Followers

Wednesday, February 20, 2013

Relaku Pujuk 18



Aku memandang sekeliling kampung yang mendamaikan itu. Seronok juga dapat menghirup udara segar. Bersyukur sangat diberi peluang menghirup udara segar sehari lagi. Kalaulah terjadi perkara buruk pada aku dan Ishamudin malam semalam, tentu sekarang ni, kami tidak akan berada di sini. 2 hari lagi Ishamudin akan bergelar suami orang. Walaupun hatiku sedikit sebanyak merasa sedih, tetapi aku yakin itu hanya sementara. Aku pasti dapat mengatasi perasaan pelik itu. Aku masih rasa tak puas hati. Sepatutnya, aku keluar hospital hari ni, tetapi doktor tu cakap, aku dibenarkan keluar awal sebab aku hendak berkahwin. Siapa yang pandai-pandai buat cerita tentang hal tu. Tak pasal-pasal, aku kena bermalam di rumah Ishamudin ni.
            Teringat hal petang semalam, aku mengeluh berat. Semalam, aku terpaksa balik dengan Ishamudin. Kalau ikutkan laporan tersebut, aku masih perlukan rawatan tetapi, mereka benarkan aku keluar. Bila aku tanya pada Ishamudin, katanya, doktor benarkan kami keluar sebab wad untuk pesakit sudah penuh. Memandangkan keadaan kami sudah stabil, maka kami dibenarkan pulang. Tetapi, yang aku rasa tak puas hati, beberapa orang doktor dan nurse yang kami jumpa mengucapkan tahniah dan selamat pengantin baru. Yang hendak berkahwin Ishamudin, bukan aku. Kemudian, Ishamudin dengan rela hati menemaniku ke asrama untuk mengambil pakaianku.
“Awak...” Panggilku perlahan.
“Awakkkkkk...” Dia masih memandang lurus ke hadapan.
“Iskkk... sayang betul muka handsome tapi pekak,” Kutukku sambil berpeluk tubuh.
“Kau bercakap dengan aku?”
“Yelah. Takkan saya bercakap dengan kereta ni. Kat dalam kereta ni ada awak je yang pandai bercakap.”
“Awak..awak..awak...aku ada nama. Kenapa kau tak pernah panggil nama aku?” Soalnya selamba. Aku kerutkan dahi.
“Nama awak panjang sangat.” Dia tergelak halus.
“Nama kau pun panjang jugak.” Nama aku? Mawardina. Ada sembilan.
“Nama saya ada sembilan huruf. Awak ada..i.s..h..a..m..u..d..d.”
“Pandai-pandai je tambah nama orang. Satu huruf ‘d’ je.”
“Owh..ye ke?” Sekali lagi aku mengira.
“Ah..ahh..la. sama. Awak pun ada sembilan huruf.” Aku pukul kepala sendiri. Beberapa saat kemudian, aku gigit bibir. Sengaja hendak alihkan perhatianku.
“Ehhh... awak ni. Terlupa pula soalan saya tadi. Saya nak tanya awak....”
“Apa dia?” Ishamudin pandang wajahku sekilas.
“Ermmm.. kenapa saya rasa kita ni sedang....”
“Sedang apa?”
“Curang.. ”
“Curang?? Maksud kau?”
“Kita ni.. Keluar berdua. Awak tahu tak.. yang ketiga tu syaitan. Nanti dia hasut awak dan buat benda tak elok kat saya. Saya jugak yang susah.”Dia angguk kepala.
“Atau... kau yang akan goda aku,” Aku gigit bibir. Aku pulak yang terkena.
“Tak lama lagi awak akan berkahwin. Awak tahu tak, saya tak pernah lagi keluar berdua dengan lelaki lain selain dari abang-abang saya. Awak pukau saya ye?” Aku pandang wajahnya dengan riak takut.
“Merepek je. Kau sendiri yang rela hati naik kereta aku ni. Lagipun, mak kau dah bagi kebenaran tadi.” Mak aku pun pelik. Biasanya, dia tak benarkan aku naik kereta lelaki lain selain dari ahli keluarga kami.
“Yang kau suka sangat peningkan kepala fikirkan perkara tu kenapa? InsyaAllah kita tak apa-apa. Kalau terjadi benda tak baik, anggap itu ujian buat kita.” Aku pandang wajahnya sekali lagi. Kenapa malam ni, perangai dia sedikit lain dari hari-hari yang lepas.
“Kenapa? Aku tahulah yang muka aku ni handsome. Kalau kau tenung lama-lama, nanti kau jatuh cinta. Lepas tu, rosak majlis kahwin aku kalau kau buat hal sebab tak nak aku kahwin dengan Diah.” Pappp... Aku pukul bahunya. Aku sendiri terkejut dengan tindakan spontanku itu.
“Aduii... ehhh.. budak..sakitlah.”
“Awak tu. Cakap benda yang bukan-bukan.” Marahku. Kami mendiamkan diri seketika.
“Awak... tahniah. Saya rasa tak perlulah kita bermusuh lagi selepas ni. Kita mulakan hidup baru ye. Saya doakan awak bahagia dengan Kak Diah.” Ishamudin pandang wajahku agak lama. Ketika itu, kami sedang berhenti sementara menunggu lampu isyarat bertukar hijau.
“Terima kasih.”  Aku tersenyum padanya. Mungkin ini permulaan bagi kami berdua. Selepas ini, aku akan pastikan tidak ada salah faham berlaku antara kami.
“Mawar..Mawar..” Aku tersentak bila bahuku ditepuk kuat oleh Isha.
“Ahhh... Kenapa?” Aku terpinga-pinga. Aku pandang sekeliling. Aku mengelamun rupanya.
“Rumah aku kat sana. Yang kau jalan lurus tu kenapa?” Aku tersengih. Jauh betul aku mengelamun.
          Malam ini akan diadakan mesyuarat untuk majlis yang akan berlangsung lusa. Bila orang sibuk menyediakan lauk pauk untuk majlis malam kelak, aku, Isha dan Salma menghabiskan masa berjalan di sekitar kampung. Bukan selalu dapat makan angin di kampung orang. Walaupun hakikatnya aku tinggal di kampung jugak tetapi suasana sesetengah kampung memang berbeza.
Apabila kami sampai di rumah Isha, terdengar pula suara orang bergaduh di dalam bilik Ishamudin. Bunyi suara Kak Diah. Isha terus menghampiri ibunya. Sementara itu, aku dan Salma terus masuk bilik untuk berehat. Penat lepas berjalan-jalan keliling kampung.
Sebaik sahaja selesai majlis bermesyuarat, aku dan Salma keluar dari bilik membantu keluarga Isha mengemas dan mencuci pinggan mangkuk. Sejak balik dari berjalan-jalan petang tadi, kami berdua terperap di dalam bilik sahaja. Malas hendak bersama orang ramai kat luar. Memandangkan keluarga Isha bukanlah keluarga besar, segala pertolongan dari kami berdua memang sangat-sangat diharapkan. Nasib baiklah, kalau bab mencuci dan mengemas ni, aku boleh tahan jugak rajinnya. Aku lebih rela buat kerja macam tu dari disuruh memasak. Setelah selesai mengemas, aku dan Salma masuk ke bilik untuk berehat. Esok ada majlis bergotong- royong untuk memasang khemah tetapi tidaklah terlalu banyak kerja yang perlu dibuat kerana sebahagian khemah sudah dipasang siang tadi. Ianya bagi mengelak terlalu banyak kerja di saat akhir.
Ketukan di pintu bilik membuatkan aku bergegas membuka pintu sambil tersenyum. Wajah ibuku dan ibu Ishamudin memenuhi ruang mataku. Aku sempat pandang jam di atas meja. Pukul 10.30 malam.
“Ada apa mak, mak cik?” Aku pandang wajah serius mereka. Mak perlahan melangkah masuk ke bilik yang dihuni oleh aku dan Salma. Rumah Ishamudin ni, besar juga, ada 4 buah bilik. Aku dan adikku disuruh tidur dibilik tetamu. Aku sempat juga terpandang wajah keruh Ishamudin  dibelakang ibunya. Isha juga berada disisi abangnya. Wajahnya juga muram.
“Sham, kau tunggu kat luar. Kami nak berbincang ni,” Aku kerutkan dahi.
Bincang hal apa pulak ni? Bukankah, mereka sudah bermesyuarat selepas Maghrib tadi. Di ruang tamu hanya terdapat ahli keluarga Ishamudin sahaja. Wajah mereka semuanya muram. Macam ada masalah besar je ni. Aku garu kepala namun memberi ruang untuk Mak Cik Yon dan ibuku masuk. Aku sempat bertanya dengan Isha menggunakan isyarat mata. Namun Isha hanya menggeleng kepala. Mak menarik tanganku dan kami berjalan seiringan ke katil. Salma keluar dari bilik bila disuruh oleh ibuku. Renungan mata ibuku waktu itu sungguh sayu sekali. Namun terselit harapan yang menggunung. Begitu juga Mak Cik Yon. Aku pelik.
“Mawar...” Aku pandang wajah mak. Mata pulak terkebil-kebil. Aku menanti dengan sabar. Yelah. Tentu ada perkara penting yang mereka handak bincangkan dengan aku.
“Err....Mak nak...”
“Mak nak apa? Mak ada masalah ye?” Aku bertanya prihatin sambil genggam erat tangan ibuku. Wajah Mak Cik Yon semakin gelisah.
“Mawar..begini..” Mak Cik Yon pula bersuara perlahan. Aku pandang wajah ibu Ishamudin pula.
“Mak cik nak pinang Mawar untuk anak mak cik,”
“Hah!!! Pinang saya? Mak cik ada anak lain?” Mereka saling berpandangan. Setahu aku, anak Mak Cik Yon cuma Isha dan Ishamudin. Takkanlah ada anak rahsia? Ehh... Apa pulak yang aku fikir ni.
“Nak pinang saya untuk siapa? Mak nak kenakan saya ye?” Aku tergelak kecil. Sempat pulak nak bergurau. Mak ni, suka sangat nak kejutkan orang.
“Benda macam ni mana boleh main-main. Budak ni. Ni...Mak Cik Yon nak pinang kamu jadi menantu dia. Sekarang juga kalau Mawar setuju. Lusa akad nikah,” Aku kerutkan dahi.
“Aih!!! Cepatnya? Tapi Mawar tak nak. Mawar masih muda lagi. Tapi.... mak cik nak pinang Mawar untuk siapa ni? Kalau akad nikah lusa. Maknanya serentak dengan orang tu?” Aku menjuih bibir. Banyak tanya pulak aku ni.
Mak Cik Yon tersenyum. Aku garu kepala. Mak pula, selamba je. Mak suka aku kahwin awal? Rasanya sebelum ni dia suruh aku enjoy dulu. Tak payah nak fikir hal kahwin ni terlalu awal. Kenapa pulak tiba-tiba suruh aku kahwin awal?
“Sebenarnya Sham dan Diah tak jadi kahwin. Jadi, mak cik ingat nak satukan kamu dengan Sham jelah. Kalau nak batalkan, membazir je. Lagipun, dulu mak cik dan mak kamu pernah berjanji nak jodohkan anak-anak kami.” Aku terkejut. Mulut ternganga dan mata terbeliak. Otak kosong.
“Ye Mawar. Mulanya mak nak lupakan niat mak tu, tetapi nampaknya takdir menemukan kita semua. Mak rasa harapan mak dan Mak cik Yon kau akan kesampaian kalau Mawar setuju berkahwin dengan Isham.” Aku terus kaku. Terasa seperti kepalaku diketuk dengan batu besar. Betul ke apa yang aku dengar ni? Aku kena kahwin? Dengan siapa? Dengan orang tu? Tak mungkin. Tak mungkin aku akan kahwin dengan lelaki sombong, berlagak, suka menyakitkan hati aku. Kenapa tiba-tiba dia tak jadi berkahwin dengan Kak Diah?
“Mak jangan nak buat lawak. Mawar masih muda lagi. Lagipun, kalau orang lain, Mawar boleh terima, tapi kalau orang tu, minta maaf banyak-banyak.” Aku berkata yakin. Bukan niat hati untuk jual mahal namun setelah apa yang terjadi selama tempoh aku dan Ishamudin kenal, kami tak pernah berbaik-baik. Mungkin sebab aku sudah mengenalinya, jadi agak sukar untuk aku terima dia. Lebih-lebih lagi setelah banyak perkara yang menyakitkan hati berlaku selama ini.
“Kenapa?” Mak buat muka tak puas hati. Mak Cik Yon pula mengeluh lemah. Aku sempat melihat dia mengesat airmata.
“Mak cik tahu, anak mak cik tu tak cukup baik untuk Mawar. Tapi, mak cik tak mahu perempuan sebaik Mawar menjadi menantu keluarga orang lain. Lagipun, Isham pun setuju.” Erkk....dia setuju? Kahwin dengan aku? Aku tunduk merenung lantai bilik. Sayu pulak dengar Mak Cik Yon ni. Tapi...takkan aku kena kahwin dengan orang tu. Kalaulah perangai dia macam Abang Asran atau En.Haikal yang... yang apa ye? Sebenarnya, aku ni taklah pandai sangat nak menilai orang. Mungkin pada usia aku ni, yang aku tahu, orang yang baik pada aku, dialah lelaki yang baik. Kalau dia berkelakuan tak baik dengan aku, maknanya dia lelaki yang tak baik pada pandangan aku.
“Betul Mawar tak nak?” Aku geleng kepala. Wajah mak keruh.
“Biarlah Yah. Perkara ni tak boleh dipaksa. Lagipun, betul kata Mawar, dia masih muda. Dah nasib anak aku agaknya.” Aku terdiam. Perlahan Mak Cik Yon melangkah keluar. Mak renung wajah aku dengan riak hampa.
“Mawar tolong fikir baik-baik ye? Mak bagi masa sampai subuh esok. Kalau Mawar setuju, cakap je. Tapi, mak harap sangat Mawar terima Isham. Pada mak, dia memang sesuai menjadi suami Mawar.” Aku terus mendiamkan diri. Mak berlalu meninggalkan aku.
“Sebelum mak terlupa, kalau boleh awal sedikit bagi keputusan tu, supaya abang kamu sempat balik. Mak dah pesan kat ayah kamu, pagi esok dia datang bawa Ketua Kampung sekali. Lagipun, Mawar dah buat kursus kahwin, kan?”
Glupp...
Kenapa mak cakap macam tu? Macam yakin je aku terima pinangan tu. Tapi kalau aku tolak, kasihan pulak kat Mak Cik Yon sekeluarga.  Erkkk....kalau aku terima, ni dikira kahwin paksa jugak ke?
Aku sudah mengikuti kursus perkahwinan bulan lepas. Kebetulannya, sama hari dengan Ishamudin. Semua tu gara-gara Sitah yang beria-ia nak aku temankan dia pergi kursus kahwin. Tak sangka pula ianya berguna sekarang ni. Ehhh...apa pulak berguna. Aku belum setuju lagilah. Setelah mak keluar, aku terima mesej dari nombor yang aku tak kenali.
‘Aku nak kahwin dengan kau,’ Aku kerutkan dahi. Aihh...siapa pulak ni? Berapa kali aku nak kena lamar ni?
‘Siapa awak?’
‘Kalau nak tahu. Jumpa kat bawah. Aku tunggu,’ Aku terkebil-kebil membaca mesej tersebut. Sedang aku berkira-kira samaada hendak turun atau tidak, telefon bimbitku berbunyi.
“Asslammualaikum,”
“Waalaikumsalam,”
“Mawar, fikir masak-masak ye? Kalau boleh, janganlah mengecewakan mak,” Abang Zam terus menasihatiku tanpa sempat aku bertanya. Mesti mak minta tolong dia pujuk aku supaya terima pinangan tu. Sebab, mak tahu, aku hanya dengar nasihat dari Abang Zam. Dia,kan abang kesayangan aku. Baik pada dia, baiklah pada aku. Aku garu kepala yang tak gatal.
“Abang tak kisah Mawar kahwin awal?” Aku bertanya sekadar menduga.
“Sebenarnya abang tak setuju, tapi bila dengar itu hasrat mak, abang rasa tak salah kalau Mawar menunaikannya. Sekurang-kurangnya, Mawar ada peluang untuk gembirakan hati mak. Lagipun, mak kata lelaki tu baik.”  Baik?  Ahhhh...depan orang lain dia memang baik. Tapi dengan aku, asyik nak cari gaduh je. Aku tersandar lemah. Tapi bila aku fikir balik, benar juga apa yang Abang Zam katakan. Kalau aku terima, aku sudah menggembirakan dua hati insan yang aku hormat. Tapi, bagaimana dengan hatiku sendiri? Lagipun, masih banyak lagi cara untuk mengembirakan mak. Contohnya.... aku kerutkan dahi. Ahhh... aku tak dapat nak berfikir sekarang ni.
“Okeylah. Fikir elok-elok. Abang nak pergi tempah tiket ni,” Aku kerutkan dahi. Tiket? Abang aku ni kenapa?
“Hah!!! Tiket? Nak ke mana?” Aku bertanya gugup. Kedengaran Abang Zam tergelak. Kenapa dia gelak? Sebaik sahaja perbualanku dan Abang Zam terputus, sekali lagi telefonku berbunyi. Kali ini, nombor yang aku tidak kenal. Sedang berkira-kira hendak menjawab panggilan tersebut, aku tersentak bila pintu bilik diketuk perlahan. Aku terus berjalan ke pintu dan membuka sedikit pintu bilik. Wajah ku pucat saat terpandang gerangan yang mengetuk pintu.
*************************
“Kenapa saya kena setuju kahwin dengan awak?” Aku buat muka tak puas hati sambil bercekak pinggang dihadapannya. Dia ingat aku ni kemaruk sangat nak kahwin dengan dia. Boleh jalanlah.
“Sebab memang sudah jodoh kita. Lagipun, bukankah kau teringin nak kahwin dengan aku sebelum ni?” Aku tersentak. Serta merta wajahku panas. Perasan betul mamat ni. Dalam keadaan macam tu pun, masih juga nak berlagak. Tapi mengapa dia begitu santai sekali malam itu.Tidakkah dia risau, lusa adalah hari bersejarahnya. Sama ada dia meneruskan perkahwinan itu atau pun membatalkannya. Kedua-duanya tetap menimbulkan satu sejarah yang takkan dilupakan. Tetapi, aku dapat lihat, wajahnya kala ini begitu tenang. Tidak seperti sebelum keluarganya mencadangkan supaya aku menggantikan tempat tunangnya. Tetapi itu tidak akan melemahkan aku. Aku pandang wajahnya sambil berpeluk tubuh. Dia turut sama memandang wajahku dengan renungan yang redup sehingga menimbulkan satu perasaan aneh dalam hati kecilku. Argghhhh...itu hanya mainan perasaan. Aku geleng kepala. Dia seolah-olah menyembunyikan senyum.
“Itu dulu. Sekarang, awak dah tak tersenarai dalam list lelaki yang layak dijadikan suami saya.” Aku berkata geram dan membelakanginya. Huh!!! Kau ingat kau tu hebat sangat.
Aku pun ingin seperti gadis lain, dicintai dan mencintai memandangkan aku tak pernah lagi bercinta. Syok sendiri tu adalah. Aku mencuri pandang wajahnya setelah agak lama kami mendiamkan diri. Mungkin dia terasa hati dengan kata-kataku sebentar tadi. Timbul pula rasa bersalah.
“Aku minta maaf atas semua kesalahan yang pernah aku lakukan pada kau. Tapi, tolong. Kita kahwin ye?” Aku mengeluh. Ingatkan dia marah. Boleh pulak dia merayu. Kenapa dia masih tidak faham.
“Awak ni kenapa? Saya dah cakap, yang saya tak nak kahwin dengan awak. Saya tak suka awak. Awak banyak kekurangan. Selain handsome, satu pun tak boleh pakai,”
Apa yang aku mengarut ni. Dia tersenyum kecil. Sungguh. Aku tertawan saat terpandang senyum kecilnya. Selama ini, dia tidak pernah tersenyum seikhlas itu hanya untukku.
“Terima kasih. Aku memang handsome. Tapi, tolong. Lagipun, kau belum kenal aku sepenuhnya, mana kau tahu yang lain tu tak boleh pakai? Kalau kita kahwin, aku akan beri peluang untuk kau mengenaliku dan aku tunjukkan kebaikan aku pada kau supaya kau tahu semuanya boleh pakai. Aku tak mahu mak aku  risau dan malu sebab orang akan mengata kami, kalau majlis ni tak berjalan seperti yang dirancang. Aku janji, aku akan pastikan rumahtangga kita bahagia.” Aku terdiam. Aku hanya menjeling tajam kearahnya. Walaupun dia agak kasar denganku sebelum ini, namun malam ini suaranya  perlahan penuh dengan sikap tanggungjawab pada  ibunya. Tapi itu hanya kerana dia perlukan pertolongan aku.
Aku teringat wajah sedih Mak Cik Yon. Bukan salah Mak Cik Yon, kenapa aku nak susahkan dia. Lagipun, kalau aku terima, aku tak perlu susah-susah nak fikir tentang  jodoh. Lepas ni, hanya tumpukan perhatian untuk menjadi isteri yang baik dan solehah. Erkkk...apa aku merepek ni? Aduh!!!Tapi bagaimana dengan hatiku sendiri? Dapatkah aku bertahan dengan perangai Ishamudin kelak? Tapi betul ke perangai dia akan berubah?
“Sekejap ye,” Aku berjalan menaiki tangga dan terus ke dapur. Dia juga mengekori langkahku. Baru aku sedari, rupanya, dari tadi lagi, beberapa orang ahli keluarga Ishamudin memerhati gelagat kami berdua.
“Kau nak pergi mana?” Soalnya cemas. Aku hanya menghadiahkan jelingan maut padanya. Tanpa menjawab soalannya aku terus berjalan menuju ke dapur.
Bila berada di dapur, aku terus membuka tudung saji. Tiba-tiba perut ni rasa lapar pulak. Aku tersenyum bila ternampak ayam masak rendang lebihan petang tadi. Masakan Mak cik Yon ni memang sedap. Aku dah buat macam rumah sendiri pulak.
“Awak nak makan?” Aku bertanya padanya. Dia membelek jam ditangannya. Mataku meliar mencari jam dinding, namun hampa.
“Dah pukul 12 malam ni. Makan apa pulak waktu ni?” Dia bertanya padaku. Aku jungkit bahu dan meneruskan suapan. Nak buat macamana. Rasanya aku hanya berhenti makan jika aku tidur.
“Sedaplah ayam masak rendang ni. Pandai mak awak masak,” Aku terus makan dan dia terus menjadi pemerhati setia. Sedang enak menjamu selera, aku tiba-tiba terbatuk. Ishamudin terus menuang air suam ke dalam gelas nak menghulurnya padaku. Tanpa banyak bicara, aku terus menyambutnya dan minum dengan rakus.
“Makan tu perlahanlah sikit,” Tegurnya. Aku tersengih.
“Mawar, kita kahwin ye? Aku betul-betul mahukan kau menjadi isteri aku. Lagipun, ini juga hasrat mak kita untuk melihat kita berdua berkahwin. Dengan perkahwinan kita, hubungan kekeluargaan juga semakin erat. Mak kau tentu gembira.” Aku termenung seketika. Dia kaitkan mak pula. Ni yang buat aku lemah.
“Bolehkan?” Dia bertanya lagi. Aku garu kening.
“Bagi saya masa.”
                Aku mengalah. Setelah mencuci dan mengemas meja makan aku terus masuk ke bilik tidur. Ketika aku hendak masuk ke bilik, ternampak pula mak sedang memujuk Mak Cik Yon. Lama aku perhatikan mereka berdua. Mak Cik Yon pula mengesat airmata. Tentu dia sedih sangat. Alamak!!! Lupa pula nak tanya kenapa dia dan Kak Diah tak jadi berkahwin? Aku kena fikir masak-masak. Nak Solat Istikharah, aku pula uzur. Nampaknya, aku kena tidur awal supaya aku dapat membuat keputusan dengan bijak. Awal apanya, sekarang dah pukul 12.30 malam. Baru sahaja hendak melelapkan mata, pintu bilik diketuk lagi. Salma sudah tidur. Agaknya letih sangat. Dia ni memang mudah sangat tidur. Lepas tu, kalau dah tidur jangan harap dia hendak terjaga kecuali kalau dah pagi. Aku berjalan perlahan ke pintu.
“Siapa?” Aku bertanya sebelum membuka pintu.
“Mawar, Isha ni. Bukak pintu kejap,” Sebaik sahaja pintu bilik dibuka, wajah Isha terpancul diruang mataku.
“Boleh aku masuk?” Aku angguk kepala. Takkan nak halau pulak. Dia tuan rumah. Aku hanya tetamu. Sejak hubungan kami rapat, aku dan Isha lebih selesa ber‘aku’ dan ‘kau’. Rasa lebih mesra.
“Isha, kenapa?” Aku bertanya perlahan sambil duduk di tepi katil.
“Aku nak tidur dengan kau malam ni. Boleh?” Aku kerutkan dahi. Mimpi apa pulak nak tidur dengan aku.
“Kalau aku kata tak boleh?”
“Kau tidur kat bilik aku.” jawabnya selamba.
“Apa kaitan pulak?” Dia tersengih.
“Dah kau tak nak tidur dengan aku kat bilik ni, jadi kita tidur kat bilik aku.” Aku semakin pening kepala. Akhirnya aku ikut dia ke biliknya. Tidak mahu mengganggu adikku yang sedang tidur.
“Aduh!!! Isha, aku pening kepala ni. Kau rasa aku patut kahwin dengan abang kau atau tak?” Aku bertanya perlahan. Aku bersandar di tepi katil. Isha tersengih dan duduk disebelahku.
“Itulah yang aku nak cakap ni. Terima Abang Sham ye. Dia nampak je dingin, tapi dia baik tau. Aku bercakap bukan sebab dia abang aku. Tapi, kau belum kenal dia sepenuhnya, jadi kau tak nampak kebaikan dia,” Isha pandang wajahku.
“Tapi, aku tak cintakan dia. Dia tak cintakan aku. Kalau boleh aku nak kahwin dengan lelaki yang aku cinta.” Isha mengeluh.
“Mawar, kau beruntung tau. Kalau kau kahwin dengan abang aku, kau tak perlu nak pening kepala fikir, bagaimana sifat bakal suami kau kelak. Sebab, kau dah tahu perangai abang aku tu macamana. Aku tahu, kau asyik nampak keburukan dia je sekarang. Aku yakin, lepas korang berkahwin, tentu kau akan jumpa kebaikan dia. Tak kenal maka tak cinta.” Isha tolak bahuku dengan bahunya. Lama wajah ceria Isha aku pandang.
“Tapi...” Aku betul-betul bingung.
“Bercinta lepas kahwin lagi nikmat tau. Dalam Islam menganjurkan umatnya menjaga batas-batas pergaulan antara lelaki dan perempuan yang belum berkahwin. Lagipun, kalau kau kahwin dengan dia, kau ada masa yang panjang untuk kau dan Abang Sham bercinta. Buat apa nak pening kepala. Lagipun, aku dapat rasakan, antara kau dan Abang Sham memang sudah tertulis menjadi suami dan isteri sejak azali lagi. Kalau difikirkan semula apa yang terjadi selama ni, takdir telah menemukan kamu berdua. Kita semua. Kau dan Abang Sham satu tempat kerja. Kemudian kita berkenalan. Lepas tu, rupa-rupanya mak kita ada pertalian darah. Dan paling penting, kau dan Abang Sham terperangkap di bilik tu. ” Aku mengeluh. Sejak aku bekerja di kilang tersebut, hidupku selalu berkaitan dengan Ishamudin. Bergaduh dengan tunangnya. Tapi, adakah Ishamudin betul-betul rela berkahwin dengan aku ke? Atau, dia hanya nak menyelamatkan maruah keluarganya. Pening kepala aku ni.
“Aku nak tidur.” Akhirnya aku berbaring tanpa memandang Isha yang menunggu kata-kata dariku.
“Okey. Semoga esok adalah hari yang paling bererti buat kau. Selamat malam, kak ipar. Nampaknya kena bagi tahu Sitah ni. Apa yang kita cakap hari tu bakal menjadi kenyataan. Tak sangka, masin betul mulut dia.” Aku membeliakkan mata kearahnya. Dia hanya tersengih.

***********************************

p/s : salam semua... lamanya tak post bab baru... mood mengarang menurun sekejap.. semoga enjoy membacanya.... terima kasih semua yang sabar menunggu, yang selalu menjenguk blog yang dah tak seperti blog ni...

1 catatan:

Anonymous said...

hmmm..memang best..cool plak ishamudin tu ya ajak mawar kawin...so sweet..hehehe agak2 bila akan kuar dalam versi cetak ya..

Su