Followers

Monday, June 11, 2012

Relaku Pujuk 7



“Mawar, En.Haikal panggil.” Aku angkat muka. Aku kena habiskan metarial yang berlambak dalam tray aku ni. Kenapa pula En.Haikal nak jumpa aku? Satu lagi, dia kenal aku ke?

“Apa tunggu lagi ni. Bos panggil tu. Dia pulak tayang muka tak bersalah dia,” Aku mengeluh. 

“Kak, barang saya masih banyak ni. Nanti tak habis macamana ? Sudahlah ni sample yang susah.” Aku cuba menagih simpati Kak Onah. Sudahlah Bobbin yang aku kena siapkan ni, halus. Wayer dia pun halus.

“Bahagikan pada mereka yang lain.” Akhirnya aku angkat kaki berjalan malas menuju ke pejabat En.Haikal.

“Kenapa dia nak jumpa aku, ye ?” Aku berjalan sambil garu kepala. Dia bukannya kenal aku pun. Ni yang buat aku pening kepala. Kak Onah berjalan laju menuju ke bilik En.Haikal.

“Cepat. Masuklah. Mereka tunggu kat dalam tu,” Kak Onah buat muka marah dia. Haiii…kalau lama-lama kat luar ni, mahu muncung mulut dia sampai kat luar tu.

“Kak Onah tak masuk sama ?” Aku bertanya risau.

“Tak. Masuklah. Cepat.” Akhirnya dengan lafaz Bismillah, aku membuka pintu dan masuk perlahan. Aku tersenyum manis sambil menunduk sedikit kepala tanda hormat pada mereka yang berada di dalam bilik tersebut. Semua memandang kearahku dengan riak pelik.

“En.Haikal, saya kena bekerjasama dengan budak ni ?” Aku sempat mendengar suara seseorang yang aku cuba nak elak bertanya pada En.Haikal. Aku kerutkan dahi.

“Ye.” Aku terpinga-pinga. Tak tahu hujung pangkal tiba-tiba dengar suara Ishamudin melenting. Aiks….. kalau ye pun tak suka kat aku, janganlah cakap macam tu kat depan aku. Terasa aku dibuatnya. Tunggulah aku balik dulu. Tak bolehkah dia control sikit bahasa dia tu.

“Err…Boleh saya tahu, kenapa En.Haikal panggil saya ?” Aku bertanya sopan. Dia bos aku, jadi aku kena jaga tingkah laku.

“Saya tengok laporan kerja awak yang sangat baik dari ketua awak. Jadi bahagian awak cadangkan awak untuk menjadi wakil Syarikat kita untuk mengikuti kursus di Korea.” Aku terkejut. Korea ? Biar betul ? Takkan aku kena pergi ke sana ? Bukankan masih ramai yang berkebolehan dari aku.

“Tapi Encik…saya masih baru. Lagipun, tentu ramai yang tak puas hati kalau saya yang pergi. Kenapa tak suruh ketua bahagian?” Aku bertanya berani. Tak tahu pulak kenapa aku berani betul bertanya soalan itu. Korea? Jauh tu. Lagipun, aku kena pergi seorang. Kak Rina dan Kak Ana tak ikut sama. Tentu mak tak benarkan. Upsss…. Bukan seorang, berdua dengan lelaki ni? Betul ke berdua? Rasanya, ada lagi pekerja lain kot. Aduh !!!! boleh masak aku dibuatnya. Mak aku benarkan ke ? Lagipun, aku masih muda. Mana pandai nak jaga diri kat tempat orang. Aku juga anak manja, boleh ke aku berjauhan dari keluarga ? Masalah ni.

“Sebenarnya pihak kami telah menjalankan kajian. Memang awak masih baru di kilang ni. Tetapi, kemahiran awak mengatasi mereka yang telah lama bekerja di sini. Awak juga cepat belajar. Itu yang penting. Kami mahu seorang yang cepat memahami dan menerima arahan tanpa banyak soal. Oleh itu, pihak syarikat sangat berharap awak dapat menjalankan tugas ini.” Aku terkedu. Aku layak ke ?

