya tak boleh tunggu lama sangat dan umur kita pun semakin meningkat.” Sarah merenung wajah sedih itu. Bukan niatnya untuk berpisah dengan Azlan, pemuda itu terlalu banyak berkorban untuk dirinya. Namun, dia harus akur dengan pilihan keluarganya untuk menjodohkannya dengan orang yang sama taraf dengan keluarganya. Begitu banyak rintangan yang mereka lalui sepanjang tempoh dua tahun ini, namun nampaknya, semua itu menjadi sia-sia.

“Saya tahu, saya tidak kaya seperti keluarga awak. Dan atas sebab itu, mereka menghalang perhubungan kita. Sungguh tak sangka, setelah saya cintakan awak sepenuh hati, ini kesudahannya.” Azlan berkata perlahan seolah-olah menyesal dengan apa yang telah terjadi. Sarah mendiamkan diri. Rasa bersalah kerana memaksa Azlan menerima cintanya dahulu.

Empat tahun lalu Azlan merupakan anak muda kampung yang mencari rezeki di Bandar. Pertemuan pertama mereka ketika Azlan menunggu bas untuk ke tempat kerja. Sarah pula baru keluar dari kereta dan tiba-tiba ada sebuah motorsikal di pandu laju dan hampir melanggar Sarah. Azlan yang melihat kejadian itu segera menarik Sarah ke tepi. Dan Sarah yang merasa terhutang budi pada Azlan menghulurkan salam perkenalan.
Pertemuan mereka bukan setakat itu sahaja, rupa-rupanya, Syarikat Nur Sara Sdn. Bhd. tempat Azlan bekerja adalah anak Syarikat Nur Fatin Sdn. Bhd. Iaitu syarikat yang dimiliki oleh ayah Sarah, Tan Sri Ahmad seorang ahli perniangaan terkenal di Bandar tersebut.

Semakin hari hubungan mereka semakin rapat dan Sarah mula meluahkan perasaannya pada Azlan. Bagi Azlan pula, menerima Sarah adalah sesuatu yang mustahil memandangkan mereka berbeza taraf. Lebih setahun Sarah cuba memikat Azlan sehingga Azlan akhirnya mengalah dengan kuasa cinta Sarah. Perhubungan mereka juga tidak berjalan lancar, kerana banyak penghalang. Terutama ahli keluarga Sarah sendiri yang mahukan anaknya berkahwin dengan lelaki yang sama taraf dengan anak mereka. Seringkali hati Azlan terluka dengan kata-kata yang dilemparkan oleh ahli keluarga Sarah. Akhirnya, apa yang ditakuti oleh Azlan terjadi juga.

“Maafkan saya, Lan. Bukan niat saya membuat Lan sedih. Tapi saya dah cuba hidup sederhana dan belajar hidup susah. Namun memang saya tak mampu, dan saya tak mahu awak kecewa suatu masa nanti. Lebih baik kita akhirinya dengan secepat mungkin. Segala kenangan bersama awak akan saya simpan dalam hati.” Sarah berlalu meninggalkan Azlan yang tertunduk lemah. Retak seribu hatinya mengenangkan cinta pertamanya tidak sampai ke penghujung.

‘Aku mesti kuat. Dia memang bukan jodoh ku. Aku tak layak bersamanya. Kalaulah dulu aku bertegas tidak menerima cintanya, mungkin semua ini tidak akan terjadi.’ Azlan berbisik sendirian.

*************************

“Hai. Beb, kenapa ni? Monyok semacam je aku tengok? Kena tinggal kekasih?”
Suara Norman menampar cuping telinganya. Azlan hanya mampu tersenyum.

“Entahlah Man. Memang benar apa yang kau cakap dulu. Kami memang takde jodoh.” Azlan berkata perlahan. Norman duduk di sebelahnya sambil menepuk bahu temannya itu.

“Kau nak kongsi masalah dengan aku? Ceritalah, jangan simpan dalam hati,” Norman memang sahabat yang baik. Dia adalah teman serumah yang cukup memahami dan sering memberi nasihat yang berguna padanya. Kalau tidak kerana Norman, dia mungkin sudah menjadi salah seorang Mat Rempit. Dengan pengalaman yang cetek, hidup di kota besar itu, hampir membuatkan ramai pemuda hilang pertimbangan dan mudah terjebak dengan gelaja buruk.

