Followers

Wednesday, April 11, 2012

Sampai Seru 3 (akhir)




“Mak, Ana tak sedia lagi.” Suhana merengek manja.


“Bila nak sedianya...tunggu mata mak ni dah terpejam? Tu, adik kamu Salma, dah masuk 2 anak dia. Kamu pulak, teman lelaki pun takde. Buat mak pening kepala je. Bila balik kampung, semua orang bertanya tentang kamu. Tu, nenek kamu kat kampung tu, naik berbulu telinga mak ni dengar dia tanya soalan yang sama berulangkali.” Terkebil-kebil mata Suhana mendengar ibunya membebel.


“Jadi, mak setujulah?” Suhana bertanya acuh tak acuh.


“Ye. Ayah kamu pun setuju. Bertunang dulu. Lepas tu, kalau dah suka, boleh kahwin.” Suhana mengeluh. Entah mengapa semua menjadi begitu mudah. Semudah itukah perkahwinannya? Kenapa mahu menolak? Sedangkan sebelum ini, memang dia pernah berangan untuk berkahwin dengan lelaki yang dia tidak kenal. Maksudnya, dia hanya akan bercinta dengan lelaki yang telah menjadi suaminya. Dia mahu bercinta selepas berkahwin. Mungkinkah, Syahrul jodohnya.


“Mak bukan nak paksa Ana terima Syahrul tu. Tetapi, mak tak mahu Ana terlepas lelaki yang baik.” Suhana mendiamkan diri.


“Mak, kita tak kenal dia lagi. Mana tahu dia lelaki yang baik?” Suhana bertanya perlahan.
“Pada mak, dia lelaki yang baik. Dia berterus terang untuk melamar kamu. Maknanya, dia ikhlas untuk mengambil kamu sebagai isterinya.” Suhana mengeluh.


“Mak, isteri dia baru je meninggal, mak nak saya jadi perempuan jahat?” Pn.Shamsiah tersenyum.
“Siapa yang cakap berkahwin dengan lelaki yang kematian isteri tu jahat?” Pn.Shamsiah bertanya lembut. Suhana mengeluh.


“Mak, kalau isteri dia meninggal bertahun-tahun. Ana tak kisah. Tapi...baru beberapa bulan isteri dia meninggal, dia dah cari penganti. Itu mak kata baik?” Suhana meluahkan rasa hatinya. Biar orang tuanya jelas dengan kehendak hatinya.


“Semalam Syahrul call mak. Mak belum bagi keputusan lagi. Mak suruh dia call Ana sendiri. Lebih baik Ana berbincang elok-elok dengannya.” Suhana gigit bibir. Tetapi dia berasa lega bila mendengar kata-kata ibunya itu. Maknanya dia masih ada harapan untuk menolak. Tak mungkin dia akan berkahwin dengan lelaki yang dia tidak kenal.


***********************
           KETIKA sedang leka melayan perasaan, Suhana tersentak bila mendengar suara orang memberi salam.


“Assalammualaikum.”


“Waalaikumsalam...jemputlah masuk.” Suhana kerutkan dahi. Suara perempuan. Hujung minggu dirasakan terlalu panjang. Kalau dia bersetuju, sepatutnya, hari ini dia dan Syahrul bertunang. Oleh kerana dia minta tangguhkan, jadi untuk dua minggu ni, dia selamat. Oleh itu, dia kena cari alasan yang kukuh untuk mengelak dari menjadi tunang Syahrul. Tetapi, Syahrul setuju memberi masa padanya. Maknanya, lelaki itu tidaklah teruk sangat. 


“Ana, keluar sekejap. Ni, Mak cik Ainur datang ni.” Suhana garu kepala. ‘Mak cik Ainur? Siapa ye?’ Ana keluar dari bilik setelah memakai tudung. Siapa pulak yang datang melawat dia. Sejak akhir-akhir ini, dia asyik dikejutkan dengan tetamu yang tidak di undang.


“Nilah anak saya tu. Suhana.” Suhana menyalami tangan Mak Cik Ainur dan tunduk mencium tangan wanita separuh abad itu. Di dalam kepalanya penuh dengan tanda tanya.


“Cantik. Patutlah Syah berkenan.” Wajah Suhana merona merah. Syah??? Mungkinkah?? Suhana gigit bibir saat terpandang wajah lelaki yang sedang tersenyum mesra padanya.


“Syah, letak baby kat bilik Ana tu. Kasihan dia. Tentu penat sangatlah tu.” Suhana membeliakkan matanya ke arah ibunya. Namun Pn.Shamsiah buat tak nampak. Syahrul tersenyum siap angkat kening pada Suhana.


“Boleh tolong letak tak? Saya rasa tak patut pulak masuk bilik tidur awak.” Suhana mencebik namun dia tetap juga menyambut tubuh kecil itu. bila terpandang wajah comel bayi tersebut, hatinya jatuh sayang. ‘Arghhh...kenapalah hati ini lembut sangat?’ Suhana mengeluh.


“Uhhh!! Beratnya.” Syahrul tersenyum.


“Ermmm..Berat dia dah bertambah. Sekarang sudah 5 kilo lebih.” Suhana angguk kepala. Matanya sempat melirik wajah lelaki yang sentiasa tersenyum itu.


“Patutlah berat.” Suhana menjawab perlahan. Wajah comel baby tersebut di usap perlahan.


“Lupa nak tanya, apa namanya ye?” Suhana angkat muka dan memandang wajah Syahrul yang ketika itu sedang merenungnya. Pipi Suhana terasa panas bila menyedari lelaki itu sedang merenungnya. Dalam hati berbakul-bakul sumpahan dia bagi khas untuk lelaki itu. sesedap rasa meratah wajahnya.


“Ermm...ehem...nama dia? Anisah Amirah.” Syahrul garu kepala. berusaha mengawal hasutan syaitan sekejap tadi. Hatinya benar-benar tertawan pada seraut wajah tenang itu. Suhana angguk kepala dan berjalan menuju ke biliknya. 


“Anis tidur atas tilam aunty ye.” Suhana tersenyum melihat wajah bersih itu. Dalam diam dia jatuh sayang pada anak kecil itu. Lama wajah comel itu direnung. Tangannya menepuk punggung bayi tersebut. Suhana tersenyum bila melihat bayi tersebut tersenyum kecil.


“Dah pandai senyum ye. Comelnya.” Suhana mencium pipi mulus itu. Tanpa dia sedari, sepasang mata memerhati gelagatnya sedari tadi. Suhana berpaling bila terdengar suara lelaki tergelak halus. Lantas dia berpaling ke belakang. Suhana gigit bibir. Tanpa kata, dia terus menutup pintu bilik dengan kasar. 


            Syahrul terdorong ke belakang bila pintu bilik ditutup dengan kasar. ‘Erk..nasib baik tak patah batang hidung aku ni,’ Bisiknya sambil tangan menyentuh hidungnya. Akhirnya Syahrul tergelak lagi. Kalau hati dah suka, sikap kasar itu pun dia anggap comel.


            Suhana berbaring di sebelah Anisah. Wajah comel itu diusapnya perlahan kemudian dicium berulang kali tanpa rasa jemu.


“Anis suka kalau aunty jadi mama Anis?” Suhana bertanya perlahan. Saat itu, dia merasakan dia harus meluahkan perasaannya tetapi, tiada seseiapa yang sudi mendengarnya. Anisah tersenyum lagi. Suhana tergelak halus.


“Bodoh betul aku ni. Manalah dia mengerti.” Suhana tarik nafas kemudian dilepaskan perlahan. Mata Anisah mula terkatup. Mengantuk sangat agaknya.


“Aunty keluar dulu ye. Sayang tidur ye,” Suhana mencium pipi gebu itu sekali lagi sebelum keluar. Bantal di letak di tepi Anisah bagi mengelakkan Anisah dari terjatuh dari katil. Pintu bilik sengaja dibuka supaya mudah untuk mereka mengawasi pergerakan Anisah.


 “Mak, biarlah kat situ. Nanti Ana hantar ke depan.” Pn.Shamsiah tersenyum.


“Takpe. Dah siap pun. Tolong kamu bawa dulang tu. Biar mak bawa kuih ni.” Suhana angguk kepala. Ketika kaki semakin menghampiri ruang tamu, degup jantungnya semakin laju. Suhana gigit bibir menahan debar di dada. Kenapa perlu ada rasa debar bila memikirkan gerangan yang menjadi tetamunya itu. Perlahan dia duduk dan menuang air ke dalam gelas. Satu persatu gelas yang berisi air diletakan di hadapan tetamu.


“Ana apa khabar?” Suhana tersentak mendengar soalan dari Pn.Ainur.


“Err...baik mak cik. Jemput minum mak cik..errr...awak pun, minumlah.” Suhana tunduk memandang lantai. Tidak sanggup bertentang mata dengan jejaka itu. Terasa seperti mata Syahrul melekat diwajahnya.


“Syah, sudah-sudahlah tenung anak dara orang tu. Malulah dia.” Suhana menjeling sekilas ke arah Syahrul. Lelaki itu dilihatnya sedang menggaru kepala sambil tersengih.


“Mak cik, saya ke bilik dulu. Takut pulak Anis terjaga.” Suhana segera beredar sebaik sahaja ibunya sampai di ruang tamu.


“Terima kasih. Cuba biasakan diri dengan Anis. Supaya tak susah kelak.” Suhana gigit bibir. Geram mendengar kata-kata dari mulut Syahrul. Pantas matanya menjeling tajam pada Syahrul yang tersengih.


“Ajar dia panggil awak mama ye.” Syahrul semakin galak mengusik Suhana. Dia tahu Suhana tidak akan membalas jika dihadapan orang tuanya.


“Syah..kamu ni. Dia nak ke jadi isteri kamu? Budak ni, belum apa-apa dah suka nak kenakan orang.” Pn.Ainur menepuk paha anaknya. Suhana tergelak halus. Sempat dia mentertawakan Syahrul. 


         Suhana terus berjalan menuju ke bilik. Setelah pintu bilik di tutup, Suhana meniarap disebelah Anisah. Tangannya bermain dengan tangan halus itu.


“Comel. Macam papanya.” Suhana tergelak. Wajah comel itu memang sebiji macam ayahnya. Suhana leka bermain dengan anak kecil itu sehingga tertidur.

******************

        Suhana terjaga bila mendengar suara tangisan bayi. Matanya meliar memandang sekeliling mencari bunyi tangisan itu.


“Dari mana pulak bunyi budak menangis ni?” Soalnya pada diri sendiri. Beberapa saat kemudian Suhana tepuk dahi sendiri. Dia tertidur rupanya. Pantas matanya beralih ke sebelah.


“Maaf Anis. Aunty tak perasan pulak Anis kat sini. Maaf ye,” Suhana terus mendukung tubuh kecil itu. Sebelah tangannya bermain dengan jari jemari halus itu.


“Sayang Anis. Jangan nangis ye.” Suhana memujuk lagi. Namun, masih tiada tanda dia akan berhenti menangis. Suhana meletakkan Anisah semula di atas katil. Dia berlari keluar.


“Errr....Awak, pampers Anis ada tak? Minyak angin...lepas tu..apa lagi ye? Haa..botol susu dia.” Wajahnya cemas. Syahrul tersenyum senang. Melihat wajah bimbang Suhana, hatinya semakin yakin untuk memperisterikan gadis itu.


“Tunggu sekejap.” Syahrul turun ke bawah dan membawa bekas berisi keperluan anaknya. Kemudian, dengan perlahan pintu bilik Suhana di ketuk. minggu kedua dia dan ibunya membawa Anisah ke rumah keluarga Suhana. Memang dia gunakan Anisah untuk menambat hati Suhana. Itupun, cadangan bernas dari Pn.Shamsiah yang mahu dia mendekatkan Anisah pada Suhana. 


“Awak, nak saya masuk atau tunggu kat luar?” Suhana berpaling menengar pertanyaan Syahrul.


“Tunggu je kat luar tu.” Jawabnya kasar sambil menyambut bakul dari tangan Syahrul.


“Garangnya.” Suhana mendiamkan diri mendengar Syahrul mengutuknya.
“Suka hati oranglah.”


“Takpe, garang dengan papanya tak mengapa. Yang penting dia baik dekat baby tu,” Syahrul tersenyum lagi. Dia masih berdiri berpeluk tubuh di tepi pintu bilik Suhana. Matanya meliar melihat keadaan bilik gadis itu. Sederhana. Namun kemas dan teratur.


            Lama matanya memerhati segala tindak tanduk Suhana mengemas anaknya. Biarlah orang mengata tentangnya. Keluarga arwah isterinya memarahinya bila mendengar berita dia hendak berkahwin lagi. Namun, dia hanya tebalkan telinga. 


“Kami bukan tak nak kamu berkahwin dengan budak tu. Tapi, biarlah tunggu 1 atau 2 tahun lagi. Ini baru 4 bulan Arwah Humairah meninggal,” Syahrul hanya mendiamkan diri. Kalau ikutkan hatinya, dia malas untuk mengkhabarkan berita tersebut kerana dia tahu penerimaan mereka.


“Maafkan saya. Saya tak mahu kehilangan perempuan yang baik seperti Suhana.” Jawabnya tegas.


“Mana abang tahu perempuan tu baik? Baru jumpa sekali dua dah kata baik. Manusia ni, sungguh pun bertahun kita kenal, belum tentu lagi kita tahu perangai sebenarnya mereka,” Maimunah berkata sinis. Syahrul tersenyum.


“Memang. Sebab manusia pandai bermain helah. Depan orang, dia buat baik, tapi belakang orang mereka sama taraf dengan syaitan. Tapi, orang kata, sekilas ikan dilaut, orang tahu jantan betinanya.” Syahrul menempelak adik iparnya. Dia tahu, Maimunah menaruh hati padanya. Kerana gadis itu juga, hubungannya dengan Humairah tak pernah tenang. Adik iparnya selalu menghasut Humairah untuk meninggalkannya.


“Syah, kami tak nak Syah terburu-buru dalam membuat keputusan. Ini melibatkan masa depan Anis. Kan, lebih elok, jika dia dapat ibu dari kalangan orang yang kita kenal,” Suara lembut Pn.Hamisah menyapa telinganya. Syahrul mengeluh.


“Mama, biarlah perkahwinan saya kali ini dengan gadis yang saya sendiri pilih.” Syahrul menjawab yakin.


“Biarlah Ham, ini hidup dia. Kita ni takde kaitan nak halang kehendak dia. Asalkan, Syah tak putuskan hubungan Anis dengan kami semua, itu sudah cukup. Jangan pulak, nanti, bila dapat anak baru, cucu kami tu diabaikan,” En.Roslan berdiri dan terus berlalu.


“InsyaAllah.”


“Awak..awak...En.Syahrul!!!!” 


Syahrul terpinga-pinga mendengar suara lembut gadis disebelahnya.


“Err...ye? apa dia?” Suhana kerutkan dahi. Dalam hati dah segunung sumpah seranah sebab lelaki tu begitu asyik merenungnya dari tadi.


“Yang awak berdiri kat depan pintu bilik saya ni kenapa? Nak mengintai saya?” Selamba je Suhana memarahi Syahrul. Syahrul garu belakang tengkuknya. Terkantoi lagi. Memang parah. Memang patut kahwin terus je ni. Tak nak tunang lama-lama. Bimbang imannya tak cukup kuat. Suhana terus berlalu meninggalkan Syahrul yang masih terkulat-kulat di depan pintu biliknya. Kalau diikutkan hatinya yang tengah geram ni, memang lelaki tu makan sebiji penumbuk darinya.


            Syahrul mengacah anaknya sehingga anak kecil itu memeluk erat leher Suhana. Ketika itu mereka bertiga sedang duduk di ruang tamu. Sementara Pn.Shamsiah dan Pn.Ainur memasak di dapur.


“Awak ni, sakit leher saya ni,” Suhana duduk ke kerusi sebelah. Syahrul tergelak.


            Lama mereka mendiamkan diri. Anisah juga tidak banyak ragam. Setelah penat bergurau, dia tertidur. Syahrul mengerling sekilas wajah Suhana yang sedang ralit menonton televisyen. Tangannya masih setia menepuk punggung Anisah. Suhana berpaling ke arah Syahrul. Syahrul tersengih bila gagal melarikan matanya dari memandang wajah Suhana. Suhana gigit bibir. Geram dan seram. Mata lelaki itu tajam menikam jauh ke dasar hatinya.


“Baik awak je jaga Anis ni. Biar saya tolong mak saya kat dapur tu,” Suhana berdiri dan menyerahkan Anis kepada Syahrul. Terkulat-kulat Syahrul menyambut tubuh anaknya yang sudah tertidur. Tentu penat sangat agaknya. Anak kecilnya itu memang agak senang di jaga. Tidak banyak ragam. Asalkan perut kenyang, tidur cukup, amanlah mereka semua.


“Aih...Awak temankan saya kat sini. Kat dapur tu dah cukup orang,” Syahrul mengekori langkah Suhana sambil tersenyum senang. Suhana mencebik dan terus berlalu tanpa menghiraukan Syahrul. Beberapa langkah kemudian, Suhana berpaling ke belakang. Dahi dikerutkan. Wajah tampan Syahrul hilang. ‘Aiks....mana pulak dia pergi?’ Suhana geleng kepala. Belum pernah seumur hidupnya bertemu dengan lelaki seperti Syahrul yang begitu berani mendekatinya. Selalunya, mereka yang bujang akan mengusiknya dan bila melihat tiada respon darinya, mereka akan berhenti mengorat. Kata orang, mereka yang buat macam tu, tak ikhlas. Hanya nak bercinta, tidak ada niat untuk berkahwin. Syahrul berlainan. Lelaki itu, terus menyatakan hasratnya untuk menjadikan dia isteri lelaki itu.


“Mak, ada apa-apa yang saya boleh tolong?” Pn.Shamsiah kerutkan dahi. kepalanya dijenguk ke belakang Suhana. Mungkin Syahrul sedang pujuk Anis. Fikirnya.


“Tolong cuci sayur tu,”


“Ehh...tak payahlah. Ana duduk kat depan tu. Berbual dengan Syahrul,” Suhana kerutkan dahi. Syahrul dah tersengih di sebelahnya. ‘Bila masa pula lelaki ni ada kat sebelah?’ Suhana pelik. ‘Macam chipsmore lah dia ni,’


“Tapi macam tak patut pulak, biarkan tetamu masuk dapur,” Pn.Shamsiah menjawab bagi pihak anaknya. Pn.Ainur tersenyum.


“Ala..tak kisah tu. Perkara kecil je. Bagi masa untuk budak-budak tu saling mengenali,” Suhana angguk kepala. Lantas kakinya melangkah ke ruang tamu semula. Remote control dicapai. Dia hanya menjeling sekilas wajah ceria lelaki disebelahnya itu.


“Boleh tak mata awak tu jangan asyik nak tengok saya? Nanti saya cucuk dengan garpu. Biar jadi Kasim Selamat.” Syahrul mencebik.


“Mana ada saya tengok awak. Saya tengok pokok bunga kat sebelah awak tu,” Suhana berpaling ke sebelah. Memang ada pokok bunga yang terletak elok di sebelah kerusi yang didudukinya itu. ‘Hisshhh...pandai je cari alasan,’


“Ye? Kahwinlah dengan pokok bunga tu,”


“Apa kaitan saya nak kahwin dengan pokok bunga tu?” Giliran Syahrul pula kerutkan dahi.


“Tentu awak berkenan dekat pokok tu,kan?” ‘Apa aku merepek ni?’ Duduk berdua dengan lelaki itu membuatkan Suhana jadi tak tentu hala. Syahrul tergelak.


“Kalau berkenan pun, bukan dapat dijadikan isteri. Saya berkenan dekat orang yang duduk sebelah pokok bunga tu,” Matanya melirik nakal ke arah Suhana. Suhana gigit bibir. Geram dengan lelaki disebelahnya. Miang.


“Saya miang dekat awak je. Kalau dengan orang lain, saya tak nak,” Gluppp... Suhana telan liur. Biar betul lelaki ni? Tahu pulak apa yang dia fikir. Lelaki memang macam tu ke? Bermulut manis.


“Macamana? Awak terima tak pinangan saya tu?” Serius pulak. Tak nak tangguh-tangguh lagi. Biarlah orang kata dia tak menyempat, asalkan Suhana tidak terlepas pada lelaki lain. Apa jua yang orang kata tentangnya, dia akan tolak ke tepi. Dia sudah jatuh cinta pandang pertama. Pertama kali terpandang wajah lembut Suhana ketika mendodoi anaknya 2 bulan lepas, dia sudah jatuh cinta pada gadis itu.


“Awak tak takut berkahwin dengan perempuan yang awak tak kenal?” Suhana bertanya pelik. Ye. Dia merasa pelik sebab lelaki berpelajaran seperti Syahrul tidak berfikir tentang kemungkinan dia perempuan yang jahat.


“Selepas kita berkahwin, seumur hidup masa untuk kita berkenalan,” Jawabnya tenang. Bukan dia tak pernah cuba melupakan Suhana, semakin dia cuba melupakan gadis itu, semakin kuat hatinya mengingatinya sehinggalah dia membuat solat istikharah meminta petunjuk tentang niat hatinya. Dia tidak penah putus berdoa pada Allah S.W.T supaya menjauhkan gadis itu sekiranya mereka tiada jodoh. Namun, baru hendak tenang, dia terserempak lagi dengan gadis itu. Dari situ, dia bertekad untuk melamar Suhana kerana dia yakin gadis itulah jodohnya. Dia menghormati keputusan Suhana yang meminta diberikan masa untuk berfikir. Dia tahu, keputusan yang gadis itu akan buat adalah berkenaan masa depannya. Jadi, dia tak boleh terlalu memaksa. Atas sebab itu, setiap minggu dia akan membawa ibu dan anaknya singgah di rumah keluarga Suhana.


“Awak tak takut kalau saya ni, luaran je nampak baik? Lagipun, keluarga awak orang berada dan saya ni dari golongan orang-orang biasa je. Awak tak takut kalau saya rampas harta awak?”


“Biarlah awak rampas pun. Saya tak kisah. Harta dunia bukan boleh bawa mati. Awak ingat kebaikan itu dapat ditipu? Saat saya ternampak awak dan ibu awak menghampiri saya dan Anis masa kat klinik hari tu, saya tahu, awak gadis yang baik. Sebabnya, hampir 2 jam saya berusaha memujuknya, namun tiada seorang pun yang sudi membantu.” Suhana mengeluh. 


“Saya tahu kita belum kenal antara satu sama lain, entah mengapa hati saya kuat mengatakan hanya awak yang layak untuk menjadi isteri dan ibu kepada anak saya.” Syahrul merenung wajah Suhana yang terdiam disisinya. Beberapa saat kemudian, mereka berpaling ke bilik Suhana. Tangisan anak kecil itu menggamit hatinya. Suhana terus berlari kebiliknya. Syahrul tersenyum. Dia yakin Suhana akan menerima lamarannya. 


            Suhana berjalan perlahan menghampiri Syahrul sambil mengendung bayi comel itu. Senyum terukir dibibirnya bila melihat wajah comel itu tersenyum.


“Dia dah pandai senyumlah, awak,” Suhana angkat muka memandang wajah Syahrul. Syahrul kerutkan kening. Tidak percaya.


“Iye?” 


“Ermm..tengoklah.” Suhana menyua Anis kepada Syahrul, namun Syahrul terlebih dahulu menghampiri Suhana lalu duduk di sebelah gadis itu. Tersentak Suhana dibuatnya. Dia tidak pernah duduk begitu rapat dengan mana-mana lelaki kecuali ayah dan abangnya.


“Awak, awak duduklah jauh sikit. Tak selesa. Panas.” Syahrul garu kepala yang tidak gatal. Malu pulak kena tegur. Akhirnya Syahrul berdiri di belakang kerusi yang diduduki oleh Suhana. 


“Setuju tak jadi isteri saya?” Syahrul bertanya lagi. Suhana terdiam. Dadanya berdegup kencang. Wajah Anisah Amirah direnung lama. Sekali lagi wajah comel itu tersenyum. Suhana benar-benar telah jatuh cinta pada Anisah Amirah. Tanpa sedar dia mengangguk kepala.


“Awak setuju?” Sekali lagi Syahrul bertanya.


“Ye,” Suhana menjawab tenang.


“Alhamdullilah. Terima kasih Ya Allah.” Suhana tersipu malu bila menyedari ibunya dan juga ibu Syahrul turut berada di situ. 


“Apa yang buat korang gembira sangat ni?” Mereka berpaling ke pintu rumah. Pak Badar menghampiri mereka. Syahrul menghampiri Pak Badar kemudian menyalami tangan lelaki tua itu.


“Suhana terima lamaran saya.” Jawabnya tenang. Pak Badar tersenyum lebar.


“Alhamdulillah. Laku jugak anak ayah ni,” Suhana kerutkan dahi. Mereka yang lain ketawa besar mendengar kata-kata yang keluar dari mulut Pak Badar.

-Tamat-

7 catatan:

Anonymous said...

bad ending!

Anonymous said...

cik kaira yg cumel..... sambung la lagi.... best sangat2... dah lama x jenguk blog awk, sejak cik kaira stop tulis cerita abg isham yg encem tu.... best la criter ni.... saya suka la criter yg ada baby2 ni...comel.... smbung la lagi ok.....tq cik kaira

kaknOOr said...

Satu cerita pendek yg simple tapi menarik x perlu konflik yg byk..
cukup dgn 5 watak penting
Seorg lelaki mencari calon ibu buat anaknya......(perkara biasa tanah kubur isteri masih merah lagi ha ha ha)
Perkara yg selalu timbul jika suami/isteri nak kawin lain tentu keluarga bekas isteri/suami akan menentang (tapi bkn semuanya begitu)

Unknown said...

anonymous, bad ending??? huhuhu..ok.terima kasih sbb tegur.nanti sy buat yg lebih baik...

anonymous, tq..tq.tq..insyaAllah, kalau ada idea, akan d smbng...

kaknoor, hahaha...alasan org lelaki kan..huhuhu...keluarga yg membantah tu, sebab dorang takut cucu mereka jauh dr mereka...

blinkalltheday said...

sweet je nding diorg ni...xnak wat SE ke nanti cite ni?cik writer wat lah special edition...

Unknown said...

blinkalltheday,tengoklah nanti..kalau ada masa utk menaip, akan di sambungkan.. sebab tu berhenti setakat tu dulu..

Anonymous said...

miss blogger... smbng lah lgi ke buat special n3 tuk sampai seru ne..?? ^__~