Followers

Thursday, December 27, 2012

Bila Hatiku Kau Curi 2



“Anip, kau tak nak balik? Hari ni result SPM keluar.” Anip tersenyum ramah pada Pak Azhar.

“Takpe pak cik. Esok-esoklah saya pergi ambil result tu.” Anip menjawab tenang. Tangannya masih rancak menyusun bata tersebut. Selepas tamat ujian, dia terus bekerja di tapak pembinaan tersebut.  Dengan gaji RM45.00 sehari, cukup untuk mereka bertiga bernafas. Sementara itu, Aniq pula mencebur diri dalam bidang lakonan. Dengan wajah kacaknya itu, memang mudah untuk dia mendapat peluang tersebut. Anip pula lebih senang bekerja sebagai buruh kasar. Kadangkala dia ke laut menangkap ikan. Ataupun ke hutan mencari rotan. Pendek kata dia lebih selesa bekerja sendiri.

“Anip..Anip. Sampai bila nak bekerja macam ni?” Anip tersenyum.

“Pak cik tak suka saya bekerja kat sini ye?” Pak Azhar geleng kepala.

“Bukan. Remaja macam kamu ni ramai yang berpeleseran kat luar tu. Cubalah mereka seperti kamu, maju nagara kita ni. Tak perlu kita panggil pekerja asing untuk buat kerja-kerja macam ni.” Anip tersengih.

“Yelah pak cik. Saya takut duit kita habis jatuh ke tangan orang luar, sebab tu saya kerja buruh ni.” Anip tersengih. Bukan itu yang membuatkannya memilih untuk bekerja sebagai buruh. Dia merasakan seronok bekerja sebagai buruh kasar. Biarpun ramai yang memandang jijik padanya, namun dia tidak kisah. Yang penting, dia mendapat rezeki dengan cara yang halal. Dan, disamping itu, dia dapat memberi ibunya duit belanja. Sejak habis belajar, segala keperluan rumah tidak pernah kurang. Dia juga sudah mampu menyimpan duit.

“Kalau result kamu okey, kamu nak sambung belajar?” Anip pandang wajah Pak  Azhar. Wajah tua itu menimbulkan rasa simpati dihatinya. Dia kasihan melihat Pak Azhar, biarpun sudah berumur 55 tahun, dia masih juga bekerja. Anak-anak sudah bekerja. Ada yang memegang jawatan tinggi namun, dia tetap bekerja mencari nafkah untuk mereka berdua suami isteri. Anak-anak Pak  Azhar pula hanya akan balik pada waktu raya memandangkan masing-masing sibuk.

“Rasanya tak. Tapi saya akan ambil ujian luar. Lagipun, pak cik kan tahu, saya mana mampu nak tanggung perbelanjaan nak ke Universiti tu. Bukan sedikit wang yang diperlukan. Saya nak kumpul duit dulu, kalau dah cukup, saya sambung belajar.” Anip menjawab yakin. Pak Azhar angguk kepala.
 
“Baguslah kalau kamu berfikiran macam tu. Kita ni, kalau boleh ikut kemampuan kalau nak buat sesuatu. Pak cik yakin, akan tiba masa untuk Anip. Lagipun, Anip masih muda. Masih panjang perjalanan hidup. Tapi, satu yang pak cik nak ingatkan. Hormat orang tua, berbuat baik pada orang tua, jangan lupakan orang tua dan yakin akan rezeki yang Allah S.W.T bagi untuk kita. Setiap orang ada rezeki masing-masing, jangan simpan sedikitpun rasa irihati pada mereka yang berharta kerana semua ini hanya pinjaman semata-mata.” Anip angguk kepala mendengar nasihat dari Pak Azhar.

“Sebenarnya pak cik kesal, sebab anak-anak pak cik terlalu kejar sangat harta dunia.” Anip pandang simpati wajah keruh itu.

“Sampai mereka lupa jalan untuk balik ke kampung. Pak cik tak kisah kalau mereka balik atau tidak, tapi sekurang-kurangnya mereka patut telefon mak mereka tu. Setiap hari, mak cik kamu bertanya tentang mereka.” Pak Azhar mengeluh. Walaupun, Pak Azhar jarang sekali bercerita tentang anak-anaknya, tetapi Anip tahu serba sedikit tentang mereka. Pak Azhar tidak suka bercerita keburukan anaknya dengan orang lain. Dia lebih selesa mendiamkan diri bila ada yang mengata anaknya tidak mengenang budi. Bagi Pak Azhar, anak-anak yang sudah besar ada kehidupan mereka sendiri. Sebagai orang tua, dia tidak mahu menyusahkan mereka. Asalkan anak-anaknya tidak menyusahkan dia dan isterinya, itu sudah bagus. Anip mendiamkan diri. Sebenarnya, orang-orang kampong mula mengata anak-anak Pak  Azhar. Yelah. Mereka sudah bekerja tetap. Jawatan tinggi, tapi seorang pun tidak berkeinginan hendak membaiki rumah orang tua mereka.

