Followers

Monday, February 14, 2011

Relaku Pujuk 2


“Mawar, tolong belikan akak roti canai ye,” Aku angguk kepala. Sekejap lagi upacara berlari beramai-ramai akan bermula. Sejak bekerja di kilang ni, aku sudah pandai makan dengan cepat. Maklumlah, rehat untuk minum pagi hanya 15 minit. Makan tengahari pula 30 minit. Biasanya aku makan hampir 1 jam. Mana lagi nak sediakan air, cuci tangan lagi. Berbaris untuk beli makanan pun dah habiskan masa hampir 5 minit. Sejak bekerja di sini, semuanya hendak cepat. Kebiasaannya kalau bekerja dengan syarikat Jepun. Mereka pentingkan masa.

“Abang, bagi roti canai kosong satu, canai telur satu ye,”

Aku berhimpit-himpit dengan pekerja yang lain. Kalau aku tak pernah duduk kat asrama, memang aku tak dapat hidup di kilang ni. Semuanya nak cepat dan semua kena berebut. Apalah nasib. Orang suruh sambung belajar, gatal sangat nak cari kerja. Padan muka kena berebut sepanjang masa. Pekerja lelaki pulak, biasa je aku tengok. Selamba je mereka berjalan. Yang perempuan pulak, macam setahun tak makan. Setelah hampir 5 minit menunggu, akhirnya semua makanan yang aku pesan siap. Selamba je aku berjalan sambil tersengih-sengih sebab kawan-kawan dah macam anak burung yang menunggu ibunya menyuap makanan ke mulut. Oleh kerana hendak cepat, kakiku tersepak pula kaki kerusi. Hampir terjatuh namun sempat berpaut pada meja. Yang malangnya, air yang aku bawa tumpah dan terkena seseorang. Bila aku angkat muka, wajah garang itu merenung tajam kearahku.

“Maafkan saya, kak. Saya tak sengaja.” Ucapku gugup. Huh!!! Muka dia. Merah menyala. Tak sanggup nak tunggu lama-lama. Aku terus blah. Sesekali aku menoleh ke belakang. Dapat ku lihat dengan jelas wajah tidak puas hatinya dan mulut juga tidak henti terkumat kamit. Agaknya mengutuk akulah tu. Rakan-rakannya yang lain turut sama memandang ke arah ku. Hai...teruk sangat ke? Bukan aku tumpahkan air kopi. Air suam je tu? Atau air suam tu panas? Huh!!! Tak faham betul. Aku geleng kepala.

“Apahal geleng kepala macam nak tertanggal ni?” Kak Ita bertanya pelik. Aku pun buat muka pelik.

“Mawar tak sengaja tertumpah air kat badan Kak Diah.” Mereka bertiga terlopong.

“Kenapa?” Aku buat muka cuak.

“Memang cari nahas la budak ni.” Aku garu kepala. Tak faham. Besar sangat ke kesalahan aku tu. Rasanya takdelah teruk sangat sampai nak jadi kes polis.

“Sudahlah dia memang bencikan kau. Yang kau tumpahkan air kat dia tu kenapa?” Soal Kak Ita bengang. Aku kerutkan dahi. Aku tahulah dia benci kat aku. Tapi aku bukan sengaja pun. Kalau tak kerana kaki kerusi tu, tak ada maknanya aku nak tumpahkan dia dengan air suam tu. Sedang leka memikirkan masalah tersebut, aku terasa sejuk di muka.

“Uwawawa.....hujan pulak dah,” Kataku sambil menyapu muka dengan tangan. Kak Ita dan Kak Mila hanya mampu memandang. Beberapa saat kemudian, terdengar suara nyaring Kak Onah menjerit ke arah mahluk Tuhan yang sedang tersenyum bangga dapat memandikan aku dengan air oren sebentar tadi.

“Sedap jugak air hujan ni. perisa oren.” Aku menjilat tepi mulut. Aku leka dengan diriku yang sudah berbau oren. Baju juga sudah basah. Nasib baik baju ni warna hijau dan agak tebal. Baju seragam untuk pekerja kilang.

“Diah, kenapa dengan kau ni? Dah takde kerja lain?” Kak Onah bertanya geram sambil bercekak pinggang. Hadiah hanya tersenyum sinis.

“Padan muka dia. Siapa suruh dia tumpahkan air ke baju aku tadi?” Aku angkat muka sambil memandang wajah cantik itu. Cantik ke? Cantiklah jugak. Tapi kalau perangai macam tu, hilang pulak kelayakan untuk mendapat gelaran cantik.

“Kak Onah. Biarlah dia.” Aku tarik tangan Kak Onah yang marah bila melihat senyuman dibibir gadis yang bernama Hadiah itu.

“Harap muka je cantik. Tapi perangai macam entah apa-apa.” Kak Onah masih membebel. Hadiah berlalu sambil tersenyum puas. Beberapa pasang mata masih memandang ke arah aku dan rakan-rakan. Tanpa menghiraukan mereka aku terus meratah roti canai yang aku beli tadi.

“Wahhh...sedapnya roti canai ni. Baju aku pun berbau sedap ni.” Aku tersenyum. Kak Ita, Kak Onah dan Kak Mila memandang pelik ke arah ku.

“Kenapa?” Soalku hairan. Wajah tidak puas hati ditayang padaku.

“Kau ni ada perasaan atau tak?” Kak Mila bertanya geram. Aku tersengih. Marah memanglah marah. Tetapi aku bukan jenis yang suka nak melawan tak tentu pasal. Kira adillah tu, tadi aku tertumpah air kat baju dia. Sekarang dia pulak memandikan wajah aku dengan air oren.

“Biarlah kak. Perkara kecik je tu. Bukan dia siram saya dengan minyak panas pun.” Aku berkata perlahan.

“Malas aku nak layan orang takde perasaan macam kau ni,” Aku hanya tersengih macam kerang busuk. Itu yang Kak Mila panggil.

“Korang nak makan ke tidak? Kalau tak, bagi kat saya,” Semua mereka menarik pinggan yang berisi roti canai. Tinggal 5 minit lagi masa rehat habis.

“Cepatlah. Tinggal 2 minit lagi.” Aku tengok jam. Mereka bertiga berebut-rebut untuk menghabiskan roti canai tersebut. Aku tergelak riang melihat wajah mereka yang jelas seperti orang tercekik tulang.

“Mawar, ikut saya sekejap.” Aku terkejut bila mendengar suara garau menyapaku. Aku mendongak. Wajah abang kacak memenuhi ruang mataku.

“Nak pergi ke mana?” Aku menyoal pelik. Masa rehat sudah hampir tamat. Mamat ni pulak nak bawa aku pergi ke mana?

“Ikut jelah. Mari. Kak Onah, saya pinjam dia sekejap ye,” Asran bersuara tenang. Aku garu kepala yang tidak gatal. Kalau hari-hari hidup aku penuh dengan pertanyaan, mau botak kepala ni. Asyik kena garu.

“Errr...Abang Handsome nak bawak saya pergi mana?” Aku bertanya pelik. Walaupun hairan, tetapi tetap jugak mengikut langkah si hensem ni. Pelik jugak aku ni. Aku geleng kepala.

“Adalah. Kenapa geleng kepala ni? Sakit kepala?” Iskh... Prihatin pulak mamat ni. Naik segan aku dibuatnya.

“Takdelah.” Kami berdua berhenti di bilik rehat yang disediakan untuk pekerja berehat. Aku pandang pelik wajah Abang Handsome yang tersenyum itu.

“Awak masuk ke dalam tu. Tukar baju tu.” Aku pandang wajah kacak tu dengan riak pelik. Kenapa suruh aku tukar baju? Lagi satu, cepat betul dia sediakan baju ganti untuk aku ? Aku masih kebingungan ni. Nak masuk ke tidak ? Garu lagi kepala. Hendak kata aku mandi tak cuci rambut memang tak patut betul. Rambut yang panjang ni kalau tak dijaga dengan betul, alamatnya bermacam-macam jenis penghuni duk berkampung kat atas kepala aku ni. Apa yang aku melalut ni. Aku pandang wajah tenang di hadapanku itu.

“Err...Tukar baju?” Aiks....macamana mamat ni tau baju aku basah?

“Ye. Takkan awak nak pakai baju yang basah dan berbau oren tu?” Aku lihat dia kerutkan dahi. Mak, semakin kacak pulak dia dengan wajah risau macam tu. Aku jatuh cinta ke? Ehh...tak mungkin semudah itu. Aku geleng kepala. Memang sah aku ada masalah dengan otak ni. Asyik nak fikir perkara bukan-bukan je.

“Tapi...” Aku baru je nak buka mulut bertanya si kacak ni dah potong jalan.

“Masuk je. Tukar baju tu. Nanti lambat pulak masuk kerja. Tak dapat capai target. Kena marah lagi,” Memanglah kerja sebagai operator ni memerlukan kami mencapai target yang ditetapkan oleh pihak atasan. Setiap hari mesti capai target. Kalau tak, alamatnya terpaksa dengar ceramah free yang menyakitkan telinga. Lagipun, kalau target tak sampai, OQP kurang. Aku tak tahu OQP ni singkat untuk apa. Tapi kalau target tak sampai, alamatnya kuranglah gaji hujung bulan. Boleh dikatakan upah sampingan.

“Okey. Terima kasih. Tapi..Abang Handsome, macamana awak tahu saya perlukan baju ni?” Aku bertanya hairan ketika kami berdua berjalan seiringan menuju ke bahagian production. Dia tersenyum.

“Masa keluar dari office tadi, ternampak adegan orang kena mandi free. Terus saya masuk semula minta tolong Kak Nora sediakan baju untuk awak. Kenapa Hadiah siram awak dengan air?” Aku muncung mulut. Tanda tak puas hati.

“Saya tak sengaja tertumpah air suam ke baju dia terlebih dahulu. Tak tahu kenapa kak Diah tu tak suka kat saya?” Aku pelik. Kenapa Hadiah membenci aku? Adakah dia tahu aku syok kat tunang dia tu? Alahai. Aku suka tengok lelaki kacak je. Setakat suka je, takde masalahkan. Syok sendiri a.k.a SS rasanya takde masalah.

“Owh....Ingatkan apa tadi. Okeylah. Awak masuklah. Saya belum minum pagi lagi ni.” Dia berkata lembut. Aku tersenyum. Pada masa itu aku dapat rasakan beberapa pasang mata merenung tajam ke arah aku. Susah sebenarnya berkawan dengan orang handsome ni. Ramai sangat orang yang cemburu. Aku buat tak tahu je. Aku hanya berniat untuk menjadi kawan kepada sesiapa yang sudi. Tak salahkan? Sedang leka memikirkan perkara yang tak sepatutnya, aku jatuh terduduk bila di langgar kuat oleh seseorang.

“Aduh!!!! Apalah malang sangat nasib aku hari ni.” Aku sentuh punggung yang terasa sakit sebab aku jatuh terduduk. Siapalah yang punya kerja ni. Bila aku mendongak, aku pandang sekeliling. Takde orang pun. Habis tu macamana aku boleh terjatuh. Ada dinding lutsinar ke dalam kilang ni? Aku berpaling. Aku hanya ternampak belakang seorang lelaki. Siapa dia ye? Kalau ada orang langgar aku, tentu dia minta maaf ataupun marahkan aku sebab tak nampak dia. Masalahnya sekarang, aku sedang jatuh terduduk tanpa ada orang di sekeliling. Nasib baik kawasan tu sunyi. Bila teringat tentang sunyi, bulu romaku meremang bila teringat cerita rakan-rakan tentang tempat aku berada kini. Dengan sepenuh tenaga, aku berlari ke tempat duduk aku. Semua mereka yang berada di meja kerja memandang hairan ke arah ku. Aku masih mengurut dada. Penat jugak berlari 100 meter tadi. Dah lama tak lari pecut macam tu. Dalam kilang pun aku masih sempat lari 100 meter.

“Kau ni kenapa Mawar? Macam orang kena kejar hantu. Tapi, mana ada hantu siang hari macam ni?” Kak Ita membebel. Aku pandang wajahnya.

“Siapa cakap takde. Tadi orang dah kena tau? Sedang elok berjalan, tiba-tiba kena langgar sampai jatuh terduduk. Lepas tu kan, bila saya angkat muka, tengok belah kanan takde apa-apa. Tengok sebelah kiri, juga takde sapa-sapa. Tu pasal saya pecut 100 meter.” Aku mengurut dada. Masih berdebar-debar dadaku.

“Kat mana kau jatuh?” Kak Mila bertanya sambil tangannya meneruskan kerja. Aku pandang kiri dan kanan. Setelah yakin tiada orang lain selain dari kami berlima. Aku pun bersuara halus.

“Kat depan QA tu. Kawasan tu kan sunyi,” Mereka yang lain pandang wajah aku dengan riak pelik.

“Kau jatuh kat situ?” Kak Sally bertanya kurang percaya. Aku angguk kepala.

“Kat situ memang keras sikit. Ramai yang pernah terserempak dengan susuk tubuh orang yang tidak dikenali.” Kak Sally menyambung kata. Aku dapat rasanya mulutku ternganga. Tak berdaya hendak menutup mulut. Aku ni bukanlah kategori penakut. Tetapi kadang kala memang penakut pun. Jadi bila Kak Sally bercerita tentang perkara ni, bulu romaku terus berdiri tegak. Segera aku angkat kaki dan duduk bersila di atas kerusi.

“Siang hari macam ni mana ada hantu. Kau ni Sally, sengaja nak buat gempak.” Kak Mila memarahi Kak Sally. Nasib baik minggu ni kerja kena shiff pagi, kalau shiff malam, maunya aku tak dapat buat kerja.

“Siapa cakap. Hantu tak kira masa sekarang tau. Bukan waktu malam je mereka keluar, siang pun boleh.” Kak Sally tetap mempertahankan kata-katanya. Aku dah semakin tidak tenang duduk. Walaupun puas aku cuba untuk tidak memikirkan tentang hantu, namun otakku seringkali percayakannya. Mungkin kerana sejak kecil selalu ditakutkan dengan hantu. Walaupun sepanjang hidup ini tidak pernah mengalaminya. Aku juga suka menonton cerita hantu biarpun terpaksa menonton dengan mata terpejam. Oleh kerana itu, aku tak dapat mendengar perkataan hantu. Terus fikiranku membayangkan rupa yang menakutkan seperti yang digambarkan di dalam filem-filem barat. Tetapi, bagi Kak Sally dia memang percaya sangat dengan cerita hantu ni.

“Kak Sally, akak pernah jumpa hantu tak?” Aku bertanya sambil bertompang dagu merenung wajah Kak Sally.

“Tak payah nak cerita hal hantu. Mawar, Madam panggil. Ada kerja untuk kau,” Kak Onah menyampai pesan. Kalau korang nak tahu, Madam tu supervisor department kami. Terpaksalah aku batalkan niat nak dengar cerita hantu Kak Sally.

“La...orang baru nak syok dengar cerita hantu. Kak, orang kena langgar oleh hantu tadi tau. Tapikan, kak, kenapa Madam panggil saya ye?” Aku buat muka risau. Manalah tahu, dia ternampak aku masuk lewat tadi. Tapi bukan salah aku pun. Tu..abang Handsome yang paksa aku tukar baju.

“Mana akak tahu. Dah jangan nak berangan. Kena langgar hantu konon. Tu, jejaka idaman melaya yang melanggar kau tadi. Akak ada nampak aksi melampau korang berdua kat depan QA tu.” Kak Onah menjawab malas. Aih...Ye ke? Semua mata memandang ke arahku. Biar betul Kak Onah ni. Kalau aku terlanggar dia, tentu dia marahkan aku. Jejaka idaman yang Kak Onah cakap tu adalah Ishamudin a.k.a tunang Hadiah merangkap lelaki yang aku syok mula-mula bekerja kat kilang ni. Kalau betul dia yang langgar aku tadi, tak boleh jadi ni. Kenapa dia tak marahkan aku? Baru aku hendak buka mulut, Kak Onah dah bagi jelingan mautnya. Aku tersengih. Macam marah je. Ke tadi kena marah? Bukan tak tahu perangai Madam tu, lain orang buat salah, lain yang kena marah. Tak paham betul aku dengan orang tua tu. Kasihan pulak tengok wajah Kak Onah. Monyok je.

“Betul ke dia yang langgar saya tadi? Kalau betul dia, baguslah. Dapat juga saya tidur nyenyak malam ni.” Aku urut dada perlahan. Kemudian aku lihat mereka semua geleng kepala.

“Kenapa?” Aku bertanya hairan.

“Dah. Tak payah nak buang masa. Nanti Madam marah lagi. Telinga aku jugak yang sakit dengar dia membebel tak tentu pasal.” Kak Onah berkata marah.

“Kak, pinjam kejap. Boleh tak?” Aku pandang wajah Kak Onah yang terpinga-pinga.

“Pinjam apa? Dah pergi sana. Nanti marah lagi orang tua tu,” Aku muncung bibir.

“Orang nak pinjam muncung Kak Onah. Nak buat penyangkut baju orang,” Kak Onah sentuh bibirnya. Beberapa minit kemudian Kak Onah menjerit panjang padaku.

“Siapa suruh Akak buat muka macam tu. Ingat cantik ke?” Kak Onah hanya geleng kepala. Aku tergelak sebelum berlalu meninggalkan mereka dengan gelak nakalku. Perlahan meja Madam aku hampiri. Dia sedang leka merenung skrin komputer. Apalah agaknya yang dia tenung sampai nak terkeluar biji mata dia. Takkan layan FB pulak. Sekarangkan semua orang sibuk nak berFB tu. Nasib baik aku tak pandai sangat bab-bab komputer ni. Belum kursus lagi.

“Madam, Madam nak jumpa saya?”

Aku bersuara tenang. Wajah dimaniskan. Kita kena sentiasa bermanis muka walaupun dengan musuh. Kerana wajah yang manis akan mengurangkan tahap kemarahan orang yang sedang marah. Tapi kalau korang kena marah lagi teruk sebab tersenyum, agaknya korang tersenyum sinis. Tu pasallah orang semakin marah pada kamu. Apa pulak aku melalut ni. Kembali ke dunia nyata.

“Ha..sampai pun kau. Jauh sangat ke tempat kau tu nak ke sini?” Aku garu dagu yang rasa-rasanya takdelah gatal sangat. Kemudian aku berpaling ke belakang. Oleh kerana aku ni spesies pendek, maka terpaksalah aku panjangkan leher menjenguk ke belakang.

“Takde lah jauh sangat, Madam? Kenapa Madam?” Aku buat muka tak bersalah. Memang aku tak bersalah pun. Madam geleng kepala. Malas dia nak layan orang tak betul macam aku ni.

“Tu barang kat atas meja tu kena stamping lagi. Kena reject semalam. Dia orang ni tak nak kerja lama agaknya. Buat kerja malas. Makan gaji buta. Potong gaji baru tahu. Menyusahkan orang je.” Dah mula dah. Membebel memang dialah nombor satu.

Aku terus menghampiri meja yang selalunya kami gunakan untuk meeting sebelum telingaku jadi tebal mendengar Madam membebel. Aku kerutkan dahi. Banyaknya. Kalau korang nak tahu, stamping ni bukan bahagian aku. Tetapi oleh kerana aku ni terlalu pandai, maka bab menyelamat ni memang diaorang bagi kat aku. Lebih-lebih lagi bila melibatkan sample kecil macam ni. Mereka cakap tangan aku ni ada seni. Semua kerja aku mudah belajar.

“Madam...saya seorang je yang buat ke?” Aku garu dagu sambil muncung mulut. Banyak tu. Kalau aku sorang buat, mau sampai malam. Kalau setakat nak stamping takde masalah, ni mesti kena bersihkan dulu segala stamping yang tak cantik tu. Satu persatu barangan coil di atas meja itu aku belek. Siapalah punya kerja sambil lewa macamni. Kalau aku jadi customer pun, memang aku akan reject barang yang tak berkualiti macam ni. Ada yang langsung tak nampak. Lepas tu ada yang putus dua. Aku geleng kepala.

“Tu budak baru, kau bagi tunjuk ajar kat dia.” Aku pandang wajah pekerja baru yang Madam tunjukan. Aku tersenyum padanya. Dia membalas.

“Mari. Siapa nama?”

Aku memulakan perbualan sambil itu tangan bekerja. Ramai yang hairan dengan kerjaku. Yelah, aku baru lagi di kilang ni. Tetapi pengetahuan aku banyak. Rahsianya, aku suka belajar dan suka bertanya. Dan yang paling penting, suka mencuba. Setiap benda baru, aku akan mencubanya. Tidak rugi mencuba sesuatu yang baru untuk menambah ilmu. Tetapi kadangkala merugikan sebab terpaksa sambung kerja orang lain. Yang bestnya, kita juga akan dihantar ke department lain untuk bantu mereka menyiapkan order. Boleh jumpa ramai kawan-kawan baru.

“Maria, kak,” Aku angkat kening bila dia memanggilku kakak. Takkan sebab aku pakai cap hijau dia panggil aku kakak. Kalau pekerja baru mereka kena pakai cap putih. Aku baru jugak pakai cap hijau ni. Aku tersenyum padanya.

“Saya Mawardina. Panggil Mawar. Sebab saya nampak macam bunga Mawar. Hahahhahhaa...Gurau jelah.” Aku ketawa. Maria juga ketawa.

“Umur berapa? Mana tahu kita sebaya?” Aku bertanya lagi. Yelah. Tak adil rasanya kalau tak tahu umur dia. Takut nanti aku terkasar dengan dia padahal umur dia lebih tua dari aku.

“21, tahun ni.” Aku tersenyum lebar.

“Saya 20. Tapi tahun depanlah.” Hahhahaa...terkena sudah. Aku tayang muka comel. Terkejut dia bila mendengar aku muda dari dia.

“Owh...ingatkan awak lebih tua dari saya. Sebab cap awak dah hijau. Ingatkan dah lama bekerja kat sini,” Aku tersenyum.

“Saya pun masih baru lagi. Hujung bulan ni baru genap 5 bulan kat sini.” Aku menjawab sambil menyediakan peralatan untuk Maria mencuci coil tersebut.

“Guna cecair dari botol ni untuk mencuci ink ni. Lepas tu susun dalam tray ni semula.” Aku menyediakan tray yang dapat memuatkan 100 pcs coil yang sudah siap. Sebelum memulakan kerjaku, aku membantu Maria mencuci. Kasihan melihat dia terkial-kial mencuci. Maklumlah masih baru.

“Bila mula masuk kerja?” Aku ni nak dikatakan peramah, tak jugak. Tapi bila berjumpa dengan orang yang baru, aku kena ramah dengan mereka. Sebab aku tahu apa perasaannya bila menjadi orang baru dalam satu-satu tempat. Sunyi dan rasa keseorangan. Sebab itu aku suka bergaul dengan mereka yang baru masuk. Supaya mereka tidak merasa tersisih. Kalau ada yang sudah berjumpa teman yang serasi, aku tidak pula terasa hati bila mereka lebih selesa bersama rakan-rakan mereka.

“Minggu lepas.” Aku angguk kepala. Pendiam juga dia ni. Biarlah. Kami berdua meneruskan kerja dengan tekun sekali. Kami hanya berbual sekali sekala. Setelah 2 jam menjadi patung. Aku berdiri tegak kemudian menggeliat. Berpusing ke kiri, pusing ke kanan. Aku tersenyum.

“Maria, saya nak ke tandas sekejap. Kalau Madam tanya, bagi tahu dia, saya pergi ke tandas,”

Aku berlalu meninggalkan Maria. Tujuan ku hanya satu. Aku berjalan perlahan menghampiri meja tempat kerja ku yang asal. Wajah rakan-rakanku begitu serius sekali membuat kerja. Mereka memang macam tu, kalau ada aku kat situ, barulah muka mereka ceria mengalahkan pengantin baru. Kalau aku takde , semua serius buat kerja. Ada yang serius tidur. Dengan selamba aku melontar pen ke atas meja. Bunyinya walaupun tidak kuat tetapi cukup membuatkan mereka tersentak.

“Owh..mak kau meletup..”

“Kacang ais kau terbang..”

Aku ketawa kecil sambil menutup mulut bila mendengar rakan-rakanku melatah. Masing-masing menjeling tajam ke arah ku. Aku masih ketawa. Pasti mata yang mengantuk kembali segar. Aku pandang wajah Kak Sally, matanya merah. Semestinya dia tertidur. Patutlah dari tadi aku tengok, mesinnya langsung tidak bergerak. Rupanya sedang melayan mata.

Mawarrrr..... Kak Sally menjerit padaku. Aku tergelak besar.

“Upsss,”

Aku tutup mulut sebaik sahaja menyedari, aku terlepas tawa. Segera aku berlari ke tandas meninggalkan mereka dengan riak tidak puas hati. Sedang leka menyanyi riang, aku terlanggar pula seseorang. Bila aku angkat muka, aku terpana seketika. Indahnya permandangan. Aku tersenyum sambil memeluk tangan rapat ke dada.

“Mawar...Mawar,” Aku tersentak bila bahu ku di sentuh kasar.

“Berangan je kerjanya. Budak ni, aku suruh dia buat kerja, dia pulak merayau tak tentu pasal,”

Bila masa pula Madam datang ada kat sini? Mana pulak perginya Dong Jun aku tadi? Jangan hairan, kat kilang aku ni, terdapat beberapa orang pekerja dari Jepun dan Korea. China pun ada. Yang aku terlanggar tadi, aku tak pernah jumpa. Handsome macam Dong Jun ahli kumpulan ZE:A. Handsome giler. Aku ni, semua lelaki aku tengok handsome kecuali si kurus tu. Tapi dia handsome juga, Cuma dia dah berpunya dan dia bencikan aku. Huhuhuhu...sedihlah pulak. Aku masih baru kat kilang ni, tapi dah ada musuh. Tak bestlah macamni.

“Saya nak pergi tandas sekejap. Madam, mana Dong Jun tadi? Tak sempat nak berborak dengan dia tadi,” Aku toleh kiri kanan. Namun hampa.

“Dong Jun? Siapa tu?” Aku kerutkan dahi. Kemudian aku tersenyum dan geleng kepala.

“Takpe. Saya bermimpi tadi,” Aku terus berlari ke tempat duduk sambil ketawa. Hilang niat hendak ke tandas. Manalah Madam tahu siapa Dong Jun. Manalah dia minat kat penyanyi Korea tu. Aku ni pun satu, minat sangat tengok rancangan Korea. Kalau satu hari tak dengar lagu Korea, tak lengkap pulak rasanya. Memang dah kronik penyakit aku ni.

********************

5 catatan:

Zass said...

wah.. best2!
tapi kenapa jangan kau pergi tu tak disambung... i'm waiting for the next entry!!!!

sinichies_girl88 said...

best....
sambung la jugak "jangan kau pergi"
erk...hehhe
:)

MaY_LiN said...

huhuhu..
abang encem nak ngorat ma ye..
cepatla buat tanda..
hikhikhik

aFaiSh said...

hehehehheeeee!!

nursya said...

besh..besh...
nk lggg...........