Followers

Monday, September 27, 2010

Jangan Kau Pergi 9

“Awak dah sedar?” Elman bertanya risau. Hafiya kerutkan dahi. Kepalanya terasa berat sekali. Hafiya sentuh bibirnya.

“Kenapa dengan bibir saya ni?” Hafiya bertanya pelik sambil jari-jemarinya bermain dengan bibir tebalnya. Elman mengulum senyum. Hafiya pandang wajah merah Elman yang jelas menahan ketawa. Perlahan Hafiya turun dari katil dan menghampiri meja solek.

“Arghhhhhhhhhhhh!!!!!!!!” Elman hampir terjatuh dari katil bila mendengar suara Hafiya menjerit kuat.

“Kenapa dengan bibir saya ni? Awak, apa awak dah buat kat saya ni?” Hafiya bertanya sambil bercekak pinggang. Elman terus tergelak besar. Wajah bengang isterinya membuatkan ketawanya semakin kuat.

“Awak, kenapa dengan bibir saya ni?” Hafiya terasa matanya digenangi airmata. Sebelum sempat airmatanya menitis, pantas jarinya menyeka airmata tersebut.

“Awak tak ingat langsung apa yang terjadi semalam?” Elman bertanya setelah ketawanya reda. Hafiya termenung seketika. Dia cuba mengingati apa yang terjadi semalam. Daya ingatannya seakan-akan lumpuh. Langsung tidak dapat mengingati apa yang berlaku. Elman garu dagunya sambil berjalan menghampiri Hafiya yang masih menyentuh bibirnya yang membengkak itu.

“Saya rasa, semalam saya tak sengaja tergigit bibir awak sewaktu kita berdua...ehem...sedang buat...” Wajah Hafiya semakin merona merah bila dia dapat menangkap apa yang cuba suaminya katakan padanya. Hafiya tutup telinga.

“Cukup. Awak jangan nak reka cerita. Saya tak suka dengar,” Hafiya terus terduduk menangis. Elman tersentak. Tidak menyangka sampai begitu sekali reaksi Hafiya. Melihat Hafiya menangis teresak-esak, timbul rasa bersalah dalam diri Elman. Teringat kejadian Hafiya pengsan sewaktu dipeluknya malam yang lepas.

“Err...maaf.” Elman bersuara perlahan. Elman menghampiri Hafiya dan berlutut dihadapan isterinya. Perlahan tangan Hafiya yang menutup telinganya itu ditarik.

“Okey. Saya minta maaf. Saya tipu je. Bibir awak jadi macam tu sebab awak allergic makan ketam.” Hafiya angkat muka. Merenung wajah bersalah suaminya.

“Betul?” Soalnya inginkan kepastian. Elman angguk kepala.

“Jadi..bukan sebab awak dan saya buat perkara tu?” Sekali lagi Elman angguk kepala. Hafiya merenung jauh ke dasar mata suaminya. Agak lama mereka berbalas renungan sehingga akhirnya Hafiya melarikan wajahnya.

“Ehemmm...okeylah. Saya pergi dulu. Nanti jangan lupa sapu krim ni. Dah macam bibir Angelina Jolie. Seksi,” Elman sempat juga mengusik. Hafiya menjeling tajam. Tangannya menutup bibir yang bengkak itu.

“Kenapa Fiya makan jugak ketam tu? Tengok siapa yang susah?” Elman membebel. Hafiya hanya mendiamkan diri. Malas mahu berdebat dengan lelaki itu kerana yakin, akhirnya dia juga yang terpaksa mengalah. Debaran didada ketika berbalas renungan tadi masih mengganggu dirinya.

“Nasib baik budak-budak tu tak apa-apa.” Hafiya pandang wajah Elman. Lelaki itu sedang menyikat rambut sambil membelek wajahnya dihadapan cermin.

“Mereka berdua tak apa-apa?” Hafiya bertanya cemas. Dia langsung tidak dapat mengingati kejadian semalam.

“Mereka okey. Awak tu je yang tak okey. Buat saya terkejut je. Baru habis makan seekor dah pengsan. Lepas tu langsung tak sedar diri,” Hafiya peluk bantal peluknya.

“Saya pengsan? Teruk sangat ke keadaan saya masa tu?” Hafiya bertanya lemah. Elman pandang wajah mendung isterinya.

“Ye. Saya tak pernah pun tahu ada orang pengsan lepas makan ketam. Hari tu kena peluk pun pengsan. Makan ketam pun pengsan. Apa lagi yang boleh menyebabkan awak pengsan?” Hafiya kerutkan dahi. Wajah serius Elman dipandang.

“Saya...saya tak tahu,” Jawabnya ringkas. Elman mengeluh.

“Dahlah. Tidur lagi. Saya nak ke bawah. Awak nak tengok tv?” Elman bertanya pada isterinya sebelum tangannya membuka pintu bilik mereka. Hafiya pandang jam dinding. ‘Dah jam 2 pagi. Cerita apa yang masih ditayang,’ Wajah keliru dilemparkan pada Elman yang setia menanti.

“Saya nak tidur.” Elman angguk kepala dan berlalu. Sebenarnya Elman sengaja melarikan diri dari Hafiya. Rasa hati tidak tenteram setelah mendengar ceramah dari ayahnya petang tadi. Kalau semalam elok saja dia tidur sebilik dengan Hafiya biarpun tidak tidur di atas satu katil. Elman mengeluh dan bersandar di sofa. Lengan diletakan di atas dahi.

“Papa hanya nak ingatkan El. Lagipun, Fiya mungkin berfikir, El tak suka padanya. Buat apa dia hendak menghabiskan masa bersama El? Betulkan?”

Elman tidak lena tidur memikirkan kata-kata papanya.

*******************************.

“Fiya seronok tinggal kat sini?” En.Ezhan bertanya sambil memeluk Alif. Hafiya tersenyum. Memandang sekeliling kawasan rumah besar itu membuatkan Hafiya terasa sangat kerdil. Rsa tidak layak untuk tinggal di situ. Halaman rumah yang dihiasi landskap yang indah sekali. Pasti pereka landskap ini seorang yang berilmu tinggi.

“Suka. Tapi rasa tak sesuai.” Hafiya berterus terang.

“Kenapa pulak tak sesuai?” En.Ezhan kerutkan dahi. Hafiya tersengih.

“Sepatutnya papa dan mama dapat menantu yang jauh lebih baik, yang berpelajaran tinggi. Tak macam Fiya ni. Sekolah pun sampai tingkatan 6 je.” Hafiya merendah diri. En.Ezhan tergelak.

“Fiya..Fiya... itu namanya jodoh. Tak semestinya orang pandai kena kahwin dengan orang bijak pandai jugak. Fiya tahu tak, mama Fiya tu sekolah sampai darjah 6. Papa bahagia jugak. Tengok rumah ni, cantik tak? Semuanya mama yang reka.” Hafiya tergamam.

“Betul?” Soalnya teruja. Baru sebentar tadi dia memuji halaman rumah yang cantik itu.

“Ye. Tak semestinya ilmu perlu dituntut sampai ke menara gading. Kadangkala ilmu dunia kita kena cari melalui cara lain. Orang-orang kampung tu, yang bertukang buat rumah, bercucuk tanam. Mereka semua tak pernah dapat pendidikan yang khusus. Tetapi mereka menggunakan akal dengan sebaiknya. Setiap manusia ada kelebihan dan kekurangan. Jangan memandang rendah pada mereka yang tidak berpelajaran. Sebab itu papa suka bila Elman berkahwin dengan Fiya.” Panjang lebar nasihat yang diberikan. Hafiya angguk kepala. kagum dengan pandangan En.Ezhan. Sedikit pun tidak memandang rendah pada orang lain.

“Memang betul. Masa arwah mak dan ayah masih hidup, Fiya selalu dengar mak dan ayah bercerita tentang bagaimana nak buat saliran untuk air mengalir supaya hasil tanaman menjadi. Mak dan ayah belajar sampai darjah dua kalau tak silap saya. Tetapi ilmu mereka banyak.” En.Ezhan tersenyum.

“Tapi itu dulu. Sekarang ni, manusia berlumba-lumba menghantar anak mereka sambung belajar. Masing-masing nak tengok anak mereka masuk university.” Hafiya bersuara perlahan lagi.

“Kalau tinggal kat bandar, ilmu memang perlu. Nak minta kerja perlu sijil, ijazah dan kelayakan yang diiktiraf. Sebenarnya, papa ada hal nak bincang dengan Fiya,” Fiya pandang wajah bapa mertuanya.

“Papa ingat nak hantar Fiya sambung belajar. Fiya nak?” Hafiya tersentak. Tidak menyangka usul tersebut keluar dari mulut bapa mertuanya.

“Err...saya..saya..” Hafiya gugup. Jauh disudut hati memang dia ingin menyambung pengajiannya. Tetapi semenjak kehadiran Alif dan Nurina, niat itu semakin hari semakin berkubur.

“Kalau Fiya nak, nanti papa tolong aturkan. Ataupun, kalau Fiya tak nak full time, Fiya boleh buat PJJ. Sambil tu, tolong papa kat pejabat. Nak?” Hafiya terkejut. Offer yang bagus. Namun dia harus memikiran banyak perkara.

“Err...Fiya...saya rasa takpelah papa. Fiya senang macam ni. Papa bagilah pada mereka yang lebih layak,” Hafiya bersuara perlahan.

“Tapi, papa nak tolong Fiya. Sambil itu, papa nak tolong papa sendiri.” Hafiya angkat muka. Pelik mendengar ayat yang terakhir itu.

“Tolong papa sendiri?” Hafiya bertanya pelik. En.Ezhan tersenyum.

“Yelah. Kalau Fiya sambung belajar dan bekerja di syarikat papa, dapat jugak membantu papa. Lagipun, Elman dah jelas tak berminat nak ambil alih syarikat tu. Umur papa ni semakin meningkat. Kalau papa dah takde kelak, macamana dengan syarikat tu kelak.” Hafiya mengeluh. Itulah susahnya kalau anak hanya seorang. Lebih-lebih lagi ahli perniagaan seperti En.Ezhan. Syarikat hasil titik peluhnya itu mungkin akan jatuh ke tangan pemegang syer yang lain. Sia-sia sahaja usaha En.Ezhan kelak. Namun Hafiya juga harus memikirkan dirinya. Hubungannya dengan Elman masih tidak jelas. Dia tidak tahu adakah Elman mahu dia menjadi isterinya selamanya atau akan tiba satu saat dia akan diceraikan.

“Bagi Fiya masa. Fiya kena fikir dari pelbagai sudut. Nak kena tanya E...errr...Abang El dulu,” Fiya terasa janggal hendak memanggil Elman dengan panggilan abang. En.Ezhan tersenyum.

“Yelah. Papa bagi Fiya masa. Berbincanglah dengan Elman. Tetapi papa sangat berharap Fiya terima cadangan papa tu,” Hafiya angguk kepala. Alif tertidur di dalam pangkuan En.Ezhan.

“Tertidur pula cucu atok ni,” Mesra sekali En.Ezhan bila bersama Nurina dan Alif.

“Biar Fiya hantar dia ke bilik dulu,” Hafiya berdiri menghampiri En.Ezhan.

“Takpe. Biar papa bawak dia. Malam ni, biar dia tidur dengan papa dan mama. Boleh tak?” Hafiya garu kepala.

“Tak menyusahkan papa dan mama?” En.Ezhan tersenyum. Hafiya mengekori langkah En.Ezhan masuk ke dalam rumah.

“Kenapa bang? Alif tidur?” Pn.Mariam menghampiri suami dan menantunya.

“Ye. Malam ni biar Alif tidur dengan kita. Okey tak?” Pn.Mariam tersenyum lebar. Hafiya hanya memerhati raut wajah pasangan suami isteri yang begitu gembira sekali melayan anak-anaknya.

“Takpe ke Fiya?” Pn.Mariam bertanya perlahan pada Hafiya. Hafiya angguk kepala. kemudian mereka terus membawa Alif ke bilik. Hafiya hanya merenung langkah pasangan suami isteri itu.

2 catatan:

MaY_LiN said...

amboi..
pandai el kenakan piya ya..
tau takut...
hihihi

nursya said...

syg btl mertua fiya tu kat fiya...
best tol klw dpt mertua mcm tu....
huhuhu...