“Tapi itu semua silap pak cik. Pak cik tak pernah ajar mereka hidup susah. Semua keperluan mereka pak cik tunaikan, sampai mereka rasa pak cik mampu hidup sendiri.” Pak Azhar meluah rasa kecewanya. Dia tidak pernah bercerita tentang perkara tersebut pada orang lain. Memandangkan Anip seorang yang suka mendengar, dan dia yakin, ceritanya hanya akan berakhir disitu kerana Anip seorang yang tidak gemar menghebohkan apa-apa yang dia dengar.

“Pak cik jangan risau. Satu masa mereka akan sedar juga.” Anip berkata yakin untuk memujuk Pak Azhar.

“Beruntung Asmah ada anak macam kau. Kalaulah arwah Hadi masih hidup, tentu dia bangga dengan Anip.” Anip tersengih.

“Pak cik ni. Saya pun belum cukup bagus untuk arwah ayah banggakan. Saya masih belum mampu membahagiakan mak. Niat saya, kalau boleh nak hantar mak pergi menunaikan haji. InsyaAllah kalau ada rezeki.” Anip tersenyum bila melihat wajah ceria Pak Azhar.

“Baguslah kalau Anip berfikiran macam tu. Pak cik ni, berangan je tengok orang yang sebaya pak cik pergi menunaikan haji. Teringin juga nak pergi ke sana, tapi apa boleh buat, belum ada rezeki.” Perbualan mereka berlanjutan sehingga ke petang. Anip menumpang Pak Azhar ke tempat kerja memandangkan dia belum ada motosikal. Lesen motosilak juga dia belum ambil. Cadangnya, bulan depan dia akan mengambil ujian memandu. Kalau ada rezeki, dia akan membeli sebuah motosikal terpakai untuk keperluannya ke tempat kerja.

“InsyaAllah, nanti adalah rezeki Pak cik. Pak cik, nanti, kalau ada orang nak jual motorsikal, bagi tahu saya. Saya ingat nak beli motorsikal terpakai dulu sementara tunggu rezeki datang melimpah,” Anip tersengih menampakkan barisan giginya yang tersusun kemas itu.

“Yelah. Nanti pak cik cari untuk kamu. Ni, nak pak cik hantar ke sekolah tak?” Anip tersengih.

“Err…boleh jugak.” Pak Azhar geleng kepala melihat gelagat Anip. ‘Kasihan anak muda ini. Beruntung betul Asmah dan Hadi dapat anak yang baik macam ni,’ Pak Azhar memuji Anip dalam hati. Berbeza betul dengan Aniq, Aniq lebih gemar membuat kerja yang glamor. Mula-mula habis belajar dia dengar Aniq masuk bidang peragaan. Kemudian, bila telah Berjaya menjadi johan, dia ditawarkan berlakon pula. Berbekalkan wajah yang menarik, tidak sukar untuk Aniq mendapat tawaran berlakon. Asmah begitu bangga anaknya menjadi pelakon dan menjadi rebutan gadis-gadis zaman sekarang.

“Anip tak berminat nak cebur diri dalam bidang lakonan?” Anip kerutkan dahi mendengar soalan Pak Azhar.

“Hiss..Pak cik ni. Nak perli Anip ke? Tak minat kerja macam tu. Baik saya buat drama dengan ayam, itik, kerbau kat kampong ni. Lagi glamor.” Pak Azhar tergelak.

“Yelah tu. Glamor dikalangan binatang kat kampong ni. Tapi, pak cik rasa, Anip ni glamor dikalangan ibu-ibu gadis kampong kita tu. Masing-masing cuba nak kenalkan anak mereka dengan Anip.” Anip tersipu malu.

“Pak cik, siapa yang nak serahkan anak mereka pada saya ni? Kerja tak tentu. Kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Mana nak beri anak dara orang makan?” Pak Azhar tergelak sambil menepuk bahu Anip.

“Apa pulak tak dapat. Yang penting rajin bekerja. Kat kampong tu berlambak kerja tau, tapi yelah, semua anak muda nak cari kerja kat bandar tu. Semuanya nak bekerja dalam suasana nyaman. Ada penghawa dingin, mengadap computer. Macam-macam lagi.” Anip hanya tersengih.

“Semua itu jauh lagi dari jangkauan saya pak cik. Saya masih muda lagi. Result SPM pun saya belum tengok. Hal jodoh tu, letak tepi dulu. Tak sanggup nak fikir,” Pak Azhar angguk kepala.

“Yelah. Melalut dah kita ni. Dah, mari pergi. Nanti lambat pulak.” Mereka terus berlalu meninggalkan tapak pembinaan tersebut. Mereka terus menuju ke sekolah Anip. Dengan pakaian kerjanya yang kotor itu, Anip dengan selamba masuk ke bilik guru untuk mengambil slip peperiksaannya.

“Hah…Anip. Tahniah!!!” Anip tersenyum saat slip peperiksaan sampai ditangannya.

“Terima kasih cikgu.” Ucapnya perlahan.

“Kamu dari mana ni? Dari tempat kerja?” Cikgu Hamdan bertanya bila melihat baju Anip yang kotor itu.

“Ye cikgu. Dapat cuti setengahari je hari ni. Sebab tu datang lambat ni.” Cikgu Hamdan angguk kepala. Sebenarnya dia dari tadi menunggu kehadiran Anip. Anip merupakan salah seorang pelajar cemerlang disekolahnya.  Dia ingin memperkenalkan Anip pada wartawan yang datang membuat liputan di sekolah mereka pada sebelah pagi tadi, tetapi dia hampa bila Anip tidak muncul.

“Saya ingat nak kenalkan awak dengan wartawan tadi. Takpelah. Lain kali je.” Anip tersenyum. Slip peperiksaan belum dibuka. Dia takut untuk melihat hasilnya. Pantas, Anip berlari menghampiri Pak Azhar.

“Pak cik, tolong saya. Tolong tengok result saya.” Ucapnya cemas sambil menghulur gulungan slip tersebut. Pak Azhar tersengih.

“Kamu buka sendiri. Biar puas hati,”Anip geleng kepala. Akhirnya Pak Azhar membuka perlahan slip tersebut. Setelah membaca dengan teliti, akhirnya Pak Azhar tersenyum lebar.

“Tahniah Anip. Anip dapat 8A.” Anip yang tadinya tunduk merenung kaki sendiri terus mendongak.

“Betul?” Pak Azhar angguk kepala. Anip terus menyambut slip ditangan Pak Azhar. Setelah yakin dengan apa yang dia nampak di slip tersebut, Anip spontan memeluk Pak Azhar.

“Terima kasih, pak cik. Jum, balik. Saya nak tunjukkan pada mak. Dia tentu gembira dengan keputusan saya ni.” Anip kesat airmata yang mengalir dipipi. Dia bersyukur dengan keputusan yang dia dapat. Mereka terus beredar.

*******************

“Nak sambung belajar kat mana kelak?” Pak Azhar bertanya perlahan sambil menepuk bahu Anip. Selepas balik dari sekolah tengahari tadi, dia terus menunjukan keputusan peperiksaannya pada ibunya. Namun, dia hampa, bila ibunya langsung tidak memandang slip peperiksaannya.

“Saya nak cari kerja.” Pak Azhar merenung pelik wajah keruh Anip.

“ Kenapa tak sambung belajar? Minta tolong dari Aniq tu.” Anip tersengih.

“Buat masa sekarang, saya masih tak fikir nak sambung belajar. Saya nak kumpul duit dengan hasil titik peluh saya sendiri, baru fikir nak sambung belajar.” Anip bersuara tenang. Di jeti itu sahaja dia mampu menghilangkan rasa sebaknya. Dia masih bekecil hati dengan tingkah ibunya. Tidak gembirakah ibunya melihat dia mendapat keputusan cemerlang? Dia antara pelajar cemerlang di sekolahnya. Tidakkah ibunya merasa bangga dengannya?  Anip mengeluh.

“Kenapa mengeluh?” Anip tersenyum tawar.

“Pak cik, teruk sangat ke saya ni? Mak langsung tak ucap apa-apa kat saya masa saya tunjukan result saya tu. Nak pandang saya pun dia tak sudi.” Anip bersuara sebak. Dia rindu bila melihat orang lain berpelukan dengan ibu mereka meraikan kejayaan mereka. Tetapi dia, orang luar yang bersorak untuknya, sedangkan dia masih ada ahli keluarga. Untuk menghilangkan rasa sedih, Anip pergi ke kubur ayahnya. Menyampaikan berita gembira itu pada ayahnya. Setelah puas mengalirkan airmata di kubur ayahnya, dia menghabiskan sisa-sisa sedihnya di jeti kampungnya.

“Dia memang macam tu.” Anip angguk kepala. Ye. Memang ibunya berperangai macam tu. Sejak dia kecil, perhatian ibunya pada dirinya berbeza. Antara dia dan Aniq, ibunya lebih sayangkan Aniq.

“Pak cik, kenapa mak tak sayang saya?” Akhirnya terluah juga soalan itu. Setelah sekian lama dia cuba menahan diri dari bertanya tentang kasih sayang ibunya.

“Kenapa Anip Tanya? Anip, apa jua kelakuan mak kamu, dalam hati dia tetap sayangkan kamu. Ingat segala penat lelah dia menjaga kamu dari kecil hingga dewasa.” Anip tunduk merenung lantai.

“Entahlah pak cik. Kadangkala, saya rasa seperti saya ni hanya anak angkat. Ataupun, anak tiri. Mak sering marah-marah pada saya. Semua yang saya buat, tak pernah memuaskan hatinya.” Anip melontar batu ke dalam sungai.

“Mereka ada sebab yang tertentu. Jangan difikir sangat tentang tu. Yang penting, Anip dah jalankan tugas sebagai anak. Selagi mampu bertahan, pak cik harap, suatu masa nanti, Asmah akan sedar kebaikan anaknya ini.” Anip tersenyum kelat. ‘Bila agaknya mak akan terima aku,’ Anip mengeluh.

*****************************

0 catatan: