Followers

Thursday, November 7, 2013

Relaku Pujuk 33



Aku terjaga sebaik sahaja mendengar bunyi telefon bimbitku berdering. Dengan mata yang masih terpejam, aku meraba-raba di dalam gelap mencari telefon bimbitku. Sebaik sahaja dapat aku terus lekapkan ke telinga.
“Hello,” Lemah sekali suaraku. Mata pulak masih tidak dapat dibuka. Memang mengantuk sangat. Siang tadi temankan Kak Rina pergi ke pasar. Minggu ni, aku bermalam di rumah Kak Rina. Aku sengaja tidak memberitahu Ishamudin aku balik rumah Kak Rina. Oleh kerana dia tak minta maaf kat aku pasal hal hari tu, aku lancarkan mogok tak nak layan dia. Dia pun macam tak ambil kisah tentang aku.
“Hello, saudari kenal En. Haikal?” Suara di sana bertanya.
“Haikal? Siapa tu?” Itu lagi akibatnya kalau suka sangat bagi gelaran kat orang.
“Dalam kad ni, nama dia Haikal Bin Hamrah.” Sebaik sahaja mendengar nama penuh En.Haikal aku terus duduk. Mata pulak terus terbuka luas. Serta merta wajah Dong Jun terlayar diruang mata.
“Dong Jun? Err…maksud saya, En.Haikal, kenapa dengan dia?” Aku gelabah.
“Dia dah mabuk. Kami semua dah nak balik ni,” Hah!!!! Mabuk? En.Haikal Mabuk? Dia minum? Aih???Apa aku nak buat ni?
“Mabuk? Kawan-kawan dia mana?” Terdengar suara kasar En.Haikal meracau.
“Baik saudari datang ke sini cepat. Dia datang seorang, jadi kami tak tahu nak hubungi siapa. Kebetulan nombor telefon saudari orang terakhir yang dia call. Jadi saya pun call saudari.” Panjang lebar dia menjelaskan. En.Haikal call aku? Bila? Tak perasan pulak.
“Okey. Kat mana tempat tu?” Aku garu kepala. Tempat yang dia cakap tu, aku tak tahu kat mana? Terpaksalah dia terangkan satu persatu jalan menuju ke kelab malam tersebut. Setelah berkemas ala kadar, aku terus mengetuk pintu bilik Kak Rina.
“Kenapa ni?” Aku tersenyum.
“Kak, Mawar nak keluar sekejap. Kawan Mawar minta tolong,” Aku pandang wajah kelat kakak ku.
“Malam-malam macam ni masih jugak nak mintak tolong?” Aku tersengih.
“Kakak ni, perkara penting ni, kalau tak, dia takdelah nak ganggu malam-malam macamni. Mawar keluar sekejap je. Lepas tu terus balik.” Aku memohon belas ehsan kakakku.
“Pergi naik apa?” Kak Rina sempat jugak bertanya. Aku garu kepala. Ya tak ya jugak. Aku nak pergi naik apa? Aku mana pandai drive.
“Naik teksilah. Mawar pergi dulu. Mawar dah bawa kunci rumah. Nanti, kalau ada apa-apa, Mawar call akak ye,” Aku terus berlari ke pintu rumah.
Mana pulak teksi ni. 10 minit dah aku tunggu teksi, tak jugak sampai-sampai. Bila aku bagi tahu tempat yang aku nak pergi, terus muka driver teksi tu berubah. Pandangan mata dia jugak semacam je aku tengok. Agaknya, mesti dia ingat aku ni kaki kelab malam. Sabar jelah. Nasib baik jalan lengang, jadi tak sampai setengah jam, aku sudah berdiri di depan kelab malam tersebut. Memang dah sunyi. Mesti semua orang dah balik.
“Maaf. Siapa yang call saya tadi?” Aku terus bertanya pada penjaga pintu tersebut. Badan dia besar. Kecut perut bila tengok badan dan muka dia yang ganas itu.
“Siapa yang call awak?” Soalnya kasar.
“Err…Bos saya ada kat dalam tu tak? Tadi ada orang call saya bagi tahu En.Haikal mabuk.” Aku menjawab gugup.
“Owh!! Masuklah. Dari tadi dia tak sedarkan diri.” Aku mengekori langkah lelaki tersebut.
“Boleh tolong saya bawa dia ke kereta tak? Saya tak larat nak bawa dia pergi,”
Aku meminta simpati mereka. Tanpa banyak soal, dia terus mendukung tubuh En.Haikal dan kami terus menuju ke kereta En.Haikal. Satu lagi masalah. Aku mana pandai drive kereta ni. Kemudian aku teringat seseorang. Tapi, kalau aku call dia, dia akan marahkan aku sebab keluar tak bagitahu dia. Aduh!!!. Tiba-tiba teringat Abang Asran. Kalau aku call dia, tentu dia takkan tolak permintaan aku. Aku tersenyum.
 “Hello,” Aku menyapa perlahan. Setelah agak lama menunggu panggilan aku dijawab.
“Hello. Siapa ni?” Suara garau dan dingin bertanya. Aku tarik nafas dan menghembusnya perlahan.
“Err…..Mawar. Abang handsome..errr…Abang Asran ada tak?” Tersasul pulak.
 “Nak apa cari dia?” Aihhh…kasarnya bahasa. Siapakah gerangan orang itu. Rasanya aku tekan nombor yang betul tadi. Nombor telefon rumah sewa Abang Handsome a.k.a Abang Asran. Tapi suara tu, macam aku kenal.
“Errr…kalau dia takde, takpelah. Assalamualaikum,” Aku berkata perlahan. Aku pandang wajah lesu En.Haikal. Dia ni memang menyusahkanlah. Kenapa dia panggil aku malam-malam macam ni? Dia tahu ke aku ni tak bekerja malam ni? Beberapa saat kemudian, telefon aku berbunyi. Aih…Suami Terchinta? Erkkk??? Ishamudin call aku? Nak jawab atau tak? Aku berkira-kira nak jawab atau tak. Talian terputus. Aku mengeluh. Aku menghampiri En.Haikal. Dalam ramai-ramai perempuan kat kilang tu, aku jugak yang dia telefon. Tapi, kenapa baru hari ni dia nak call aku? Sejak aku berkahwin, dia dah tak call aku lagi. Kat kilang pun dia kadang-kala je tegur aku.  Kenapalah malam ni juga dia call, dan yang aku tak puas hati dia dalam keadaan mabuk. Kalau nak minum air haram tu, bawalah teman. Takdenya menyusahkan aku. Aku ni perempuan. Isteri orang pulak tu.  Terpaksa pulak masuk ke kelab malam ni. Nasib baik kakak aku tak banyak tanya masa keluar tadi. Kalau laki aku tahu, nampaknya perang dingin akan berpanjangan.
“Hello,” Aku terus menjawab tanpa melihat nombor yang tertera diskrin.
“Mawar, kenapa ni?” Aku tersenyum bila mendengar suara Abang Asran.
“Abang handsome ye. Abang, tolong Mawar. Dong Jun…errr…salah..salah…En.Haikal mabuk ni. Mawar tak pandai drive, abang boleh tolong tak?” Aku bertanya sedih.
“Abang duty malam ni. Kenapa tak call Sham? Dia ada di rumah sekarang ni. Abang tak dapat keluar. Mawar kat mana ni?” Aku terdiam seketika. Aku takut untuk menelefon Ishamudin. Aku mengeluh berat. Aku jelaskan pada Abang Asran di mana kami berada sekarang. Dalam keadaan macamni, aku tak boleh nak tawar menawar. Lagipun, Abang Asran duty dan tidak boleh keluar sesuka hati. Dia terpaksa mengawasi mereka yang bekerja malam.
“Okey. Mawar tunggu kat sini,” Aku bersuara lemah.
Aku buka pintu kereta dan duduk di tempat pemandu. Kunci kereta aku masukkan dan dengan lafaz Bismillah aku start enjin kereta untuk memasang aircond dan radio sementara menunggu kawan Abang Asran datang. Kalau setakat start enjin tu, aku tahulah. Kalau nak drive, itu kena tunggu aku ambil lesen memandu dulu.
“Mawar…”
Aku toleh ke belakang. Suara En.Haikal kedengaran sangat menyeramkan. Sudahlah badan habis berbau air haram. Lelaki ni memang menyusahkan. Aku hairan mengapa cara hidup dia jauh lari dari landasan seorang yang bergelaran Islam? Mengaku diri Islam tetapi melakukan perkara yang di tegah oleh Allah S.W.T. Ketika aku sedang duduk sambil melayan lagu yang diputarkan di corong radio, leherku terasa di rangkul kuat. Aku berusaha melepaskan tangan kasar yang sedang memeluk leherku.
“En.Haikal. Apa ni? Lepaslah,” Aku terkial-kial cuba melepaskan diri. Bunyi ketukan di cermin kereta membuatkan aku berasa lega. Pantas tanganku membuka pintu membiarkan lelaki itu masuk. Saat itu, aku tak terfikir benda lain.
“Kenapa ni?” Soalnya cemas. Aku sudah tidak dapat bercakap sebab hampir sesak nafas.  Seketika kemudian aku mengeluh lega bila tangan kasar itu sudah dialih.
“Dah, pergi duduk kat sebelah tu.” Aku terus melompat ke sebelah tanpa banyak soal. En.Haikal sudah terbaring dikerusi belakang. Setelah kereta bergerak, barulah aku menoleh ke tempat duduk pemandu. Alamak!!!!!Aku terus berpaling memandang ke hadapan. Kami berdua hanya mendiamkan diri.
***************************
“Mawar…Mawarku,” Kedengaran suara sumbang En.Haikal memanggil namaku. Aku berpaling ke belakang. Berbeza betul lelaki yang sedang berbaring itu dengan lelaki yang aku kenal. Malam ni, dia seperti orang kelas bawahan. Orang yang kita tak sudi nak pandang.
“Kenapa kau ada kat situ?” Aku berpaling bila mendangar suara kasar itu bertanya.
Rindunya nak dengar suara suami aku ni. Kalau terserempak kat kilang tu selalu jugak, tapi, dia tak pandang pun aku ni. Huhuhu... jahat betullah laki aku ni. Dia buat aku macam halimunan je masa kat kilang. Kalau pun merajuk, janganlah buat aku macam tu. Sedih hati aku ni. Sepatutnya aku yang marah kat dia sebab abaikan aku masa balik kampung dia hari tu.
“Err…Kebetulan nombor telefon saya adalah nombor terakhir dia call. Jadi, mereka kat kelab tu  yang call tadi,” Aku menjawab gugup.
Bila bersama lelaki ini, aku sering kali gugup dan segala yang aku lakukan serba tidak kena.
“Kenapa tak call aku?” Glupp… kenapa tak call dia? Ye. Kenapa aku tak call dia?
“Errrr…maaf. Saya takut awak marah,” Aku lihat tangannya mencengkam kuat string kereta.
“Takut kena marah? Kau tahu tak hukumnya perempuan sudah berkahwin keluar tanpa kebenaran suami dia? Atau, kau dah lupa yang kau sudah berkahwin?”
Aku gigit jari. Bila dengar perkataan kahwin. Aku terasa hendak marah. Tiba-tiba je sebut hal kahwin, suami. Selama kami berkahwin, tidak pernah dia menunjukkan tanggungjawabnya sebagai suami kecuali ketika kami di Sabah. Tapi, lepas tu dia abaikan aku. Masa di kampung hari tu pun, dia biarkan aku sendirian. Dia pergi layan sepupu dia tu sampai lupa tentang aku ni. Kat kilang pun macam tu jugak. Aku berharap sangat dia akan tegur aku masa kami berselisih di dalam kilang, di kantin kilang tetapi dia langsung tidak memandang kearahku. Aku sedih. Terasa diri ini tak dihargai.
“Ye. Saya lupa yang saya ni dah berkahwin. Awak pun seperti dah lupa yang kita ni dah kahwin. Maklumlah, saya ni bukan isteri pilihan awak. Kenapa awak tak kahwin je dengan sepupu awak tu.” Marahku. Hal minggu lepas masih mengganggu fikiranku.
“Owhh!!! Jadi sebab tu kau call Asran. Berapa ramai lagi lelaki yang kau ada ni? Hari tu, masa kat Sabah pun kau jumpa lelaki lain. Aku ni siapa sebenarnya pada kau?” Dia bersuara marah. Macam nak cari gaduh je. Berdesing telinga aku mendengar tuduhannya.
“Boleh tak awak cakap baik-baik sikit. Apa yang pasti, bila saya susah, nama dia je yang saya dapat ingat. Sebab dia baik dan dia ambil berat tentang saya. Dan, kat Sabah? Lelaki mana pulak? Saya hanya jumpa Abang Zam. Abang kandung saya. Salahkah?” Aku berkata tegas sambil menjeling tajam wajahnya. Dia hanya mendiamkan diri. Seketika kemudian, aku gigit bibir. Memang salah aku, sebab keluar tak minta kebenaran dia. Tetapi, aku tetap rasa tidak puas hati padanya.
“Abang Zam? Siapa tu?” Aku gigit bibir. Hai..Boleh pulak dia tanya soalan macam tu dengan suara yang perlahan. Ahh...sakit jiwa aku dibuatnya.
“Abang Zam. Abang sayalah. Yang bekerja kat Sabah tu.”
“Jadi, hari tu, kau keluar dengan dia?”
“Yelah. Saya dah tinggalkan pesanan kat pekerja di kaunter tu.” Dia kerutkan dahi.
“Kenapa masa aku tanya mereka, mereka kata mereka tak kenal lelaki yang bersama kau malam tu,” Aku mengeluh.
“Mana orang tahu.” Kami sama-sama mendiamkan diri.
“Jadi dia abang kau? Kenapa tak ajak aku keluar dengan dia?” Aku gigit bibir.
“Huh!!! Malas. Orang nak habiskan masa dengan abang oranglah,” Aku pandang wajahnya. Dia terus mendiamkan diri.
“Lain kali kalau ada apa-apa, call aku. Walaupun aku ni Monster Husband pada kau, tapi aku tetap suami kau,” Erkkk...mana dia tahu?? Tapi Kak Mila dah tukar nama dia. Kalau dia tahu nama baru yang Kak Mila letak, rasanya dia senyum sampai ke telinga tak? Huhuhuhu...berangan lagi. Aura panas tadi kembali tenang. Nampaknya, dia ni taklah panas baran sangat.
Ketika sampai di hadapan rumah En.Haikal, Ishamudin membantu En.Haikal keluar dari kereta.
“Kau..kau rampas kekasih aku..” En.Haikal tolak dada Ishamudin. Aku tergamam. Apa yang En.Haikal merepek ni? Bila masa pula Ishamudin rampas kekasih dia? Siapa pula kekasih dia? Takkan Ishamudin ada hubungan sulit dengan kekasih dia yang cantik molek hari tu? Wah!!! Banyaknya soalan. Siapa nak jawab.
“Err..Awak, awak rampas kekasih En.Haikal?” Soalku sedih. Sebak dada bila Ishamudin ada hubungan dengan perempuan lain. Patutlah tak layan aku selama ni. Rasa nak menangis pulak.
“Aduh!!!” Aku gosok dahiku yang diketuk perlahan oleh Ishamudin. Aku muncung mulut.
“Sakitlah. Kenapa awak selalu ketuk kepala saya? Nanti saya hilang ingatan, siapa yang susah?” Aku bertanya tidak puas hati.
“Baguslah kalau kau hilang ingatan. Senang sikit aku nak buat cerita tentang kita. Nanti aku bagitahu kau yang kita ni pasangan suami isteri yang saling mencintai.” Aku berdengus kasar. Tak logik betul alasan dia.
“Tak payah nak pening kepala. Kalau kau nak tahu, ketuk kepala kau tu, hobi baru aku. Baru je aku dapat sejak kahwin dengan kau,” Huh!! Selamba je dia cakap macam tu kat aku. Pada masa itu juga, En.Haikal menarik kolar baju Ishamudin. Terkejut aku melihat tindakan  kasar En.Haikal.
“Ehhh...En.Haikal. Kenapa ni?” Aku bertanya cemas.
Ishamudin pula selamba. Sedikit pun dia tidak takut walaupun ketika itu En.Haikal tarik kolar bajunya. Aku yang berdiri disebelah mereka merasa tidak tenteram. Sebelum En.Haikal di bawa naik oleh sahabatnya, sempat juga dia meracau.
“Mawar...Saya sukakan awak. Kenapa awak kahwin dengan dia ni?” Aku berundur ke belakang bila En.Haikal terhuyung-hayang menghampiriku. Sebelum sempat tangan kasar itu sampai dibahuku, Ishamudin terlebih dahulu menarik tubuhku mendekatinya. Bahuku dipeluk erat oleh Ishamudin. Dia sukakan aku? En.Haikal suka kat aku? Biar betul. Aku tersenyum lebar. Wah!! Tak sangka, En.Haikal sukakan aku rupanya. Seronok betul bila ada orang mengaku suka kat kita.
Pappp...
Aku mengaduh kesakitan bila terasa dahiku ditampar perlahan oleh Ishamudin. Terus hilang senyum manis dibibirku sebentar tadi. Nasib baik Ishamudin ketuk dahiku, kalau tidak, semakin jauh aku mengelamun.
“Dia dah pilih saya jadi suami dia. Saya harap En.Haikal tak mengganggu dia lagi.” Ishamudin berkata tegas. Bila masa pula aku pilih dia? Dia yang paksa aku. Errr... bila pula Ishamudin paksa aku? Dalam diam aku pun setuju berkahwin dengannya. Jadi, itu pun di kira paksa ke? Aku geleng kepala.
“Tentu kau paksa dia,kan?” Aku pandang wajah terkejut Ishamudin. Dia merenung tajam kearahku.
“Kenapa?” Soal ku pelik. Tentu dia ingat aku yang ceritakan apa-apa pada En.Haikal. Aku terus geleng kepala.
“Mawar. Mari dekat saya. Saya sukakan Mawar. Kita kahwin ye,” En.Haikal menarik tanganku. Namun hanya seketika bila Ishamudin menepis tangan kasar itu dari menggenggam tanganku. Aku semakin cemas, bila melihat En.Haikal mengangkat tangan dan menumbuk muka Ishamudin.
“Ahhhh... En.Haikal. Kenapa ni?”
Aku membantu Ishamudin berdiri namun tubuhku ditolak ke tepi sehingga menyebabkan aku jatuh terduduk. Mereka terus bergaduh tanpa menghiraukan aku yang sedang jatuh terduduk. Melihat mereka saling bertumbuk, aku tidak tahu apa yang perlu aku lakukan. Akhirnya aku hanya duduk menjadi pemerhati Bruce Lee lawan Jet Li. Seronok jugak tengok orang bergaduh ni. Lebih-lebih lagi bergaduh sebab merebutkan aku. Bangga pulak rasa hati ni. Biasa tengok dalam televisyen. Itupun, kalau tengok cerita Hindustan atau cerita Tamil. Hero dia terbang sana, terbang sini. Jatuh berkali-kali, masih juga cergas. Yang dua orang kat depan aku ni sekali pandang macam orang sedang menari pulak, dua kali pandang dah macam orang main tarik tali.
              Mereka hanya berhenti bila rakan-rakan En.Haikal datang dan menghalang mereka dari bergaduh. Aku tidak dapat berdiri kerana pinggangku  sakit. Agaknya terkena dinding bangunan tersebut. Tanganku juga sakit.
“Maaf ye encik. Sudahlah awak tolong hantar dia. Dia pukul awak pulak. Maaf ye,” Ishamudin hanya tersenyum kelat. Dia kembali memandangku. Aku hanya terdiam. Malas untuk menegurnya. Sakit hati sebab ditolak tadi. Lebih baik aku mendiamkan diri.
“Kenapa ni? Jum balik. Dah lewat malam ni,” Aku memandang ke arah lain. Malas hendak melayannya. Aku tersentak bila Ishamudin menghampiriku dan duduk mencangkung dihadapanku. Dia tersenyum manis. Huh!! Cair hatiku dibuatnya. Namun, aku cepat-cepat menyangkalnya. Bimbang aku akan kalah dengan perasaan ini.
“Marah?” Aku terus mendiamkan diri. Soalannya tidak perlu aku jawab. Soalan yang menyakitkan hati.
“Marah sebab aku pukul kekasih kau atau marah sebab aku kena pukul?” Dia tersenyum. Aku kerutkan dahi. Walaupun rasa kasihan pulak tengok muka dia lebam. Bibir berdarah. Tapi menyampah betul aku tengok dia ni. Perasan nak mampus. Aku tak kisahlah dia kena pukul. Aku suka. Tapi yang aku tak suka, dia tolak aku sampai jatuh. Sakit pinggang aku. Tangan aku. Bila aku pandang telapak tanganku. Baru aku sedar yang telapak tanganku luka. Mungkin terkena batu atau kaca.
“Sakit,” Tanpa sedar aku merintih kesakitan. Aku pandang wajahnya. Berubah wajahnya saat melihat darah ditanganku.
“Kenapa ni?” Pantas dia belek tanganku. Aku tarik tanganku dari disentuh olehnya.
“Tak payah. Sikit je.” Wajahnya merah menahan marah. Aku kesat airmata.
“Sini. Kenapa degil sangat ni?” Aku mencebik. Namun masih menyembunyikan tanganku dari disentuh olehnya. Aku terkejut bila Ishamudin dengan selamba memelukku. Tetapi sebenarnya dia membuat aksi macam tu sebab nak tarik tangan aku yang aku sembunyikan kat belakang. Huh!!! Kalau dia nak peluk aku? Beranganlah aku nampaknya. Tapi, masa kami berada di Sabah hari tu, selalu jugak dia peluk aku. Tak faham betul dengan sikap lelaki yang seorang ni. Perangai berubah-ubah. Sekejap okey, sekejap tak okey.
“Degil sangat. Sakit-sakit macam ni pun masih degil.” Dia meniup tapak tanganku sambil mulutnya tidak henti membebel. Aku tayang muka tak puas hati. Dalam keadaan sakit macam ni dia masih juga nak mengutuk aku.
“Dah ok. Tak payah nak tunjuk prihatin.” Aku menarik kasar tanganku yang masih dipegangnya. Wajahnya sedikit berubah dan dia terus berdiri memandang sekeliling. Mungkin dia berkecil hati. Aku berusaha untuk berdiri dengan perlahan.
“Macamana nak balik ni? Rasanya teksi dah takde.” Aku memerhati kawasan sekeliling dan berakhir di jalanraya yang sudah lengang. Timbul rasa seram pulak berjalan berdua-duaan dengan lelaki ni. Tapi...kenapa aku nak takut, dia suami aku. Huhuhuhu...umur aku baru je masuk 20 tahun, dah bergelar isteri. Masak pun tak pandai lagi, macamana nak jadi isteri orang. Kenapalah dia tak kahwin dengan Kak Diah. Geram betul. Yang aku sakit hati sangat, boleh pulak dia ajak aku kahwin dengan dia.
“Esok cuti. Kita berjalan jelah. Bukannya jauh pun rumah kakak kau tu. Kita dating sekejap.” Dating? Sengaja nak buat aku perasan. Aihhh...mana dia tahu aku bermalam di rumah kakak. Aku pandang wajah selambanya.
“Mana awak tahu, saya bermalam di rumah Kak Rina?” Dia hanya jungkit bahu dan terus berlalu. Melihat langkahnya yang semakin jauh, aku berlari mengejarnya. Dia ni, tak sayang bini ke? Erkkk...memanglah dia tak sayang. Aku ni bukan pilihan hati dia. Semakin lama pinggang ku terasa sakit. Namun aku teruskan juga perjalanan. Hampir 30 minit kami berjalan, aku dah tak mampu bertahan. Aku gigit bibir menahan sakit. Ishamudin juga seperti menahan sakit. Mungkinkah badannya sakit kena belasah tadi?
“Awak, boleh berehat sekejap?” Setelah lama mendiamkan diri, aku akhirnya bersuara.
            Tidak larat rasanya hendak berjalan dalam keadaan sakit begini. Tanpa menunggu jawapan darinya, aku terus duduk ditepi jalan. Tanganku mengurut belakangku yang terasa semakin sakit. Tangan sakit, belakang sakit dan paling sakit, hati aku. Memang sakit sangat bila teringat yang dia menolak aku sampai jatuh.
“Mari,” Aku tersentak bila melihat dia duduk mencangkung membelakangi aku. Aku kerutkan dahi.
“Kenapa?” Aku bertanya pelik.
“Cepatlah. Tak nak naik?” Aku angkat kening. Naik? Belakang dia? Aku buat muka meluat.
“Tak payah. Orang masih larat lagi berjalan.” Aku terus berdiri dan meninggalkannya. Aku terus melangkah laju tanpa menoleh ke belakang walaupun rasa sakit semakin mencengkam pinggangku. Sesekali aku menoleh ke belakang melihat dia berjalan perlahan. Aku terus duduk sambil menekan-nekan pinggangku. Airmata terasa hendak mengalir keluar.
“Dah. Jangan degil. Kalau kau tak nak naik, aku tinggal kau kat sini. Biar jumpa orang pakai baju putih,” Mendengar baju putih, terus aku teringatkan hantu. Tanpa banyak bicara, aku terus menghampirinya. Walaupun rasa kekok sebab terpaksa didukung olehnya, terpaksa juga aku bertahan. Walau hakikatnya muka aku sekarang ni semakin terasa panas. Perlahan aku letakkan kepala dibahunya. Aku cuba untuk menyesuaikan diri dengan keadaan kami itu. Aku tersenyum setelah merasa selesa dapat meletakkan kepalaku di atas bahunya. Suasana saat itu begitu indah ku rasakan. Seperti berada diawangan dan yang pasti kami seakan-akan pasangan kekasih yang sedang bercinta. Seperti saat dia memelukku ketika kami berada di tepi pantai di Sabah hari tu.
“Kalau kau nak tidur, tidurlah,” Aku angguk kepala. Tak perlu dia cakap pun, aku akan tidur jugak. Tapi, kenapa sekarang aku tak rasa nak tidur. Rasa seronok sebab berada dekat dengannya. Aku memandang sisi wajahnya.
Setelah hampir 15 minit berjalan, nasib kami berdua agak baik kerana sebuah teksi berhenti dan bersedia untuk menghantar kami ke rumah. Ketika berada di dalam teksi, mataku terlalu mengantuk dan perkara terakhir yang aku sedar, Ishamudin tarik kepala aku supaya bersandar dibahunya.
“Mawar. Bangun. Dah sampai,” Aku terkejut bila kepalaku ditolak perlahan. Aku gosok mata yang masih mengantuk. Rasanya baru tadi aku terlelap.
“Okey. Terima kasih. Berapa ye?” Aku terus menghulur duit pada driver tersebut. Namun, duit tersebut dirampas oleh Ishamudin.
“Terima kasih pak cik.” Aku tercengang bila melihat dia keluar dari perut teksi dan selamba je dia peluk pinggang aku. Aku tak suruh pun dia peluk.
“Bertuah adik ni dapat isteri cantik macam ni.” Aku pandang wajah Ishamudin yang tersengih. Dengan kata lain. Bangga la tu. Lelaki itu pulak, matanya tak lepas dari merenung kearahku. Naik rimas pulak. Berdiri bulu roma kerana cara dia pandang seperti menembusi baju yang aku pakai. Nasib baik aku bertemankan suami aku ni. Kalau tidak, tak tahulah apa nak jadi kat aku. Nasib baik juga masa keluar tadi, pak cik teksi tu okey. Kalau jumpa yang ini tadi ahh...minta jauh dari perkara yang tak elok. Tetapi, lebih mengejutkan aku, bila Ishamudin cium pipi aku dengan selamba badak je.
“Terima kasih sebab puji isteri saya ni.” Ishamudin masih tersengih. Yang driver teksi ni, tak reti nak balik ke? Mata aku ni dah pejam celik pejam celik menahan mengantuk. Kalau aku tidur kat sini, rasanya okey jugak.
“Isteri cantik kena jaga baik-baik. Ramai yang nak dekat dengan perempuan cantik ni. Dia ni mix Chinese, ke? ” Aku letakkan dagu ke lengan Ishamudin. Dengan ketinggian dia itu, memang lengannya sangat sesuai dijadikan tempat untuk berpaut saat ini. Mata pulak dah terpejam namun aku masih mampu mendengar mereka berdua bercerita.
“Nenek dia campuran Cina dan Bidayuh.” Ye ke? Kenapa aku tak tahu? Mana pulak dia tahu nenek aku kacukan Cina dan Bidayuh? Magic. Ikut suka dia je nak buat cerita.
“Okeylah, pak cik. Isteri saya dah mengantuk ni. Kami naik dulu. Assalamualaikum.” Aku tersenyum lega.
“Waalaikumsalam.” Lepas tu terus dia beredar. Aku masih memeluk lengan Ishamudin sambil dagu aku letak di atas lengannya. Selesa sangat biarpun terkena tulang. Kurus jugak suami aku ni. Mata pulak terasa semakin berat hingga beberapa kali aku tersangguk.
“Mari. Dah lewat ni.” Aku hanya mampu mengangguk kepala. Mengantuk sangat. Beberapa langkah kemudian, aku terasa tubuhku dicampung, namun mataku masih terasa berat untuk dibuka dan akhirnya gelap.
****************************** 

p/s : selamat membaca semua... walaupun sibuk dengan kerja, sempat jugak post new entry kat sini...masih belum terlambat rasanya untuk mengucapkan selamat tahun baharu - awal muharam...

4 catatan:

Unknown said...

best...nak lagi.

Rainz Hanan said...

Best... Suka ngan citer ni.. Tak sabar nak tunggu new entry.

MaY_LiN said...

amboi..
manja nye...
slmt thn baru kaira..

Unknown said...

Smbg...smbg.. :D