Followers

Wednesday, October 28, 2009

Kembali Pulang 2

Mira mengambil tempat duduk dibelakang sekali. Bas sekolah yang membawa peserta dan penyokong itu bergerak meninggalkan perkarangan sekolah. Mira mengeluh lega bila Mazlan tidak menaiki bas yang sama dengannya. Dapatlah dia tidur sepanjang perjalanan nanti.

“Nasib baik dia ada acara awal pagi ni. Hihihii. Amanlah sikit,” Mira berkata perlahan. Zuriana tersenyum melihat gelagat Mira. Kadangkala lucu bila melihat Mira memberi alasan yang bukan-bukan hanya untuk menolak kehadiran Mazlan. Mazlan pula tidak putus asa untuk memikat Mira semenjak mereka ditingkatan 3 lagi.

*******************

Akmal dan rakan-rakan yang ada acara pada sebelah pagi sudah datang awal dan melapor diri. Selepas melaporkan diri, Akmal berlari menuju ke tandas dan terlanggar seorang pelajar perempuan. Pelajar tersebut jatuh terduduk, mereka hanya berbalas pandang seketika kemudian Akmal terus berlalu tanpa meminta maaf.

“Dia pergi macam tu saja. Jangan kata nak tolong, minta maaf pun tak.” Mira mengutuk pelajar tersebut sambil menepuk punggungnya yang kotor. Dia berlalu dengan perasaan geram menuju ke bilik rawatan.

“Kenapa marah-marah ni? Siapa yang buat kau marah awal pagi ni?” Soal Zuriana hairan.

“Tadi, masa aku kat tandas, keluar je, entah dari mana dia datang terus dia langgar aku sampai jatuh terduduk. Lepas tu dia pergi macam tu je. Dahlah tak minta maaf, dibiarnya aku macam tu je,” Mira membebel sambil tangannya lincah mengeluarkan peralatan kecemasan.

“Kau ingat tak rupa dia? Kalau kau ingat, nanti kita cari dia suruh dia minta maaf, nak tak?” Zuriana memberi cadangan. Mira berfikir sejenak.

“Malaslah. Tak kuasa aku nak cari masalah. Biarlah.” Mira berkata perlahan.

“Ok. Nampaknya kau dah maafkan dia, kan?” Zuriana menepuk bahu sahabatnya. Mira memang seorang yang mudah memaafkan kesalahan orang lain. Sebab sifatnya itu, kadangkala dia sering dipermainkan oleh pelajar lain. Hanya Zuriana yang setia berkawan dengannya. Mira tersengih. Memang mulanya dia hendak mengejar lelaki itu tadi, bila dia melihat pelajar tersebut masuk ke tandas pelajar lelaki dengan terburu-buru, dia tergelak halus.

“Kenapa kau tersenyum? Tadi marah sangat, sekarang tergelak pulak,” Zuriana geleng kepala.

“Kasihan dia. Tentu dia dah tak dapat tahan lagi nak melepas hajat.” Mira tergelak besar. Zuriana turut sama tergelak.

“Apa yang lucu sangat tu?” Mereka berdua berpaling ke arah suara yang menegur. Mazlan tersengih melihat Mira dan Zuriana melompat kerana terkejut dengan kehadirannya.

“Lan, terkejut kita orang dibuatnya.” Zuriana memarahi Mazlan sambil mengurut dadanya.

“Nasib baik aku takde sakit jantung, kalau tak, dah arwah aku dibuatnya,” Mira pula menyampuk.

“Yang kamu berdua ketawa bunyi hantu puntianak tu, kenapa?” Mazlan pula bertanya.

“Biasalah. Orang perempuan, kau tu lelaki, mana boleh tau,” Zuriana memandang wajah kelat Mazlan.

“Mira, kau tak nak tengok aku berlari ke? Kalau kau tengok, baru aku ada semangat nak berlari,” Mazlan buat muka sedih.

“Kau kan tahu, aku tak minat tengok orang bersukan?” Mira memandang wajah hampa Mazlan.

“Sekurang-kurangnya, bagilah kata semangat kat aku,” Mazlan menghampiri Mira. “Ehhh. Kau nak buat apa ni?” Soal Mira gugup bila Mazlan menghampirinya.

“Err. Ucaplah sesuatu. Good luck, ke. Apa-apa je,” Rayu Mazlan sambil menggenggam tangan Mira.

“OK. Semoga berjaya. Hati-hati,” Mazlan tersengih.

“Terima kasih,” Ucapnya ceria lalu beredar. Mira geleng kepala. Zuriana pula sudah hanyut melayan novel yang sememangnya tidak pernah berenggang dari sisinya.

“ Kesiannya aku dengan perempuan dalam cerita ni. Setelah sekian lama memendam perasaan kat lelaki tu, akhirnya dia dapat meluahkannya. Tapi, dah terlambat untuk mereka bersama, kerana lelaki itu sakit barah otak. Meninggal pulak tu. Sedihnya,” Zuriana menutup buku cerita ‘Cinta terakhir’ itu.

“Kan aku dah cakap hari tu, cerita tu best. Sebenarnya, Apin tu pun suka jugak kat Sara. Cuma bila dia tahu penyakitnya tidak dapat diubati, dia sengaja cari jalan supaya Sara membencinya.” Mira pula memberi ulasan.

“Baiknya hati Apin, kan. Kalaulah aku jumpa lelaki seperti itu, aku akan tanggung sama penderitaannya.” Zuriana berkata penuh harapan.

“Ada ke lelaki seperti itu? Yang aku nampak sekarang ni, bila ajal semakin dekat, mereka sedaya upaya capai apa yang belum dibuat. Enjoy puas-puas.” Mira geleng kepala. Zuriana turut sama mengangguk kepala.

**********************

Hari pertama dan kedua, kebanyakkan mereka yang dihantar ke bilik rawatan adalah pelajar perempuan. Ada yang pengsan, ada jugak yang terseliuh kaki dan tak kurang jugak yang sengaja berehat di bilik tersebut.

Masuk hari ketiga, ramai pelajar lelaki di hantar. Mungkin kerana hari ketiga acara lasak sahaja yang dipertandingkan. Seperti bola sepak, larian jarak jauh dan lari berhalangan.

“Mira, jum kita keluar makan dulu. Aku dah lapar ni,” Zuriana mengajak Mira keluar.

“Aku belum lapar lah. Kalau kau nak pergi, belikan aku apa-apa je.” Mira menolak.

“Ok,” Zuriana dan beberapa orang pelajar lain bersedia untuk beredar. Tidak lama kemudian mereka berpatahbalik sambil mengusung seorang pelajar lelaki. Mira segera membantu apa yang patut. Pelajar lelaki tersebut pengsan kerana kakinya kejang dan ada lebam di kaki itu.

“Kau jaga dia sekejap je. Kami nak pergi beli makanan,” Mereka beredar meninggalkan Mira dengan pelajar lelaki tersebut. Lama Mira merenung wajah tampan itu. ‘Dia yang langgar aku hari tu,’ Bisiknya. Setelah membantu meregangkan otot-otot kaki pelajar terbabit, Mira duduk sambil meneruskan bacaannya.

“Kat mana saya ni?” Soal Akmal hairan. Dia memandang sekeliling. Mira menutup buku cerita yang dibacanya lalu memandang wajah yang kebingungan itu.

“Awak kat bilik rawatan. Awak pengsan tadi,” Mira memberi air mineral kepada Akmal. Akmal menyambutnya dengan perlahan. ‘Macam pernah nampaklah dia ni.’ Akmal merenung wajah putih bersih itu. ‘Ye… Dia yang aku langgar hari tu.’ Akmal menggaru kepala yang tidak gatal. Air mineral yang diminum menyegarkannya.

“Errr. Awak, saya nak minta maaf sebab langgar awak hari tu. Sebab nak cepat, saya tinggalkan awak macam tu je. Sorry ye,” Akmal tersengih malu. Kerana sakit perut, dia tidak sempat meminta maaf kepada perempuan yang dilanggarnya.

“Saya dah lupakan.” Jawab Mira lembut. Akmal tersenyum lagi. Akmal cuba berdiri tetapi kakinya masih tidak berdaya.

“Arghh,” Akmal mengerang kesakitan. Mira membantu Akmal berjalan perlahan-lahan.

“Hati-hati,” Ucapnya bimbang. Setelah hampir 5 minit berjalan dengan dibantu oleh Mira, barulah Akmal dapat berjalan sendiri.

“Terima kasih,”

Mira tersenyum sambil angguk kepala. Mereka saling berpandangan.

2 catatan:

Hana Norisa said...

best3...
msti dorang tak sedar lagi kan yg dorang tu member dulu...hehehehe...

cepat3 sambung ya...
~peace~

Yong said...

wah akmal mempunyai sikap yg baik, tak macam masa kecik. nakal nak mampus. hahaha