Followers

Tuesday, September 23, 2014

Relaku Pujuk 56



“Abang, saya rasa baby dah nak keluarlah,” Aku berkata selamba sambil menghampiri suamiku.
“Hah!!! Baby nak keluar?” Aku angguk kepala. Mulutku masih mengunyah karipap kari ayam yang mak mertua aku buat untuk sarapan pagi itu.
Deu dia lusa kan?” Aku angguk kepala.
“Kenapa Sham? Muka kamu tu dah macam orang hilang bini mak tengok,” Ishamudin garu kepala. Aku tergelak. Yelah suami aku ni. Aku punyalah selamba, dia pulak ribut semacam.
“Mak, Mawar cakap baby dah nak keluar,” Perlahan tangan Ishamudin menyentuh bawah perutku. Aku pandang wajah risau suamiku.
“Dah ada tanda ye Mawar?” Aku angguk kepala dan terus bergerak ke ruang tamu.
“Mawar, duduk diam boleh? Asyik bergerak je budak ni,” Aku kerutkan dahi. Marah pulak cik abang aku ni. Aku bukan nak pergi mana pun, aku nak duduk kat kerusi tu. Lenguh kaki sebab berdiri.
“Kalau macam tu, kita ke hospital terus.” Ishamudin terus berlari ke bilik. Bakul dan beg pakaianku dibawa keluar. Aku hanya melihat suami yang kelam kabut mengemas barang. Rasa seronok pulak bila melihat wajahnya saat itu.
“Mak, apa lagi nak dibawa ke sana?” Ishamudin bercekak pinggang diruang tamu. Aku tergelak kecil. Ishamudin hadiahkan jelingan tajam padaku lantas menghampiriku. Tanpa kata, bibirku menjadi sasaran bibirnya.
“Isteri abang yang comel,” Ucapnya sambil tersenyum. Aku hadiahkan senyuman paling manis padanya. Perlahan tangan kasarnya aku tarik.
“Dah sedia nak jadi ayah?” Soalku perlahan sambil memeluk lengannya. Ishamudin cium dahiku.
“Sudah sayang. Nanti, tak dapat nak manjakan sayang lebih-lebih. Nanti anak kita jealous,” Aku mencebik. Nampaknya aku terpaksa berebut dengan anak kami pula.
“Dah siap? Jum..pergi,” Kami berdua berdiri setelah ibu mertuaku sudah siap berkemas.
            ********************************
SEPANJANG perjalanan ke hospital, aku berusaha untuk tidak menunjukkan rasa sakit pada suamiku. Bimbang dia semakin risau. Biarlah dia memandu dengan tenang. Setiap kali Ishamudin menekan brek, setiap kali juga aku menghembus nafas perlahan. Sakit belakangku, sekejap datang sekejap hilang.
“Jalan jammed pulak. Ya Allah, permudahkanlah segala urusan kami hari ni,” Aku genggam tangannya.
“Kenapa sayang? Sakit sangat?” Soalnya bimbang. Aku geleng kepala.
“Jangan risau. Mawar masih dapat bertahan,” Aku tersenyum manis padanya. Dia mengeluh lega.
“Bimbang abang tengok sayang ni. Betul sayang masih okey?” Aku angguk kepala.
Hampir 1 jam dari rumah ke hospital kerana kesesakan lalu lintas. Kemudian nak cari tempat parking di hospital juga susah. Terpaksalah Ishamudin turunkan kami di wad kecemasan. Ketika itu, aku masih mampu bertahan. Sakitnya sekejap datang sekejap hilang. Kami berdua menaiki lif ke wad bersalin untuk melapor diri.
************************
“Comel betul muka perempuan tu,” Aku hanya mendiamkan diri bila mendengar suara-suara nurse di bilik tersebut berbisik sesama sendiri. Entahlah. Siapa yang mereka maksudkan. Mataku meliar mencari siapa yang mereka maksudkan. Teringin jugak nak tengok muka perempuan comel yang dipuji oleh mereka tadi. Aku membalas senyum beberapa orang nurse yang lalu lalang di hadapan kami. Aku dan ibu mertuaku menunggu dengan sabar. Aku terpaksa tunggu Ishamudin untuk masuk. Kad dan beg tertinggal di dalam kereta tadi.
“Mawar, dah masuk?” Aku tersenyum bila melihat wajah penat suamiku. Tentu penat sebab terpaksa berlari ke sana ke mari.
“Belum. Jum.Temankan Mawar masuk,” Dia angguk kepala dan memimpin tanganku. Berhati-hati kami melangkah menghampir meja jururawat yang bertugas.
Selepas ditanya soalan pelik-pelik, akhirnya mereka kata aku kena masuk wad. Sebab mereka kata dah buka 4cm. Perasaan aku masa tu, hanya Tuhan yang tahu. Tadi bukan main lagi aku cuba untuk menenangkan Ishamudin, sekarang, aku sendiri rasa kecut perut.
“Doktor, saya takut. Ini anak pertama saya. Boleh tak suami saya temankan?” Aku bertanya dengan wajah yang sedih. Mana tahu dia benarkan.
“Boleh. Takde masalah. Tapi, suami puan tu, dia ada alahan tak? Dia takut tengok darah tak?” Aku terdiam seketika.
“Saya tak berapa pasti pulak.”
“Kalau macam tu, ermmm...suami puan ada diluar tu?” Aku angguk kepala.
“Okey. Nanti saya suruh mereka panggil dia,” Aku tersenyum lega.
“Terima kasih Doktor.” Doktor wanita itu tersenyum. Nasib baik doktor wanita yang bertugas. Tadi Ishamudin terpaksa menbuat pendaftaran di tingkat bawah.
            Hampir 15 minit, barulah suamiku menampakkan mukanya. Wajahnya jelas sekali seperti tidak sabar hendak menjadi ayah.
“Sayang panggil abang?” Aku angguk kepala.
“Temankan Mawar ye?” Wajahnya terkejut. Matanya memandang beberapa orang jururawat yang dari tadi memandang ke arah kami.
“Boleh ke?” Dia bertanya hairan. Aku angguk kepala. Jarinya memicit dahi. Nampak macam orang bermasalah je.
“Ermmm...”
“Takkan abang takut dengan darah?”
“Ehh...Mana ada. Merepek je Mawar ni. Orang okey je. Okeylah. Abang temankan,” Aku tersenyum lebar dan mencium tangannya. Aku dihantar ke bilik bersalin. Di sana bermacam-macam wajah mereka yang menunggu giliran. Di satu bilik yang lain, aku terdengar bunyi perempuan meraung. Pantas tangan Ishamudin aku genggam erat. Kenapalah, aku terdengar suara mengerang kesakitan tu saat ini.
“Sabar sayang. Berdoa semoga dipermudahkan sayang bersalin ye.” Aku angguk kepala.
Dalam hati aku mula membaca Surah Ghafir ayat 44.
“Dan aku sentiasa menyerahkan urusanku bulat-bulat kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Melihat akan keadaan hamba-hambanya,” ucapku perlahan di dalam hati.
            Benarlah kata kakak-kakakku, bila kesakitan itu datang, perasaan malu kita pada orang-orang disekeliling hilang. Tumpuan kita hanya satu, iaitu untuk segera menamatkan rasa sakit ketika melahirkan. Nasib aku agak baik kerana jururawat yang bertugas menyambut kelahiran bayiku, semuanya okey dan memahami. Aku pernah dengar cerita dari mereka yang pernah bersalin di sini dan mendapat layanan buruk dari jururawat-jururawat tersebut. Bila mengingatkan tentang itu, aku jadi takut untuk bersalin di situ. Tetapi, setakat ini, mereka masih bertenang. Memberi arahan dengan lembut.
“Tolak lagi puan. Kuat-kuat,” Aku gigit bibir menahan kesakitan yang teramat sangat.
“Kalau tak dapat jugak, terpaksa kita gunting ni,” Mendengar perkataan gunting, aku terasa hendak menjerit dan sekuat tenaga aku meneran bayiku supaya keluar. Ishamudin masih setia menggenggam tanganku. Sebelah tangannya mengusap dahiku dan dia tetap setia membisikkan kata-kata semangat kepadaku.
Aku mengeluh lega setelah berjaya menolak keluar bayiku. Aku pandang satu persatu wajah mereka yang tersenyum memandangku.
“Tahniah!!! Puan dapat bayi lelaki.” Aku tersenyum lemah. Airmata mengalir perlahan bila melihat bayiku telah selamat dilahirnya.
“Terima kasih sayang. I love you,” Aku angguk kepala. Oleh kerana terlalu lemah, akhirnya aku pejamkan mata. Terlelap seketika.
**************************
            Aku terjaga bila merasakan pipiku diusap seseorang. Perlahan mataku terbuka. Wajah ceria suamiku menyapa mata.
“Assalamualaikum,”
“Waalaikumsalam,” Aku menjawab lemah.
“Alhamdulillah. Bangun jugak isteri abang ni.” Aku angguk kepala dan tersenyum lemah.
“Mana anak kita?” Ishamudin tersengih.
“Kejap lagi nurse bawa.” Ishamudin merenung wajahku. Dia tersenyum. Aku tahu dia bahagia. Seperti juga aku. Aku turut bahagia bila dapat melahirkan zuriat untuknya.
“Sayang memang kuat. Abang takut betul tengok sayang tadi. Sedih sangat sebab tak dapat menanggung kesakitan yang sayang alami. Tapi, sayang sanggup berjuang untuk membawa anak kita ke dunia. Terima kasih sayang,” Aku tersenyum lemah. Tangan Ishamudin aku cium.
“InsyaAllah, kalau umur panjang dan dimurahkan rezeki, kita datang ke sini lagi,”
“Iye? Mawar sanggup? Mawar tak serik?” Aku geleng kepala. Bila fikirkan kesakitan ketika bersalin, memang aku tak nak lagi beranak. Tapi, bila melihat wajah bahagia suamiku, dan kasih sayangnya serta dorongannya ketika aku dalam kesakitan, aku sanggup untuk melaluinya lagi. Asalkan Ishamudin sudi menemaniku.
            Perbualan kami terhenti bila seorang jururawat menolak troli ke arah kami. Dia tersenyum ramah.
“Ini baby Encik dan Puan. Kami terpaksa pindahkan puan ke wad tingkat atas. Ada pesakit lain nak guna katil ni,” Aku angguk kepala. Perlahan mereka meletakkan bayiku disebelahku. Aku tersenyum melihat wajah comel anakku. Kulitnya kemerahan.
“Encik, boleh tak saya tangkap gambar baby ni. Muka dia comel sangat. Macam mama dan papa dia,” Aku tersenyum memandang wajah suamiku. Aku teringat sesuatu. Jururawat ini yang aku nampak berbual tentang perempuan cantik tadi. Kalau tak silap aku.
“Boleh. Kena bayar ni,” Ishamudin menjawab sambil bergurau.
“Tak kisah. Janji dapat pic baby comel ni. Kalau boleh nak ambil pic sekeluarga baru seronok,” Dah lebih pulak perempuan ni. Ishamudin mengeluarkan handsetnya dan menyerahkannya pada jururawat tersebut.
“Sebagai balasan, tolong tangkap gambar untuk kami bertiga.” Aku geleng kepala. Ishamudin cium dahiku sebelum matanya memandang ke arah jururawat tadi.
“Okey. Jum...nanti bising pulak cik kak-cik kak tu,” Jururawat itu terus menolak katilku dan keluar dari bilik bersalin itu.
“Cik ni..nama apa?” Aku bertanya perlahan.
“Saya Marina.”
“Terima kasih Marina. Nanti, tolong sampaikan ucapan terima kasih saya pada mereka yang bertugas membantu saya tadi ye. Kat dalam tu, tak sempat nak ucap terima kasih.” Dia tersengih.
“Pn.Mawar nak tahu, ini baby pertama yang saya sambut tau,” Mataku terbeliak.
“Iya? Tak sangka. Tahniah!!” Ucapku ikhlas.
“Pn.Mawar ni, cantiklah. Bertuah Encik dapat isteri cantik macam ni,” Ishamudin tersenyum lebar. Marina ni. Sempat pulak dia puji aku. Selalu sangat kena puji, nanti aku jadi riak. Astaghfirullahalazim. Ya Allah Ya Tuhanku. Buangkan sifat riak itu dariku.
“Terima kasih. Susah saya nak jaga isteri cantik ni. Semua orang nak tarik perhatian dia,” Aku mencebik. Cik abang aku ni, aku sakit macam ni pun, dia nak kenakan aku.
“Encik pun handsome jugak. Tentu Pn.Mawar selalu makan hati. Tadi, ramai juga rakan-rakan bertanya tentang suami puan ni,” Ishamudin garu kepala.
“Saya setia pada yang satu je.” Ishamudin usap pipiku.
“Nasib baik abang jawab macam tu, kalau tidak...” Dia tersengih lagi.
“Tak sanggup abang nak fikir tentang perkara lain,” Ishamudin menjawab perlahan kemudian mencium dahiku. Isk..tak malu betul suami aku ni. Dia tak nampak ke nurse kat depan kami tu dah tersipu malu.
            **************************
“Eh!!! Abang nak pergi ke mana ni?” Aku pandang wajah suamiku dengan riak pelik. Dia tersenyum.
“Rahsia.” Jawabnya perlahan dan mencium pipiku. Aku karutkan dahi kemudian aku tarik tangannya setelah dia mencium pipi anak kami.
“Baik abang cakap abang nak pergi mana. Kalau tak, Mawar tak benarkan abang pergi.” Mataku merenung tajam wajah selambanya. Dia terus mencium keningku. Aku marah pun dia sempat nak ambil kesempatan.
“Abang ada kursus hari ni,” Jawabnya perlahan.
“Kursus? Pakai baju smart macam tu?” Dia membelek pakaiannya. Kemeja lengan panjang warna hitam, seluar slack hitam dan kot hitam. Siap pakai cermin mata. Kenapa aku tak tahu dia pakai cermin mata. Dia duduk di sisiku.
“Betul. Sayang jangan risau. Sayang pergilah tidur. Sementara Isma masih tidur tu. Nanti mengadu sayang mengantuk.” Hidungku ditariknya. Ismaradzi nama yang kami pilih untuk anak sulong kami itu. Alhamdulillah, setakat ini dia tidak banyak ragam.
“Abang, sakitlah.” Aku menyeringai kesakitan. Dia hanya tersengih kemudian mencium hujung hidungku.
“Abang memang rabun ye?” Dia angguk kepala.
“Selama ni, abang malas nak pakai cermin mata tu. Biasa abang pakai contact lens je. Rimas nak pakai cermin mata.” Ujarnya perlahan.
“Pukul berapa kursus tu? Baik abang pergi, nanti lambat pulak sampai sana.” Dia tersenyum dan menelek jam dipergelangan tangannya.
“Sayang, sebenarnya abang nak pergi interview hari ni.” Aku besarkan mata padanya.
“Abang tipu Mawar ye?” Dia garu kepala. Begitulah dia bila melakukan kesalahan.
“Abang ingat nak rahsiakan dari sayang. Kalau ada rezeki, abang dapat kerja tu, bolehlah surprisekan sayang.” Dia tersengih.
“Habis tu, kenapa bagitahu Mawar jugak?”
“Abang nak sayang tolong doakan abang berjaya interview ni.” Aku angguk kepala.
“Abang nak interview kat mana? Nanti, kalau abang dapat kerja tu, tinggal Mawar seorang diri kat kilang tu.” Aku bertanya bimbang. Dia tersenyum.
“Kalau abang dapat kerja ni, sayang tak perlu kerjalah. Jaga anak kita je.” Aku terdiam. Bila melihat wajah anakku yang sedang nyenyak tidur. Rasa sayang pulak hendak meninggalkannya dengan ibu mertuaku. Kami sudah berbincang, sekiranya, aku bekerja semula, Isma akan dijaga oleh ibu mertuaku.
“Kerja apa tu, bang?” Kerja apa yang suami aku ni apply ye. Selama ni, dia memang selalu pergi interview, tapi, belum ada rezeki untuk dapat kerja lain.
“Abang nak mohon untuk jawatan Jurutera kat kilang kita tu,lah.” Aku tersentak. Tak faham aku. Dia tersenyum.
“Balik nanti abang terangkan. Abang dah lambat ni. Jangan lupa, doakan abang ye.” Dia terus berdiri membetulkan bajunya. Aku tersenyum manis padanya lalu turut sama berdiri mengekori langkahnya ke ruang tamu.
“Mawar berdoa pada Allah S.W.T semoga urusan abang berjalan lancar hari ni. Semoga abang selamat pergi dan balik. Juga, semoga abang berjaya dalam interview ni.” Ucapku ikhlas. Dia tersenyum senang lantas mencium dahiku.
“Terima kasih sayang.” Aku menyalami tangannya sebelum suamiku keluar.

*******************
            Ismaradzi merenung wajahku kemudian tersenyum. Aku gigit bibir. Selalu macam ni. Lepas mandi je, mesti dia buang air kecil. Tak sempat nak pasang pampers.
“Nakal ye anak mama ni.” Aku cium pipinya. Nasib baik aku sempat halang dengan kain tuala. Kalau tidak, memang aku terpaksa mandi lagi.
“Mawar, Isma dah mandi?” Aku angkat muka memandang wajah ibu mertuaku.
“Dah, mak. Nak pasang pampers dia. Sempat juga dia buang air kecil tadi.” Mak mertuaku duduk disisiku. Tangannya menyentuh perut anakku.
“Pandai Mawar jaga anak ye,” Aku tersipu malu. Ini semua berkat ada kakak-kakak yang memang suka sangat suruh aku jaga anak mereka sebelum aku berkahwin dulu. Memang sudah diberi kursus menjaga bayi. Semua anak saudara aku rapat dengan aku, sebab, aku yang menjaga mereka. Selama 2 tahun menganggur dulu, aku di suruh menjaga anak-anak saudaraku. Sebab itu, aku tidak terlalu kekok menjaga mereka.
“Dah di beri kursus sebelum kahwin dulu. 2 tahun jaga baby masa kat kampung dulu.” Mak mertuaku tersenyum dan menghulur tangan untuk menyambut tubuh anakku.
“Mak takut nak mandikan budak kecil ni. Badan mereka masih lemah, jadi, takut pulak kalau jadi apa-apa. Nasib baik Mawar pandai. Kalau tak, terpaksa minta tolong mak Mawar jaga masa berpantang ni.” Aku tersenyum. Mak mertua aku ni takut nak mandikan bayi . Lagipun, dia hanya ada 2 orang anak. Jadi, pengalaman sedikit.
“Mak dah biasa senang, dulu masa Isham dan Isha masih bayi, nenek kamu yang mandikan mereka. Kadangkala, ayah kamu tu.” Aku usap kepala anakku. Tetapi sepanjang berpantang ni, mak mertuaku memang begitu menjaga makan dan minum serta ubat-ubatanku. Semuanya kena makan ikut masa.  
*******************
“Isk..abang ni.” Aku tolak wajahnya yang melekat dipipiku. Dia tersenyum kecil.
“Abang rindu kat sayang ni. Sampai hati sayang tolak muka abang yang handsome ni,” Ucapnya perlahan. Aku kerutkan dahi. Erkk...manjanya.  Aku tergelak kecil.
“Tak sesuailah abang bersuara manja macam tu,” Kutukku. Dia besarkan matanya. Aku tergelak halus.
“Abang rindu sangat kat sayang hari ni. Semua orang tanya sayang. Cemburu abang tau.” Aku geleng kepala.
“Mawar nak buat macamana. Mawar ni kan bunga mawar yang semua orang suka.” Jawabku manja. Dia tergelak.
“Macamana dengan interview abang tadi. Lupa pulak nak tanya,” Dia tersengih.
“Sayang punya hallah ni. Sampai abang lupa nak update berita terkini ni.” Dia mencium pipiku sekali lagi.
“Berita baik ye?” Dia angguk kepala.
“Ermmm...InsyaAllah. Kalau jawatan tu rezeki abang, abang akan dapat. Mereka nampak berpuashati dengan prestasi kerja abang selama ni.” Aku tersenyum senang.
“Rezeki anak. Tapi, kenapa baru sekarang abang apply jawatan tu? Kenapa tak apply dulu lagi.” Pelik pulak suami aku ni. Sepatutnya dia apply terus jawatan jurutera tu. Kenapa nak tunggu sekarang.
“Sebelum ni, abang mana ada pengalaman dalam bidang ni. Memandangkan sekarang abang dah bekerja kat situ lebih kurang 5 tahun, sebab tu abang mohon jawatan tu. Lagipun, nak kena tanggung anak dan isteri, kena kerja keras sikit.” Aku angguk kepala. Nampaknya, Ishamudin sudah merancang masa depan kami. Aku tersenyum lantas memeluk lengan Ishamudin.
“Sayang suami Mawar ni,” Dia tersenyum bangga.
“Terima kasih. Isma ada buat hal tak hari ni?” Aku angguk kepala. Hari ni tiba-tiba dia buat hal. Perut dia sakit. Kata mak mertuaku, mungkin semalam aku ada tersalah makan. Sebab tu, kesannya kena kat anak aku ni.
“Kenapa dengan Isma?” Ishamudin menghampiri katil Ismaradzi. Aku tersenyum melihat tangannya menyentuh lembut pipi anak kami.
“Sakit perut. Mungkin sebab, semalam Mawar makan makanan pedas.” Aku tersengih. Semalam, mak mertuaku buat nasi lemak. Sambalnya sedap sangat. Tanpa pengetahuan mereka, aku makan sedikit sambal tu. Tak sangka pulak, anak aku yang merasa sakit. Mungkin sebab anakku menyusu badan, sebab itu semua makanan aku kena jaga.
“Mawar makan apa?”
“Errr....Semalam, Mawar makan sambal nasi lemak tu.” Jawabku tanpa rasa bersalah. Sedap tau nasi lemak tu. Masa subuh lagi aku dah kelaparan bila hidu bau nasi lemak dan sambal yang mak mertua aku buat tu.
“Mawar ni, kan mak dah pesan, sekarang, Mawar sedang berpantang. Jadi, tak boleh makan ikut suka hati.” Aku angguk kepala.
“Tahu. Tapi, Mawar teringin sangat nak makan. Dari subuh lagi Mawar dah kelaparan bila hidu bau sambal tu.” Ishamudin geleng kepala.
“Sekarang, kesian Isma.” Aku menghampirinya dan berdiri disebelah Ishamudin. Rindu sangat kat suami aku ni. Tanpa amaran, aku terus memeluknya dari belakang.
“Kenapa pulak ni? Nak pujuk abang ye?” Aku angguk kepala.
“Sorry. Lepas ni tak buat lagi.” Janjiku. Sebelum ini aku buat tak tahu bila ada orang suruh aku jaga pemakanan untuk mengelak perkara yang tak diingini berlaku. Nasib baik, Ismaradzi buat hal waktu siang. Kalau terkena waktu malam, semua orang tak cukup tidur dibuatnya.

**********************************
“Abang, Isma menangis tu,” Aku tolak badan Ishamudin. Namun suamiku masih tidak bergerak. Huh!! Dulu, kalau aku bergerak sedikit, dia dah sedar. Sekarang ni, suara nyaring anak kami tu semakin buat dia tidur nyenyak. Tapi, dia bukanlah malas pun. Mungkin dia letih sangat. Sejak naik pangkat, kerjanya semakin bertambah. Masa berpantang dulu, dia yang selalu bangun malam tukar lampin anak kami.
            Bila melihat Ishamudin tiada tanda-tanda hendak bangun, akhirnya aku turun dari katil menghampiri katil anak kami.
“Sayang anak mama ni. Lapar ye?” Aku tersenyum manis padanya sambil mencium pipi gebu anak kecilku. Baru memasuki 3 bulan usianya. Tapi dah pandai tersenyum. Sejak aku mula bekerja minggu lepas, Ismaradzi dijaga oleh ibu mertuaku. Bersyukur sangat sebab mak mertuaku beria-ia nak menjaganya. Mulanya, aku keberatan nak susahkan ibu mertua ku. Tapi, dia cakap, dia tak percayakan orang luar menjaganya. Lagipun, dia masih larat. Nasib baik Ismaradzi ni menyusu botol juga. Sengaja aku biasakan dia dengan susu botol. Tapi dia masih menyusu badan. Ishamudin nak anak kami menyusu badan jugak.
“Isma dah tidur?” Aku angkat muka memandang wajah lesu suamiku.
“Dah. Kenapa abang bangun?” Ishamudin duduk disebelahku. Kepalanya dilentukkan ke bahuku. Aku geleng kepala. Mood manja dia dah datang.
“Maafkan abang. Abang ni pemalas,kan?” Aku tergelak.
“Ye. Tapi tak sangka, abang ni penyabar sangat.” Perliku.
“Penyabar?”
“Yelah. Anak kita menangis pun abang masih lena.” Dia tergelak halus.
“Abang sengaja. Abang nak biasakan sayang dengan baby kita ni. Kalau abang sorang yang jaga Isma, nanti, kalau abang takde, tentu susah sayang nak jaga Isma.” Aku tersentak.
“Apa abang merepek ni?” Aku tak suka bila dia berbicara begitu. Tiba-tiba dadaku terasa sebak. Aku takut jika ditinggalkan. Ishamudin peluk bahuku.
“Dah, jangan fikir benda yang bukan-bukan. Isma dah tidur?” Aku angguk kepala.
“Baguslah. Kalau macam tu, sayang kena dodoikan baby besar lagi. Mata abang ni dah hilang ngantuk.” Ishamudin melentokkan kepalanya di atas bahuku. Aku geleng kepala. Setiap malam sama je. Ishamudin sangat suka bila aku memanjakannya. Ingatkan aku yang terlebih manja dengan dia, tapi sekarang ni dah terbalik pulak.
**********************
p/s : Maaf sebab lambat post new entry. cite ni pun tak pandai habiskan.. hehehe...in Shaa Allah, kalau takde apa2 nak habiskan jugak bulan 10. kalau ada masa hendak update. selamat membaca semua.

1 catatan:

MaY_LiN said...

comel nye
nk lg kaira
sweet je mama papa muda ni