“Keluarga dia nak jodohkan dia dengan anak kawan mereka. Aku dengar, anak rakan kongsi bapa dia.” Azlan tersandar lesu di kerusi.

“Sudahlah. Tak payah difikirkan lagi. Mungkin jodoh kau dengan gadis yang jauh lebih baik dan lebih cantik dari Sarah.” Norman menepuk bahu Azlan. Azlan tersenyum lemah.

“Ye. Harap-harap doa kau dimakbulkan.” Azlan turut berdoa di dalam hati.

************************


Sudah hampir setahun Azlan dan Sarah berpisah. Sarah juga sudah melangsungkan perkahwinan dengan anak Datuk Hamid. Azlan sudah tidak bekerja di Syarikat Sara Sdn.Bhd lagi. Dia mendapat tawaran bekerja di Syarikat Addin Sdn. Bhd. Sebagai Pegawai Executive.
Mujur dia memanfaatkan peluang ketika bekerja di tempat lama dahulu dengan menyambung pengajian secara sambilan.

Kini Azlan mampu memiliki Proton Gen-2 warna biru metallic dan memudahkan dia hendak ke tempat kerja. Suatu hari, terjadi perkara tidak diingini, apabila kereta yang dipandunya terlibat dalam kemalangan jalanraya dengan melanggar Honda City milik seorang gadis. Lebih menyedihkan, gadis tersebut cedera parah dan terpaksa dimasukkan ke ICU. Dia pula hanya cedera ringan.


“Tuan, saya minta maaf kerana cuai sehingga menyebabkan anak tuan cedera parah.” Azlan memohon maaf. Wajah tua itu hanya tersenyum mesra.


“Sudahlah, nak. Memang nasib dia, kita tak tahu apa yang akan terjadi. Pak cik tahu, kamu tidak bersalah. Laporan kemalangan tu mengatakan anak pak cik tu yang bersalah. Jangan risau,” Lelaki tua itu menepuk mesra bahu Azlan. Azlan geleng kepala. Dia hanya cedera ringan.

“Tidak tuan, saya juga bersalah, kerana gagal mengawal kereta saya.” Azlan tetap merasa bersalah sehingga menyebabkan anak lelaki tersebut terlibat dalam kemalangan.

“Sebenarnya, kami yang menyebabkan Erma kemalangan. Kami memaksanya melakukan sesuatu yang dia tidak suka. Pada hari itu, dia keluar rumah dalam keadaan marah-marah sehingga dia hilang kawalan. Kamu jangan salahkan diri lagi. Doctor pun cakap dia sudah agak stabil biarpun masih belum sedarkan diri,” Tuan Haji Rashid tersenyum ramah. Hajah Aminah juga turut sama tersenyum melihat kerisauan anak muda itu. Anak mereka kini sudah dipindahkan ke wad biasa tetapi masih belum sedarkan diri. Koma.

*****************************

Semenjak itu, Azlan sering berulang-alik ke hospital menjenguk gadis yang bernama Erma itu. Erma disahkan koma dan tidak tahu bila akan sedar. Kedatangan Azlan juga disambut baik oleh ahli keluarga Tuan Hj. Rashid. Azlan senang dengan layanan yang diberikan oleh keluarga tersebut. Walaupun mereka kaya, namun rasa hormat dengan orang lain tetap ada dan mereka juga suka merendah diri berbeza dengan ahli keluarga Sarah.

“Buatlah macam rumah sendiri. Pak cik nak ke atas dulu.” Tuan Hj. Rashid menyuruh Azlan duduk sementara dia sendiri terus ke tingkat atas menuju ke bilik. Sementara menunggu Tuan Hj.Rashid turun, Azlan memerhati gambar-gambar yang digantung di dinding rumah banglo itu. Gambar keluarga. Azlan leka memerhati satu persatu wajah di dalam bingkai itu. Setiap mereka tersenyum mesra dan seraut wajah yang lembut menyapa matanya. Senyuman yang memikat, dan renungan yang menusuk ke dasar hatinya. Azlan segera melarikan anak matanya dari merenung gambar gadis itu. Namun seketika kemudian dia memandang lagi. Perasaan yang sama datang kembali.

“Hai, Azlan. Bila sampai?” Azlan tersentak bila di tegur oleh seseorang. Azlan berpaling.

“Hai. Abang Han. Saya baru juga sampai. Pak cik baru je naik ke bilik. Abang apa khabar? Anak isteri abang apa khabar?” Soalnya ramah. Farhan, anak sulong keluarga kaya itu. Dia memang ramah dan mudah mesra.

“Abang sihat. Isteri dan anak-anak abang pun sihat. Lan dah minum?” Soalnya sambil menjenguk ke dapur.

“Kak Mimah, sediakan air,” Laungnya dari ruang tamu.

“Macamana kerja? Ok?” Farhan bertanya sambil memandang wajah pemuda di sebelahnya itu.

“Alhamdulillah. Setakat ini ok. kadang-kadang je rasa susah sangat. Tapi nak buat macamana, dah kerja kita.” Azlan menjawab tenang. Farhan angguk kepala. Dia senang dengan perwatakan Azlan yang sederhana dan menghormati orang lain.

“Ha… Han, dah balik? Nisa dan budak-budak tu, tak ikut sekali?” Tuan Hj.Rashid menegur anak sulongnya.

“Tidak, Bah. Saya dari pejabat tadi dan tergerak nak singgah kat sini. Rupa-rupanya abah ada tetamu. Dah lama juga tak bersembang dengan Azlan ni.” Azlan tersenyum.

“Ye. Tu sebab abah ajak dia balik rumah sekejap. Baru tadi terserempak dengan dia kat hospital tu.” Tuan Hj.Rashid duduk sama. Kini sudah hampir 6 bulan Erma koma dan hubungan Azlan dan keluarga itu juga bertambah baik. Ada keserasian antara mereka menyebabkan mereka mudah mersa.

“Lan, kamu selalu sangat ke hospital tu, kekasih kamu tak cemburu?” Soal Farhan tiba-tiba. Azlan terbatuk mendengar soalan yang tidak disangkanya itu.

“Siapa pulak yang nak cemburu. Kekasih pun takde lagi ni. Takde orang nak.” Jawabnya merendah diri. Farhan dan ayahnya tergelak bila melihat wajah Azlan yang merona merah. Malu mungkin.

“Mustahil orang tampan macam kamu ni takde kekasih. Takde orang minat?” Farhan mengusik Azlan yang jelas tersipu malu.

“Sekarang berapa umur kamu?” Soal Tuan Hj.Rashid.

“27 tahun, pak cik.” Jawabnya tenang. Walaupun perasaan malu bila di usik oleh Farhan masih bersisa lagi.

“Sama umur dengan Hanis. Anak nombor 3 pak cik. Erma tu, dia anak bongsu pak cik. Tahun ni dia dah 24 tahun. Dia manja dan sering menghiburkan kami semua. Entah di mana silapnya, dia menjadi seorang yang pemarah dan degil semenjak dia belajar di Australia. Perangai dia berubah sama sekali. Dan pak cik berharap, kalau dia sedar nanti, pak cik akan jaga dia sebaik mungkin supaya dia kembali pada Erma yang ceria dan menghiburkan.” Azlan turut berdoa di dalam hati semoga Erma sedar dari tidurnya yang panjang itu.

********************

Suatu hari, Azlan menerima panggilan dari Farhan yang mengatakan Erma sudah sedar dari koma. Ketika itu, Azlan tidak dapat balik ke Malaysia, kerana ada kursus di Beijing selama sebulan.

Walaupun rasa kecewa sebab tidak dapat berada bersama menyambut berita gembira itu, Azlan tetap berdoa semoga Erma sentiasa sihat walafiat. Azlan termenung seketika setelah perbualan mereka tamat. ‘Kenapa aku merasa sedih? Sepatutnya, aku gembira, sebab dia sudah sembuh dan keluarga dia sudah mampu tersenyum,’ Azlan bertanya pada dirinya sendiri. Sepanjang sebulan di Beijing, Azlan melawat tempat- tempat peranginan ketika tidak ada kursus. ‘Selepas ini, aku tidak akan berjumpa dia lagi, dan tidak dapat menatap wajah lembut itu,’ Bisiknya halus. Azlan bingung dengan perasaannya. Rasa kehilangan sejak dia berada di Beijing, tetapi dia tidak tahu apa yang hilang itu.

Sekembalinya ke tanahair, Azlan semakin sibuk dengan tugasan yang semakin mencabar sehingga dia tiada masa untuk menjenguk keluarga Tuan Hj.Rashid.

Setelah beberapa kali menolak jemputan dari Tuan Hj.Rashid, akhirnya Azlan tidak dapat menolak lagi dan sebetulnya dia juga sudah tidak terlalu sibuk. 4 bulan dia tidak bertemu dengan ahli keluarga itu dan itu maknanya, Erma juga sudah sedar selama 4 bulan.
Kehadiran Azlan di sambut mesra oleh keluarga Tuan Hj Rashid. Mereka membuat jamuan makan malam sempena ucapan terima kasih kerana Azlan sudi menjaga Erma ketika anak gadis mereka terlantar sakit selama lebih 8 bulan. Sepanjang berada di rumah tersebut, Azlan tercari-cari gadis yang telah lama tidak di tatap wajahnya. Sebelum menjamu selera, kerusi di sebelah Azlan kosong dan ahli keluarga tersebut tersenyum penuh rahsia padanya.

Sewaktu hendak makan, seseorang memberi salam. Azlan turut menyambut salam tersebut tetapi tidak memandang wajah orang yang sedang memberi salam itu.
Seseorang sedang duduk di kerusi kosong di sebelahnya dan pada masa yang sama Azlan mendongak dan gadis itu turut memandangnya. Mereka berbalas pandang agak lama sehingga dikejutkan oleh suara batuk ahli keluarga yang lain. Azlan tertunduk malu bila menyedari semua mata memerhati gelagat mereka.

“Terima kasih sebab jaga saya selama saya terlantar tidak sedarkan diri.” Suara gemersik menampar cuping telinganya. Azlan tersenyum mesra ke arah gadis tersebut. ‘Inikah Erma tu. Lain betul dari yang selalu aku tengok. Dia nampak lebih cantik dan wajahnya juga lembut dan tenang,’ Azlan berbisik di dalam hati.

“Tak perlu terima kasih. Saya ikhlas dan juga rasa bersalah menyebabkan awak terlibat dalam kemalangan hari tu.” Azlan berkata perlahan. Mereka yang lain tersenyum melihat gelagat Azlan yang pemalu itu. Erma turut tersenyum.

“Memang betul apa yang mereka cakap tentang awak.” Erma bersuara manja. Azlan terpinga-pinga dan mereka yang lain tergelak.

“Susah nak jumpa lelaki pemalu ni.” Farhan adalah orang pertama yang mengusik Azlan. Azlan hanya mampu tersenyum bila dirinya di usik oleh mereka semua. Gelak ketawa bergema di rumah banglo itu.

Azlan menghampiri Erma yang sedang duduk merenung bintang di langit.

“Berapa jumlah bintang tu?” Soalnya lembut. Erma tersentak lalu menoleh. Dia menghadiahkan senyuman paling manis buat lelaki itu. Hatinya tiba-tiba rasa berdebar-debar saat menatap wajah bersih dan tenang itu.

“Tak terkira saya. Awak nak tolong saya kira?” Soalnya pula. Azlan tersenyum.

“Saya pun tak terkira. Banyak sangat.” Ucapnya perlahan. Erma tersenyum.

“Kita belum berkenalan dengan betul, kan?” Erma memandang lagi wajah tampan itu. Azlan angguk kepala.
“Baiklah. Kita mulakan, saya Erma Farhana,” Erma tersenyum menanti Azlan memperkenalkan diri. Azlan turut tersenyum.

“Azlan Syah. Orang panggil Azlan atau Lan. Ahli keluarga saya panggil Syah,” Azlan tersenyum manis.

“Owhhhh… Saya suka nama Syah tu. Boleh saya panggil awak Syah?” Soal Erma meminta kebenaran. Azlan tersenyum.

“Tapi itu untuk ahli keluarga saya sahaja,” Azlan sengaja mengusik Erma. Erma terdiam seketika. Kemudian dia bersuara.

“Kalau macam tu, saya nak jadi ahli keluarga awak juga. Saya nak panggil awak…… Abang Syah.” Erma membalas renungan Azlan. Debaran di hati masing-masing semakin kuat. Erma akhirnya mengalah.

“Takpelah. Kalau awak tak sudi saya panggil awak dengan nama tu,” Erma berkata perlahan pura-pura merajuk bila melihat Azlan mendiamkan diri. Azlan garu kepala yang tidak gatal.

“Ok. Awak boleh panggil saya macam tu. Adik saya pun panggil saya macam tu. Apa kata awak jadi adik saya?” Erma tersentak dan mendongak wajah Azlan. Beberapa minit kemudian Erma berdiri lalu beredar. Azlan hairan melihat tingkahlaku Erma yang tiba-tiba berlalu meninggalkannya. Azlan mengekori langkah Erma masuk ke rumah juga.

“Pak cik, mak cik, saya balik dulu.” Azlan meminta diri setelah agak lama singgah di rumah tersebut. Erma langsung tidak menjenguk semasa Azlan balik. Azlan pula tercari-cari wajah manis itu namun hampa.

Sebulan telah berlalu semenjak Azlan menziarahi keluarga Tuan Hj.Rashid. Namun bayangan wajah Erma masih segar diingatan.

‘Tak mungkin aku ada perasaan istimewa padanya. Terlalu capat dan aku sudah serik, kalau boleh aku tidak mahu bercinta dengan anak orang kaya,’ Azlan merenung kegelapan malam di hadapan rumah sewanya. Dan semenjak itu, dia menyibukkan diri dengan tugasan pejabat dan berusaha keras untuk berjaya kerana dia hendak membeli rumah pula. Bagi Azlan, dia berazam untuk mengumpul harta sebelum mendirikan rumahtangga. Kalau boleh, dia tidak mahu bakal isterinya susah payah mencari rezeki bersamanya.

*********************

“Lan, bila lagi nak datang ke rumah? Mak cik kamu dah bising, katanya pak cik tak jemput kamu ke rumah.” Tuan Hj.Rashid berkata perlahan semasa mereka menjamu selera di restaurant.

“Saya sibuk sejak kebelakangan ni. InsyaAllah, bila selesai kerja saya, saya akan jenguk mak cik sekeluarga.” Azlan tersenyum.

“Apa kata, Lan bekerja dengan pak cik je. Tolong pak cik uruskan syarikat tu. Nak harapkan abang Farhan kamu, dia tak minat langsung nak menguruskannya. Suami Hanis tu pun, sibuk dengan perniagaannya sendiri. Kalau kamu nak, pak cik akan beri jawatan pengurus kepada kamu.” Azlan tersentak. Namun, kemudian dia angkat muka dan menggeleng kepala.

“Maaf pak cik. Saya tak dapat terima. Saya tak layak menjawat jawatan tersebut. Lagipun, saya tak mahu mengambil kesempatan. Biarlah saya berjaya kerana usaha saya sendiri. Baru saya rasa puas hati,” Azlan berkata perlahan. Tuan Hj.Rashid angguk kepala menghormati pendirian Azlan.

“Baiklah. Pak cik tak nak paksa kamu. Tapi kalau kamu ubah fikiran, pintu syarikat pak cik tu sentiasa terbuka untuk kamu,” Tuan hj.Rashid memandang wajah Azlan.

*************************

“En.Azlan, ada orang nak jumpa. Sekarang dia sedang menunggu Encik di dalam bilik tetamu,” Nura menyampaikan pesan.

“Ok. Terima kasih,” Azlan terus menuju ke bilik tetamu. Nura memerhati langkah Azlan yang kemas dan teratur. Dia tertarik dengan penampilan ketuanya itu. dan sikap Azlan yang sentiasa menghormati orang lain, biarpun mereka berpangkat rendah darinya. Dan ramai pekerja yang memujinya dan menghormatinnya.
Sebaik sahaja pintu bilik tetamu terbuka, Azlan tersentak saat pandangan matanya menangkap seraut wajah yang sedang dirinduinya. Gadis manis itu tersenyum.

“Kenapa awak? Tak sangka saya datang sini?” Soalnya manja. Azlan tersenyum sambil berjalan perlahan menghampiri gadis tersebut.

“Erma apa khabar? Lama tak jumpa?” Azlan menjemput Erma duduk.

“Baik. Dah lama Bang Lan tak datang rumah. Mama dah bising tau,” Erma tersenyum lagi. Azlan merenung lama wajah yang murah dengan senyuman itu. Agak lama mereka berbalas renungan.

“Errrr… sebenarnya, Erma ada hal nak bagitau abang.” Erma memulakan bicara setelah agak lama mendiamkan diri.

“Apa dia?” Soal Azlan tenang. Wajah Erma kelihatan sedih.

“Saya akan ke Australia dan tak tahu bila akan balik ke sini. Sebab tu saya datang jumpa abang ni.” Serta merta wajah Azlan berubah. Direnung wajah yang sedang tunduk itu.

“Terima kasih sekali lagi kerana sudi menjadi teman berbual saya semasa saya sakit dulu. Kalau tak kerana abang, saya mungkin takde semangat nak hidup lagi,” Erma menyeka airmata yang menitis di pipi. Berat rasa hati hendak mengucapkan selamat tinggal buat insan yang berjaya mengetuk pintu hatinya.

“Kenapa ke Australia? Erma sambung belajar?” Soal Azlan perlahan sambil bermain dengan telefon bimbitnya. Rasa kecewa kerana tidak dapat mengenali Erma dengan lebih rapat lagi.

“Saya nak cari kerja di sana. Lagipun papa dah benarkan.” Erma bersuara perlahan. Mengharapkan Azlan menghalangnya dari pergi. Namun semua itu hanya sia-sia, kerana Azlan tidak menyukainya.

“Jauhnya membawa diri. Sunyilah abang kelak,” Azlan merenung gadis manis itu. Rasa rendah diri menjarakan mereka. Azlan merasa dirinya tidak sesuai bergandingan dengan Erma yang sangat dikenali dan juga berharta.

“Errrr..abang…. sebelum Erma pergi. Erma ada perkara nak bagitahu abang,” Erma memandang wajah Azlan dengan riak tidak yakin. ‘Kalau aku tak luahkan, aku akan menyesal kelak. Kalau dia tolak, aku tak rugi apa-apa,’ Bisiknya dalam hati. Azlan menunggu dengan sabar.

“Saya cintakan abang,” Ucapnya perlahan namun masih mampu didengari oleh Azlan. Azlan tersentak, dia merenung Erma yang tunduk memandang lantai. ‘Betul ke apa yang aku dengar ni?’ Azlan pula tidak percaya dengan apa yang didengarinya.

“Erma cakap apa tadi?” Soalnya inginkan kepastian. Erma tetap mendiamkan diri. Rasa menyesal ada jugak dan yang penting rasa malu semakin menghimpit dirinya.

“Erma yakin dengan perasaan Erma?” Azlan bertanya.

“Anggap saja Erma tak pernah cakap. Erma minta diri dulu,” Erma segera mencapai beg tangannya dan bersedia untuk beredar.

“Tunggu,” Azlan menarik tangan Erma.

“Abang nak dengar sekali lagi. Ucap sambil pandang mata abang,” Azlan tersenyum. Erma terpana. Lidahnya kelu untuk mengucapkannya sekali lagi.

“Abang pun cintakan Erma, tapi abang tiada apa-apa. Abang tak beharta. Rupa pun tak hensem. Erma nak jugak?” Azlan bertanya sambil bergurau. Erma tunduk dan hanya bahunya sahaja yang kelihatan terangkat-angkat.

“Erma menangis?” Erma geleng kepala.

“Laaaa….Bisu pulak,” Azlan menepuk bahu Erma.

“Kalau Erma pergi, abang nak kahwin dengan siapa?” Erma angkat muka merenung Azlan yang tersenyum padanya.

“Abang….” Erma memandang wajah Azlan.

“Abang baru je nak suruh mak abang pergi pinang Erma Farhana binti Tuan Hj.Rashid untuk jadi isteri abang. Ingat nak batalkan bila Erma bagitau nak pergi jauh,” Erma pukul dada Azlan yang tersenyum senang.

“Abang jahat. Suka buat Erma sedih,” Erma peluk Azlan erat.

“Upsss.. tak boleh lagi.” Azlan menolak tubuh Erma perlahan. Erma tunduk malu.

“Terima kasih abang,” Azlan turut sama tersenyum kemudian ketawa bebas.

“So, macamana. Tak jadi pergi?” Azlan bertanya lagi. Erma geleng kepala. Kemudian mengeluarkan tiketnya lalu diserahkan kepada Azlan.

“Wah!!!! Hari ni nak pergi, baru nak cakap dengan abang?” Azlan mengoyak tiket tersebut tanpa sempat Erma menghalangnya.

“I love you,” Azlan pula mengucapkan kalimah keramat itu. Erma tersenyum bahagia.

“Terima kasih abang,” Mereka berbalas senyuman.

- Tamat-

0 catatan: