Followers

Tuesday, December 8, 2009

Pilihan Hati 4

“Ari....mari. Abang Is belanja makan,” Shila menapuk meja Ariyana. Tersentak Ariyana dibuatnya.

“Kau ni... kalau tiap hari macam ni, boleh sakit jantung aku dibuatnya,” Ariyana menjeling tajam wajah rakannya yang tersengih.

“Marilah. Abang Is dah lama tunggu tu,” Ariyana mendiamkan diri.

“Malaslah. Kau pergilah. Nanti aku makan kat kantin je,” Ariyana menolak. Shila bercekak pinggang.

“Aih!!!! Kalau ye pun kau benci kat abang aku tu, boleh tak kau bagi muka sikit kat aku?” Shila berkata marah.

“Errrr...Sebenarnya, ha....” Mata Ariyana meliar mencari mangsa bagi mengelak dari makan semeja dengan Iskandar.

“Aku ada janji dengan Farhan. Farhan...tunggu saya ye.” Ariyana segera berdiri dan menghampiri Farhan. Shila tersentak melihat Ariyana berlari laju menghampiri Farhan.

“Biar betul budak ni? Ari....Ari...” Shila geleng kepala.

**********************

“Sorry Han. Saya terpaksa gunakan awak sebab nak mengelak dari keluar dengan Shila. Segan pulak asyik dia belanja saya makan,” Ariyana berkata perlahan ketika berada dalam lif. Farhan tersenyum. Dia memang mengharapkan Ariyana sudi menemaninya makan. Walaupun Ariyana tidak berniat untuk makan bersamanya, dia tetap bersyukur dapat diberi peluang tersebut.

“Tak mengapa. Saya tak kisah,” Farhan berkata selamba. Mereka berbalas senyum. Ketika pintu lif terbuka, Ariyana dan Farhan berjalan seiringan menuju ke kantin sambil berbual. Ariyana tergamam bila matanya terpandang Iskandar yang turut sama memandang ke arah mereka. Ariyana tunduk dan berjalan perlahan dibelakang Farhan.

“Kenapa?” Soal Farhan hairan. Ariyana tersengih.

“Takde apa-apa.” Ariyana tersenyum kelat. Mereka mengambil tempat duduk yang agak tersembunyi. Ariyana mengeluh lega. Setelah menjamu selera, Ariyana dan Farhan berbual tentang pelbagai cerita sehingga sampai ke topic yang sangat Ariyana benci.

“Ari...saya dah lama tunggu saat ni. Tak sangka doa saya termakbul juga hari ni,” Ariyana tersentak. ‘Alamak!!!!! Ini baru dikatakan lari dari mulut naga masuk mulut harimau,’ Ariyana tepuk dahinya. Farhan tersenyum.

“Ye? Errrr..Han, rasanya elok kalau awak panggil saya kakak ye. Saya kan lebih tua dari awak?” Ariyana tersenyum manis. Farhan merenung wajah cemas Ariyana.

“Saya tak nak. Lagipun, awak bukan kakak saya,” Farhan bersuara tegas. Ariyana duduk tegak.

“Tapi...” Ariyana cuba membantah.

“Saya tetap dengan keputusan saya.” Ariyana tersandar lesu. Farhan tersenyum.

“Saya sukakan awak. Dan saya mahu menjadi kekasih awak,” Mata Ariyana terbeliak. ‘Memang aku menempah maut. Kalau aku setuju makan dengan Shila tadi, kan elok. Setakat mengadap muka singa tu, takde masalah. Tak memeningkan kepala,’ Ariyana membebel.

“Saya faham. Tapi saya tak suka awak. Lagipun, saya tengok awak, macam adik saya,” Ariyana bersuara perlahan. Farhan tersenyum..

“Tak mengapa. Saya tak mahu tahu jawapannya sekarang. Saya akan tunggu awak sedia menerima saya,” Ariyana geleng kepala. ‘Bertambah lagi satu masalah,’ Bisiknya dalam hati sambil menongkat dagu. Farhan bercerita macam-macam tentang dirinya. Ariyana menjadi pendengar setia. Hanya mengangguk dan tersenyum, sedangkan satu pun tidak masuk ke dalam kotak fikirannya.

*******************

“Tadi abang terserempak Ari dan seorang lelaki. Siapa lelaki tu?” Shila angkat mukanya.

“Ye? Masa bila abang jumpa dia?” Shila bertanya pelik.

“Sementara tunggu adik tadi. Kekasih dia? Boleh tahan jugak rupa lelaki tu.” Iskandar bersuara perlahan. Shila angguk kepala.

“Kekasih tu, tak pasti lagi. Tapi, lelaki tu, memang suka sangat kat Ari. Sejak dia mula bekerja kat sini, dia cuba nak mengorat Ari.” Iskandar angguk kepala.

“Adik? Takkan tak de yang mengorat adik?” Iskandar tergelak bila melihat muncung adiknya.

“Tahulah. Adik tak secantik Ari. Semua lelaki nak dekat dengan dia. Cuma abang je yang tak pandang dia,” Shila berkata selamba. Iskandar tersenyum.

“Dia yang larikan diri dari abang. Lagi pun, kami berdua mana boleh rapat sangat. Nanti batal air sembahyang,” Shila tergelak.

“Mana abang dengar ayat tu?” Shila mencebik.

“Adalah. Mana boleh bagi tahu adik.” Iskandar tersenyum penuh rahsia.

“Huh!!! Tak nak cakap sudah.” Shila terus menyuap nasinya.

***************************

“Han, saya nak ke tandas dulu, kalau awak nak naik dulu, naiklah. Nanti saya menyusul,” Ariyana bergegas ke tandas. Farhan tersenyum dan mengangguk kepala. ‘Ari....Ari...apa kau dah buat ni? Kenapa nak mengelak dari bertemu Abang Is tu? Kau dan dia bukan ada apa-apa. Lagipun, dia yang benci tengok kau, kau biasa je,’ Ariyana berbisik sendirian tanpa menyedari dia tersalah masuk tandas.

“Errrr...Cik... Ni tandas lelaki,” Ariyana angkat muka. Kemudian berlari pantas ke tandas wanita.

“Malunya. Apalah malangnya nasib aku hari ni.” Ariyana tutup mukanya dengan tangan.

“Mana nak letak muka ni? Macamana boleh salah masuk pulak,” Ariyana terus memarahi dirinya sendiri. Hampir 15 minit berada di dalam tandas, Ariyana menjenguk keluar dan dengan langkah perlahan dia meninggalkan tandas. Ariyana berjalan pantas bila melihat keadaan tingkat bawah sudah sunyi sepi.

“Woi!!!! Mana kau pergi? Seronok ke makan dengan Farhan?” Ariyana tersentak bila disergah kasar oleh Shila.

“Huh!!!! Menempah bala,” Ariyana tersandar lemah. Shila tergelak.

“Padan muka. Lain kali, kau suka ke tidak ke dengan abang aku tu, jangan nak mengelak diri lagi, tahu tak?” Ariyana terkebil-kebil mendengar bicara Shila.

“Eh!!! Aku memang dah janji nak keluar makan dengan Farhan tadi,” Ariyana berdalih.

“Yelah tu. Macam aku tak tahu,” Shila berkata sinis. Ariyana tersenyum kelat.

“Abang Is ada tanya pasal kau tadi.” Ariyana tersentak.

“Ye? Owh!!! Masa aku dan Farhan kat kantin tadi, kami terserempak kat sana.” Ariyana berkata perlahan. Shila angguk kepala.

“Patutlah. Dia cakap kekasih kau tampan,” Ariyana kerutkan kening. Shila tersenyum.

“Kekasih aku? Si Farhan?” Ariyana bertanya jengkel.

“Abang Is yang cakap. Aku tak cakap apa-apa pun kat dia,” Shila tersenyum lagi.

“Mana ada,” Ariyana meneruskan kerjanya. Shila beredar. Ariyana termenung seketika.

******************************

2 catatan:

sinichies_girl88 said...

hehheh best..best..
iskandar ader feeling kan ari upanya...
seronok2..
nak lagi...
:)

nursya said...

hai xkan si is jeles kot...
hahahaha...