“Awak, Ishamudin dan beberapa orang pekerja yang lain akan pergi ke sana hanya 3 bulan untuk belajar tentang produk keluaran terbaru syarikat. Jadi, saya nak awak bersiap sedia.” Aku garu kepala. Biar betul. Katakan semua ini hanya mimpi. Oh no. Kedua-dua tanganku melekap dikepala sambil geleng-geleng tak sudah. Beberapa kali aku tampar pipi sendiri. Ingatkan mimpi, rupanya realiti. Aku  tersipu malu bila menyedari mereka memandang kearahku. Tentu mereka pelik tengok sikap aku yang pelik ni.

“Kalau saya pergi dengan Abang Asran, boleh tak ?” Aku bertanya sambil tersenyum manis. Manalah tahu, En.Haikal ubah fikiran. Aku lihat dua orang lelaki itu menjeling tajam kearahku. Aku salah cakap ke ?

“Tak boleh.” Uiii…serentak mereka membantah. Yang Ishamudin ni pun satu. Kenapa dia pulak yang membantah. Bukankah tadi dia macam tak puas hati, bila tengok aku yang akan pergi dengan dia ?

“Kenapa tak boleh ?” Aku muncungkan mulut. Yelah. Kalau pergi dengan Abang Handsome, senang sikit. Dia akan jaga aku masa kat sana kelak. Kalau pergi dengan mamat kureng ni, tak tahu lagi nasib aku macamana. Huhuhuhu….tolong…tolong…

“Untuk produk baru ni, Ishamudin yang akan handle.” Aku tayang muka tak puas hati. Memang tak puas hati dengan mereka berdua ni.

“Siapa lagi yang akan pergi ?” Aku bertanya lemah. Tak seronok langsung. Kalau ada kawan yang satu kepala dengan aku, kan best.

“Ada 10 orang yang akan pergi. Kamu semua dipilih berdasarkan prestasi kerja kamu dalam syarikat. Setiap kamu punya tugas yang akan dibagi tahu oleh pihak atasan sebelum berangkat ke sana kelak.” Aku angguk kepala. Kalau aku pergi ke sana, mak aku benarkan ke tidak ? Bukan tak tahu perangai mak tu. Masa mula-mula aku nak bekerja kat sini, bukan main lagi dia membantah. Inikan pulak nak pergi ke Korea tu ? Masalah betul.

“Err….En. Haikal…” Aku tersengih malu bila En.Haikal angkat kening. Wah !!! handsome nya dia. Kenapalah dia ni kacak sangat. Boleh cair hati aku ni dibuatnya. Jelas sekali wajahku merona merah. Alamak, aku dah masuk zon miang sekejap.

“Apa dia ?” Suaranya memang romantik giler. Kalau hari-hari dengar boleh giler aku dibuatnya. Aku tersenyum meleret. Tapi senyum meleret aku tadi terus mati bila terpandang wajah mencuka kat sebelah aku ni.

“Err…En.Haikal pergi jugak ? upss…err…bukan…bukan..saya nak tanya, saya tak tahu lagi boleh pergi atau tak..” Aku tunduk malu. Apahal aku tanya soalan tu. Bengap betul. Aku pukul mulut yang tak tak pandai cover line ni. Aku sempat lihat senyum menawan dari En.Haikal. Wah !!!!! Handsome nya. Tapi berbeza pulak permandangan di sebelah aku ni. Apasal dia tayang muka meluat dia ? Mesti dalam hati dia kutuk aku siap-siap.

“Ehemmm,” Aku tersentak bila mendengar suara lelaki disebelahku berdehem. Aku kembali ke alam nyata. Memang tak boleh tengok orang senang. Baru nak pasang angan-angan, dia dah cantas semua angan-angan aku tadi.

“Saya mungkin akan datang melawat ke sana sahaja. Tentang keluarga awak, saya dah minta kebenaran dari kakak-kakak awak. Dan juga, ini  surat tawaran itu dan juga surat kebenaran yang perlu keluarga awak tandatangan.” Aku capai sampul surat yang dihulurkan oleh En.Haikal.

“Kalau mak saya tak benarkan ?” En.Haikal tersenyum.

“Takpe. Pihak syarikat tak kisah. Tapi, saya berharap, awak dapat pujuk mereka untuk benarkan awak pergi. Sayang rasanya kalau orang berkebolehan seperti awak tidak dapat pergi.” Aku angguk kepala. Terharu pulak bila syarikat besar ini menghargai kerjaku. Sedangkan aku baru lagi di syarikat ni.

“Ada apa-apa pertanyaan?” Aku geleng kepala.

“Errmmm.En.Haikal, bagaimana dengan tunang saya ? Boleh tak saya bawa dia pergi sekali ? Memandangkan waktu itu kelak, kami sudah berkahwin.” En.Haikal tersenyum.

“Saya minta maaf. Pihak syarikat hanya memperuntukkan belanja untuk mereka yang terpilih sahaja. Selain dari itu, pihak syarikat tidak akan melayan sebarang rayuan.” Aku tergelak jahat. Padan muka. Alamak !!!! Kalau selepas dia berkahwin, maknanya kami akan pergi awal tahun depan.

“Okey.” Jawabnya perlahan. Lemah je. Padan muka. Hahahaa… aku gelak jahat dalam hati. Kalau aku ketawa kat sini, nanti dia tahu aku gelakkan dia.

“Encik, kalau takde apa-apa, saya keluar dulu. Lapar.” Wajah En.Haikal berubah. Ishamudin juga turut sama memandang kearahku. Erkkk…kenapa aku terlepas cakap ? Mulut ni memang takde insuran.

“Bukankah awak dah makan tadi ?” Aku tersengih. Takkan aku nak bagi tahu dia yang aku bawa bekal dalam production. Mahunya dia melenting. Mana boleh bawa makanan dalam kilang. Kilang ni banyak bahan kimia.

“Err…Bukan lapar nak makan. Lapar nak habiskan kerja saya.” Huhuhuhu…hentam saja labu. En.Haikal tersengih sambil geleng kepala. Ishamudin pula mencebik. Apa masalah mamat sengal ni, aku tak kacau dia pun. Aku bagi jelingan maut padanya. Biar dia tahu, aku tak suka dia. Meluat. Perangai macam perempuan. Benci orang tak tentu pasal. Aku ni punyalah baik, tak kacau dia, dia pulak nak bencikan aku. Menyampah.

“Okey. Itu sahaja.” Aku terus berlari keluar dari bilik yang menyesakkan itu. Berada di dalam satu bilik dengan lelaki handsome, siapa yang tak gabra. Kenapalah mereka ni handsome sangat. Aku berjalan laju menuju ke tempat duduk aku.

“Apa cerita ?” Aku tersentak bila bahuku ditepuk mesra oleh seseorang. Aku angkat muka.

“Madam…” Madam tersengih menampakkan giginya yang hanya tinggal gigi bawah je. Apalah Madam ni, dah jadi Madam tu, kenalah jaga penampilan. Belilah gigi palsu supaya orang tak ada peluang nak ketawakan kita. Aku geleng kepala. Ehhh….apasal pulak melelat pasal gigi Madam ni.

“Madam tahu tentang tu ye ?” Aku buat muka kasihan.

“Kau memang layak. Aku yang sarankan mereka untuk hantar kau pergi. Kau antara pekerja yang berpotensi untuk maju. Jadi, aku nak ingatkan kau supaya tidak menghampakan aku.” Aku garu kening yang tiba-tiba terasa gatal.

“Kenapa saya ? Ramai lagi mereka yang berkebolehan dari saya. Mereka yang dah lama bekerja, kenapa tak pilih mereka ? Nanti mereka ingat saya rasuah Madam pulak.” Aku betul-betul tak selesa dengan keadaan sekarang ni. Mana mungkin aku pergi dengan aman jika ramai yang cemburu.

“Tak payah nak fikir perkara pelik-pelik. Aku dah buat undian. Aku dah tanya semua mereka kat bahagian ni. Mereka setuju untuk hantar kau sebagai wakil bahagian ni.” Aku terperanjat. Biar betul?

“Kak Onah...betul ke?” Aku menjerit memanggil Kak Onah. Aku lihat Madam gigit bibir. Nak marahlah tu. Upsss... aku ni pun satu, yang aku menjerit dalam production ni kenapa? Ingat kilang ni, kilang aku punya ke? Tahulah yang aku ni mesra alam, tapi controllah sikit.

“Budak ni. Masa bekerja boleh pulak dia menjerit.” Madam pukul bahu aku. Aku tayang barisan gigi aku yang cantik ini. Korang rasa, Madam kecil hati tak bila tengok gigi aku tersusun cantik, sedangkan dia takde gigi hadapan lagi. 
Jahatnya aku.

“Ye. Kami dah pilih kau. Sebab kau budak paling cergas yang kami semua pernah jumpa.” Aku angkat kening bila dengar jawapan dari Kak Mila. Kak Sally, Kak Ita dan Kak Kate  angguk kepala.

“Sudahlah Mawar. Ikut je. Kau memang layak,” Kak Kate pula memberi kata semangat.

“Kalau semua dah cakap macam tu. Saya terima je.” Mereka semua tersenyum senang.

“Nanti, sunyilah saya. Takde kawan,” Aku buat muka sedih. Sudahlah pergi ke sana seorang diri. Maksud aku, aku terpaksa berkawan dengan mereka yang telah di pilih dari bahagian lain.

“3 bulan je. Bukannya lama pun. Bertuah tau, dapat pergi ke sana. Orang lain berlumba-lumba nak pergi, tapi takde peluang. Kau pulak, nak tolak tuah?” Kak Onah geleng kepala. Aku buat muka sedih.

“Madam, betul saya boleh pergi?” Aku bertanya lagi. Madam angguk kepala. Nampaknya, aku kena pergi jugak. Apa pula yang mak dan ayah aku cakap. Sanggup atau tidak mereka hantar anak mereka ni keluar negara.

**************************

“Pergilah. Bila lagi Mawar nak dapat peluang macam ni,” Aku tersenyum lebar bila mendengar ayat tersebut. Wah!!! Mak aku dah insaflah. Dia benarkan aku pergi. Rasa hendak peluk mak sekarang jugak. Tapi...mak kat kampung. Kalau aku peluk tiang telefon ni okey jugak.

“Kak Rina kau dah bagi tahu mak semalam. Apasal lambat call mak?” Aku garu kepala. Aku ni memang susah sikit nak telefon orang rumah. Asyik ahli keluarga aku je yang selalu call. Maklumlah, kerja kilang, gaji cukup makan je. Hujung bulan dapat gaji, awal bulan dah kering.

“Mak, nanti Mawar call lagi. Dah ramai orang tunggu Mawar tu. Mereka nak guna telefon ni.” Aku dengar mak mengeluh.

“Yang kau call guna telefon awam tu kenapa? Telefon yang Abang Zam kau bagi tu, nak buat apa? Simpan dalam peti untuk hiasan?” Aku  jarakan gagang telefon dari telinga. Mak ni, suara mengalahkan petir.

“Mana boleh guna sesuka hati. Nanti, Abang Zam marah,” Aku memberi alasan.

“Cakap saja yang kamu tu tak suka cakap panjang dengan mak,” Alamak!!! Mak aku dah buat nada sedih.

“Mak ni. Mana ada. Mawar tak banyak masa ni. Kejap lagi nak kena masuk production. Waktu rehat dah nak habis. Okey mak. Nanti Mawar call lagi. See you. Assalamualaikum. Muah..sayang mak. Kirim salam kat ayah ye?” Aku tersengih mendengar mak menjawab salam dan sempat juga mengata aku.

“Waalaikumsalam. Bertuah punya budak,” Sebaik sahaja gagang diletakkan semula di tempatnya, aku terus berlari masuk ke production sebelum loceng tamat rehat berbunyi.

***********************


0 catatan: