Followers

Friday, March 21, 2014

Cinta Bola 1



“Goll!!!!!!!!!!!!”

Hanif tersentak mendengar suara orang ramai menjerit kuat di kedai mamak tersebut. Dia yang kebetulan baru balik dari pejabat singgah sebentar untuk mengisi perut yang seharian belum diisi. Jadual kerja yang padat membuatkan Hanif tiada masa untuk mengikuti perkembangan semasa. Dia memandang ke screen tv kedai mamak tersebut. ‘Patutlah. Dah mula bola sepak Piala Dunia rupanya.’ Bisiknya dalam hati sambil matanya meliar memandang sekeliling. Bermacam ragam manusia dapat dilihat bila bola sepak Piala Dunia berlangsung. Kalau dulu, masa sekolah memang dia minat bermain bola. Malah dia merupakan pemain terbaik disekolahnya. Tetapi semenjak bekerja, masa tidak mengizinkan dia bergiat di dalam sukan. Rasanya nak berlari pun dah tak ada tenaga. Hanif geleng kepala. Ketika hendak beredar, matanya menangkap seraut wajah yang cantik sedang berborak dengan beberapa orang lelaki. ‘Aih??? Perempuan pun minat bola?’ Hanif geleng kepala dan terus berlalu kekeretanya. Ketika dia hendak masuk ke dalam kereta, bahunya ditepuk kuat oleh seseorang.

“Abang...” Hanif berpaling dan terus tersenyum lebar apabila melihat wajah lelaki yang menyapanya.

“Adik..” Hanif terus menarik tubuh adiknya.

“Abang baru balik dari pejabat ye?” Hanif angguk kepala.

“Putra, kita orang pergi ke sana dulu.” Rakan-rakan Putra berlalu mencari tempat duduk. Putra angguk kepala.

“Abang, jum.. lepak dengan kita orang dulu.” Hanif geleng kepala.

“Tak mengapa. Abang nak balik dah. Esok kena kerja lagi. Kirim salam abang dengan mama dan nenek serta datuk.” Putra mengeluh.

“Abang masih marahkan mama ye?” Putra bersuara perlahan sambil memandang wajah kelat abangnya.

“Takdelah. Abang tak kisah. Kalau ada masa, nanti abang singgah ke sana. Adik sihat?” Putra angguk kepala.

“Bila next game adik.” Putra tersengih.

“Minggu depan, bang. Lawan ATM.” Hanif angguk kepala. Walaupun Hanif meminati bola sepak, namun ianya hanya menjadi hobi. Berbeza dengan Putra. Putra menyertai kelab bola sepak ternama. Namanya sering menjadi sebutan peminat bola sepak.

“Hati-hati bermain tu. Kalau ada rasa tidak sihat, jumpa doktor.” Putra angguk kepala.

“Jangan risau. Kalau adik sakit, adik datang jumpa abang. Dapat rawatan percuma.” Putra tersengih. Hanif geleng kepala.

“Okey. Abang blah dulu. Jangan lepak kat luar lama sangat. Jaga stamina tu,” Pesannya. Putra angguk kepala.

            Putra menghampiri rakan-rakannya yang sedang menunggu dengan sabar.

“Putra, tengok perempuan tu,” Putra yang baru sahaja hendak duduk membuang pandang ke arah gadis yang sedang berjalan tenang menghampiri sekumpulan lelaki yang turut serta menonton tayang bola sepak tersebut. Putra terpana seketika.

“Cantik,” Bisiknya hampir tidak kedengaran.

“Cantikkan. Tapi, aku tak sukalah perempuan yang suka tengok bola ni. Kasar,” Adin memberi komen. Putra duduk namun matanya masih melekat memandang wajah gadis tersebut.

“Yelah. Perempuan tu macam terlalu sosial sangat. Tengok bola pun kat luar. Dengan lelaki pulak tu.” Mereka terus memerhati gadis tersebut yang begitu asyik menonton perlawanan bola sepak tersebut. Tumpuan Putra tidak terarah ke skrin LCD tersebut sebaliknya matanya asyik merakam setiap detik kelakuan gadis tersebut.

“Hoi.. Berkenan ke? Dia tak sesuai untuk kau,” Putra tergelak halus.

“Kenapa pulak?” Putra bertanya selamba.

“Tadi aku dengar dia bahasakan diri dia kakak dengan budak jual air tu. Semestinya umur dia lebih tua dari kita,” Putra tersengih lagi.

“Ye ke? Tak nampak macam dia tu lebih tua dari kita. Macam budak-budak ye aku tengok. Tengok tu, lelaki-lelaki tu siap gosok kepala dia. Aku rasa mereka tu ahli keluarga dia.” Putra menyangkal kata-kata temannya.

“Kita ni nak tengok game ni atau nak tengok perempuan tu?” Zali bertanya pada rakan-rakannya. Mereka tersengih. Akhirnya semua mata tertumpu pada game yang berlangsung. Hanya Putra yang masih tertarik untuk merenung gadis tersebut. Entah mengapa gadis tersebut ada aura yang kuat kerana menarik perhatiannya.

            Syifa garu kepala yang tiba-tiba gatal. Dia merasa tidak selesa. Seperti dirinya diperhatikan. Syifa memandang ke kiri dan ke kanan namun tiada seseorang pun yang sedang memandang kearahnya. Syifa kerutkan dahi. Beberapa saat kemudian dia berpaling ke belakang. Matanya seperti menangkap seraut wajah lelaki sedang merenung kearahnya. Syifa turut sama membalas renungan lelaki tersebut. Syifa kerutkan dahi dan memandang kekirinya semula. Sekali lagi Syifa memandang ke arah lelaki tersebut. Syifa jungkit bahu tanda dia tidak peduli.

“Kenapa Syifa?” Syifa tersengih.

“Takdelah. Ingatkan ada orang lelaki berkenan dengan Syifa. Nampaknya terperasan sekejap.” Jawabnya sambil tergelak. Sesekali dia memandang semula lelaki yang merenung kearahnya tadi. Lelaki itu masih juga memandang kearahnya.

“Abang, ada apa-apa kat wajah saya ni ke?” Syifa bertanya pada Syahrul. Syahrul kerutkan dahi.

“Biasa je abang tengok. Makin cantik adalah.” Syifa berdengus kasar. Abangnya yang seorang ini memang tak pernah mengutuknya.

“Abang Aril, muka Syifa ni teruk ke?” Syifa bertanya pula pada Syahril. Syahril menoleh sekilas wajah adiknya.

“Ada jerawat satu, dua tiga ketul kat muka ni,” Syifa mencebik. Yang seorang ni asyik kutuk dia.

“Abang Emi, Syifa rasa ada orang tengok Syifa dari tadi. Abang rasa ada apa-apa kat muka Syifa ke?” Syahmi pandang wajah adiknya. Matanya kemudian memandang sekeliling.

“Memanglah orang asyik pandang kat kau. Sebab kau seorang je perempuan kat sini.” Syifa turut sama memandang sekeliling. Dia telan air liur.

“Abang yang nak tengok kat sini. Kalau tengok kat rumah kan best. Betul tak ayah?” En.Syahdan tersenyum senang.

“Ayah tak kisah tengok kat mana. Asalkan dapat habiskan masa dengan korang berempat, ayah dah puas hati.”

“Itulah ayah. Orang suruh kahwin lagi tak nak. Kalau ayah kahwin lagi, mana tahu kita dapat adik baru. Yang penting adik perempuan. Ada juga teman Syifa.” Syifa tarik muncung. Mereka berempat tergelak. Kepala Syifa di gosok perlahan.

“Isk... Rosaklah rambut orang.” Syifa terus menarik cap Syahrul lalu dipakainya.

            Putra merakam gambar gadis misteri tersebut. Wajah ayu itu betul-betul mengganggu tumpuannya. Sepanjang perlawanan tersebut matanya asyik memerhati tingkah laku gadis tersebut. Putra sentuh dadanya. Ada debaran kuat disitu. Putra geleng kepala dan cuba mengalih pandangan dengan menumpu sepenuh perhatian pada perlawanan bola yang berlangsung.

“Putra, lepas ni kau nak ikut kita orang pergi clubing tak?” Putra tersengih. Seperti biasa, Putra geleng kepala. Walaupun dia suka bersosial, tempat yang paling dia tak suka pergi adalah kelab malam. Terlalu bising dengan muzik yang menyesakan.

“Aku nak balik. Mata ni dah mengantuk,” Mereka semua mengeluh.

“Masih awal lagi ni.” Putra tetap tersenyum.

“Kau orang macam tak tahu. aku kena jaga kesihatan. Aku ni tak sihat macam korang semua.” Mereka angguk kepala. Walaupun Putra aktif bersukan, namun badannya tidak boleh terlalu letih. Dia perlukan rehat yang banyak berbanding rakan-rakannya yang lain.

            Putra berjalan tenang menuju kekeretanya. Matanya terpandang gadis yang dilihatnya tadi. Putra tersenyum apabila melihat gadis tersebut sedang membetulkan cap melalui cermin kereta Putra. Putra menekan kunci keretanya. Gadis tersebut terkejut dan melompat sambil melatah. Putra sembunyi senyum. Setelah menghampiri gadis tersebut, Putra tayang riak marah. Berniat hendak memarahi gadis tersebut.

“Awak nak curi kereta saya?” Soalnya selamba sambil tangannya membuka pintu kereta. Mata gadis tersebut terbeliak mendengar kata-kata yang keluar dari mulutnya.

“Ehh.. Mana ada. Saya pinjam cermin ni je.” Gadis tersebut menjawab jengkel.

“Kenapa ni dik?” Putra memandang satu persatu lelaki yang bersama dengan gadis tersebut.

“Orang pinjam cermin kereta dia je. Lepas tu dia tuduh orang nak curi kereta dia. Merepek je.” Putra tersenyum ramah pada mereka.

“Yang adik tengok kat cermin kereta dia kenapa? Ni kereta ayah ni, kan ada cermin.” Gadis tersebut tarik muncung.

“Takpelah. Maaf. Salah faham je.” Putra terus masuk ke dalam keretanya dan terus berlalu.

            Syifa berdengus kasar. Tak pasal-pasal lelaki tu kutuk dia.

“Isk.. Tak patut betul. Muka orang ni macam muka pencuri ke?” Syifa bersuara tidak puas hati.

“Syifa pun satu.Buat apalah tengok cermin kereta orang sedangkan kereta sendiri ada.” Syahmi geleng kepala dengan perangai pelik adiknya.

“Syifa minat kat kereta tu je.” Jawabnya sambil tersengih.

“Ye ke? Minat kat kereta tu atau minat kat pemiliknya?” Syahril mengusik adiknya. Syifa membeliakkan matanya.

“Tak kuasa orang.”

“Handsome budak tu. Macam pernah nampak je muka dia.” Syahmi tersenyum apabila melihat wajah kelat adiknya.

“Orang tak kisahlah dia kacak ke, macho ke atau kaya. Orang tak minat. Kecuali dia pemain bola. Yang itu berada dalam pertimbangan,” Syifa tersengih.

“Itu yang abang nak cakap tadi. Budak tu macam pemain bola. Abang macam pernah tengok dia bermain dengan kelab dia.”

“Abang sengaja nak usik Syifa. Sudahlah. Malas orang nak dengar. Orang nak tidur.” Syifa terus pejamkan mata.

 En.Syahdan tersenyum melihat gelagat anak bongsunya. Kadangkala dia kasihan melihat Syifa kerana dikelilingi oleh lelaki. Nasib baik ibunya masih ada. Sekurang-kurangnya dapat juga Syifa belajar menjadi perempuan melalui neneknya.

            Hanif membelek satu persatu senarai nama pesakit yang akan berjumpa dengannya pagi itu. Tangannya berhenti membelek sebaik sahaja terbaca satu nama yang selama ini dicarinya. Rekod kesihatan pesakit tersebut dibaca lagi.

“Hasnah..” Hanif memanggil pekerjanya.

“Ye Doktor..”

“Awak kenal pesakit ni?” Hasnah membaca nama yang tertera di atas kad kesihatan tersebut.

“Owh.. Mak cik Hanani. Kenal. Dia pesakit tetap Dr.Nadia. setiap kali datang sini, dia nak jumpa Dr.Nadia.” Hanif kerutkan dahi.

“Dia selalu datang ke sini?” Hasnah angguk kepala. Hanif terdiam.

“Takpe. Awak sambung kerja awak. Err..awak tolong aturkan sesi temuduga untuk cari pengganti awak sementara awak bercuti bersalin,” Hasnah angguk kepala.

“Saya dah buat iklan. Ada 4 orang yang berminat. Tunggu Doktor ada masa untuk temuduga mereka,” Hanif angguk kepala.

“Letak tarikh minggu depan. Awak block satu hari untuk saya. Tolong inform pada Dr.Nadia juga.” Hanif bersandar lemah sambil matanya masih menatap kad perubatan tersebut. Hasnah angguk kepala.

            Hanif termenung sejenak. Kad tersebut masih dibelek. Hanani Binti Adnan. Dia pernah ternampak nama tersebut dalam salah satu dokumen yang berada dalam fail mamanya. Kerana sifat ingin tahunya juga, maka terjadilah pertengkaran antara dia dan mamanya. Biarpun perkara tersebut sudah lama berlalu, namun Hanif masih terasa dimarahi ibunya. Kata-kata ibunya masih tergiang-giang ditelinganya.

“Mama, Hanani tu siapa ye?” Hanif bertanya dengan riak ingin tahu.

“Hanani? Siapa tu? Mana Hanif jumpa dia?” Dr.Nadia bertanya gelabah.

“Tadi Hanif tengok sijil lahir Hanif. Kenapa takde nama mama?” Hanif bertanya dengan wajah tenang. Waktu itu dia baru berumur 15 tahun.

“Ye? Mereka salah tulis nama mamalah tu,” Hanif kerutkan dahi. Jawapan ibunya sedikit mengelirukan. Kalau salah tulis, mengapa ayah dan ibunya tidak membuat pembetulan di pejabat pendaftaran.

“Dah.. tak payah hendak peningkan kepala. Hanif tumpukan perhatian dalam pelajaran. Bila dah berjaya kelak, Hanif juga yang senang.” Dr.Nadia peluk bahunya.

“Tapi mama..kenapa mama dan papa tak betulkan nama mama tu?” Hanif masih bertanya. Dr.Nadia mengeluh.

“Mama dan papa sibuk. Sudahlah. Mama nak tidur.” Dr.Nadia terus berlalu meninggalkan Hanif sendirian. Sejak hari tersebut, fikiran Hanif terganggu. Dia tercari-cari nama tersebut. Sehinggalah selepas Hanif tamat tingkatan lima, Hanif terjumpa dokumen perceraian yang terdapat nama tersebut dengan ayahnya.

“Mama, ayah pernah berkahwin dengan perempuan lain sebelum dia berkahwin dengan mama?” Hanif bertanya sambil tangannya memegang sehelai kertas. Dr.Nadia pandang wajah Hanif dengan riak terkejut.

“Kalau Hanif usik lagi barang mama, mama hantar Hanif balik rumah ma..” Hanif kerutkan dahi.

“Rumah siapa mama?” Hanif bertanya ingin tahu. Dr.Nadia terus berlalu dan merampas kertas ditangan anaknya lalu meninggalkan Hanif dengan riak tanda tanya. Sejak hari tersebut, Hanif sedar ada sesuatu yang dirahsiakan oleh mamanya. Hubungan mereka juga agak renggang.

            4 tahun kemudian papanya meninggaldunia. Barulah segalanya terbongkar. Hanif mula menjauhkan diri dari mamanya setelah mengetahui dia hanya anak tiri pada mamanya. Namun, jauh disudut hati, dia sayangkan mamanya yang telah bersusah payah menjaganya. Kadangkala dia merasa tersisih ketika Putra ada bersama mereka. semestinya Dr.Nadia lebih memberi perhatian yang lebih pada Putra.

“Doktor...” Hanif tersentak apabila bahunya disentuh seseorang.

“Ye..ye..Saya..” Hanif gelabah. Hasnah tergelak halus.

“Doktor mengelamun. Teringat awek ye?” Usiknya. Hanif tersenyum sambil geleng kepala.

“Merepek je. Kenapa awak panggil saya?” Hanif bertanya tenang. Terlupa sekejap kenangan lalunya.

“Takde apa-apa. Cuma, nak tanya doktor dah sedia nak jumpa pesakit tak?” Hanif angguk kepala. Termenung sehingga terlupa tugasan yang menanti.

“Okey. Saya dah sedia. Panggil mereka masuk,” Hanif membetulkan bajunya.



*****************
P/ S : Macam banyak je cerita yang sekerat jalan.. huhuhuhu... sabar ye.. masih nak cari mood ni...Berdoa sekejap. semoga pasukan pencari dan penyelamat berjaya menemui pesawat MH370 tersebut dan mudahan penumpang dan anak-anak kapal selamat. semoga keluarga mereka tabah menghadapi ujian ini. Ada hikmah disebalik kejadian ini.... sama-sama kita beringat. langit tak selalunya cerah. hidup kita tidak selalunya berada di atas.

1 catatan: